Menyingkap Normalisasi Israel oleh Negara Islam

Menyingkap Normalisasi Israel oleh Negara Islam

Normalisasi Israel di negara-negara Islam terutamanya di negara-negara Arab dilihat sedang rancak, dengan masing-masing memeterai perjanjian bernada diplomatik bersama Israel dalam beberapa bulan terakhir ini.

Bermula dengan aktiviti normalisasi UAE dan Israel pada bulan Ogos 2020, ia memberi tanda bahawa banyak Negara-negara Teluk lain akan mengikuti langkah normalisasi Israel ini.

Sangat menarik untuk dikaji kerana sebelum ini, hubungan negara-negara Arab tidaklah begitu lunak dengan Israel atas terutama sekali isu pencerobohan Israel ke Palestin yang menjadi perhatian dunia.

Negara-negara Islam bahkan Liga Arab (Arab League) yang diketuai Arab Saudi telah mengusulkan perjanjian “The Arab Peace Initiative” pada tahun 2002 dan diperbaharui pada tahun 2007 dan 2017 dengan tujuan utama untuk menamatkan pencerobohan Israel secara militari dan ekonomi ke atas Gaza dan Tebing Barat, Palestin. Hanya Jordan dan Mesir yang dilihat mempunyai hubungan mesra dengan Israel kerana ia ada konteks sejarah tersendiri berkaitan penjajahan Israel dalam perang 1967.

Namun, trend normalisasi Israel di negara-negara Arab ini nampaknya tidak hanya terjadi pada negara-negara Arab, namun beberapa negara di Afrika Utara seperti Bahrain, Sudan, dan Maghribi juga telah menunjukkan pendekatan yang sama.

Di dalam penulisan ini, saya akan ceritakan apakah kronologi, motif dan kesan normalisasi Israel ini kepada Israel sendiri, negara-negara Islam yang terlibat dan juga Amerika Syarikat (AS).

Kronologi

Secara kronologi, normalisasi Israel di negara-negara Arab baru-baru ini bermula pada era pemerintahan Presiden Trump di AS. Ia bermula dengan pelan “Deal of the Century” Trump pada Januari 2020 yang matlamatnya adalah untuk berusaha menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Idea ini diumumkan setelah lapan bulan AS menerbitkan rancangan ekonominya, berjudul “Peace to Prosperity”, di sebuah bengkel yang diadakan di ibu kota Bahrain, Manama pada bulan Jun 2019.

Disebutkan bahawa sebab utama rancangan “Peace to Prosperity” ini adalah untuk memastikan kesejahteraan Israel dan Palestin, kononnya sesuailah dengan nama “Peace to Prosperity” ini yang visinya untuk Meningkatkan Kehidupan Rakyat Palestin dan Israel.

Ironinya pada Januari 2020, Trump juga mengusulkan pengakuan kedaulatan negara Israel di “West Bank Settlement” dan Palestin menolaknya.

Pada bulan Ogos 2020, UAE menyatakan normalisasi hubungan dengan Israel dengan syarat mengakhiri aneksasi Tebing Barat. Dan pada bulan September 2020, Bahrain pula mengikuti langkah normalisasi Israel dengan justifikasi bahawa ia akan membawa lebih banyak kestabilan dan kemakmuran dalam negara itu.

Beberapa bulan kemudian, Oman pula mengikuti normalisasi ini dan mengajak Maghribi untuk menyertai “kelab” normalisasi Israel ini

Motif

Terdapat dua motif utama normalisasi Arab-Israel ini. Pertama dari perspektif Israel, ia adalah untuk menyekat sokongan terhadap Palestin dari segi kewangan dan politik.

Kita semua maklum bahawa secara sejarah dan tradisinya, Palestin ini mempunyai nilai sentimental yang agak besar dalam Dunia Islam, kerana ianya merupakan kiblat pertama umat Islam. Justeru, beberapa dekad yang lalu, sikap negara-negara Islam di Timur Tengah yang membela Palestin dianggap sebagai halangan utama bagi Israel.

Negara-negara Teluk adalah sumber bantuan kewangan utama untuk Palestin, terutama semasa Intifada pertama dan kedua. Jadi dengan melakukan normalisasi dengan negara-negara tersebut, ancaman terhadap kestabilan Israel dapat diminimumkan.

Selain daripada itu, Israel juga ingin mendapat sokongan dari Negara-negara Arab mengenai isu Jerusalem dan Masjid Al Aqsa, oleh itu penting bagi Israel untuk mendapatkan sokongan dari Arab Saudi sebagai pembuat keputusan utama negara-negara Islam di dunia.

Israel juga mahu memanfaatkan pasaran Negara-negara Teluk kerana mereka punya pasaran yang terbesar dan terpenting di rantau ini. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan masalah ekonomi di Israel, dan dengan langkah  normalisasi negara-negara Arab, sudah pasti masalah ekonomi dapat diatasi kerana Negara-negara Teluk akan membuka pintu dana pelaburan utama, terutama di UAE dan Arab Saudi .

Untuk motif dari perspektif negara negara Arab pula, kebanyakan mereka mengambil langkah yang pragmatik untuk menyelamatkan keadaan negara masing masing.

Sebagai contoh, Sudan sebagai salah satu negara yang pro normalisasi Israel ini, motif utamanya adalah kerana krisis ekonomi dan politik yang sedang dihadapi negara tersebut. Dalam konteks ekonomi, Sudan berada dalam keadaan inflasi dan kejatuhan mata wang, dan pandemik sekarang telah memburukkan lagi keadaan.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, AS hadir dengan tawaran menarik dengan menawarkan bantuan kewangan bernilai jutaan dolar, dan telah berjanji untuk menghapuskan negara itu dari senarai negara AS yang dituduh mempromosikan keganasan, dan sebagai ganti Sudan perlu bersetuju untuk mengiktiraf Israel. Secara logiknya, ini adalah talian hayat untuk Sudan untuk terus bertahan, tak mungkin ditolak.

Bagi Bahrain pula misalnya, normalisasi Israel ini lebih kepada untuk mengurangkan pengaruh Iran kerana Bahrain mendakwa bahawa Iran banyak melakukan campur tangan dalam politik domestiknya dengan menyokong rakyat yang berpegangan Syiah untuk menggulingkan pemerintahan Sunni di Bahrain. Dengan bergabung dengan "kelab” normalisasi Israel ini, ia dapat mewujudkan gabungan negara anti-Iran di negara-negara Arab.

UAE pula memberi justifikasi bahawa motifnya adalah untuk meningkatkan imej UAE di AS, kerana imej UAE telah dicemari dalam beberapa tahun kebelakangan ini kesan daripada beberapa isu, seperti peranan UAE dalam kempen di Yaman. UAE percaya bahawa normalisasi ini dapat meningkatkan keselamatannya dengan perkakasan dan perisian canggih yang boleh disediakan oleh AS untuk UAE.

Kesan dan Impak

Trend normalisasi diplomatik Arab-Israel ini memberikan beberapa impak dan kesan. Pertamanya adalah kritikan umum orang orang Islam terhadap negara-negara Arab kerana dilihat melanggar tanggungjawab sebagai negara Islam untuk melindungi Jerusalem sebagaimana dinyatakan dalam agama sebagai salah satu tanah suci orang Muslim.

Kritikan ini dapat dilihat sebagai contoh, negara Turki yang melemparkan kritikan keras terhadap UAE dan mengancam bahawa Turki tidak akan teragak agak untuk memutuskan hubungan diplomasi dengan UAE dan menarik kedutaannya pulang .

Selain itu, dalam konteks negara negara islam, kita dapat lihat berlakunya pertembungan puak Sunni, antara pro normalisasi Israel, dan anti normalisasi Israel seperti Turki dan Qatar. Menurut AP News (2020), Qatar masih tegas untuk tidak menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel, kerana menteri luar negerinya mengatakan bahawa normalisasi itu tidak dapat membawa manfaat bagi rakyat Palestin secara keseluruhan. Turki juga mengkritik negara-negara Timur Tengah untuk pendekatan normalisasi Israel ini.

Selain daripada itu, akibatnya adalah Palestin akan menjadi lebih lemah dari segi ekonomi dan politiknya kerana kehilangan sokongan negara-negara arab. Akibatnya, konflik antara Israel dan Palestin akan menjadi lebih buruk dengan sokongan dari timur tengah untuk Israel melaksanakan penyelesaian dua negara (two-states solution) yang jelas jelas berat sebelah kepada Israel.

Huzayl Mohd adalah seorang mahasiswa Sains Politik yang mempunyai minat mendalam terhadap politik dan falsafah pemikiran Islam selain berminat dengan diskusi negara Islam pasca-kolonialisme. Seorang idealis dalam dunia serba realisme.

Foto: Jim Lo Scalzo / EPA 

Share this Post: