Menjengah Kembali Kabotaj Malaysia

Menjengah Kembali Kabotaj Malaysia

Isu ini pernah hangat dibincangkan, namun akhirnya perlahan-lahan dilupakan, mungkin kerana hanyut dengan rus pandemik yang lebih mendesak. Begitu pun, ia bukan isu yang harus dilupakan. Kita perlu melihat kembali apa yang berlaku dan impak masa depan ke atas Malaysia kelak.

Beberapa bulan lalu, kerajaan Malaysia didesak oleh Malaysia Internet Exchange (MyIX) untuk mengembalikan pengecualian kabotaj atau cabotage bagi kapal asing untuk melakukan pembaikan kabel bawah laut, atau kita berhadapan risiko untuk kalah dan tertinggal kebelakang dengan negara-negara jiran untuk mendapat Foreign Direct Investment (FDI) di kawasan ini.

MyIX adalah inisiatif di bawah Suruhanjaya Multimedia Komunikasi Malaysia (MCMC) dan satu-satumya badan pertukaran internet nasional  tanpa untung yang dikendalikan oleh industri. Ahli jawatankuasa MyIX merangkumi wakil dari TIME dotcom, Maxis, YTL Communications, MyKRIS Asia, Celcom Axiata, REDtone dan Telekom Malaysia Berhad.

Pada penghujung Mac yang lalu, Facebook, dalam satu projek dengan Alphabet’s Google dan syarikat telekomunikasi serantau, dilaporkan akan membangunkan dua kabel baru yang dinamakan sebagai Echo dan Bifrost di dasar Laut Jawa untuk meningkatkan dan merangsangkan kapasiti talian internet di negara Indonesia dan Singapura. Kedua kabel tersebut akan dihubungkan ke Amerika Syarikat secara langsung.

MyIX melihat keputusan ini sebagai sebuah ‘kemenangan besar’ untuk negara Indonesia dan Singapura dan malang sekali adalah ‘kerugian yang ketara’ untuk Malaysia. Projek kabel Indonesia dikatakan menyokong pusat data bernilai sebanyak $1 billion yang akan dibina oleh Facebook di Singapura, tetapi tidak di Malaysia.

“Kami kalah di sini”, kata ketua MyIX, Encik Chiew Kok Hin. “Ini amat menghampakan kerana Malaysia mempunyai kekuatan dari segi infrastruktur internet kerana mempunyai lokasi geografi yang strategik, kemudahan akses, penduduk berbahasa Inggeris dan kos masuk yang agak rendah”. Chiew juga berkata beliau tidak menyalahkan syarikat gergasi teknologi global tersebut kerana mereka pasti akan tertarik kepada negara-negara yang lebih kepada polisi mesra pelabur.

Beliau juga menyatakan bahawa menurut syarikat gergasi teknologi global dengan kehadiran Malaysia, kerajaan tidak sepatutnya kenakan polisi ‘protectionist’ untuk penyelenggaran dan pembaikan kabel bawah laut. Syarikat gergasi teknologi yang memiliki atau milik bersama kabel-kabel tersebut, mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka inginkan untuk perkhidmatan dan pembaikan aset mereka. Chiew juga mengatakan bahawa ada kekurangan dengan kapal-kapal yang ditandai Malaysia dengan kemampuan yang diperlukan untuk melakukan pembaikan kabel bawah laut, ditambah dengan kelewatan dan tiada proses yang jelas pasti, dan kurangnya penglibatan dalam industri tersebut.

Sebahagian besar negara pesisir dunia tidak menganggap pemasangan atau pembaikan kabel dasar laut sebagai kabotaj dan sebilangan besar negara mendefinisikan kabotaj sebagai pengangkutan kargo atau untuk penumpang antara dua titik pesisir domestik sahaja. Tetapi dalam hal ini, kabel dan bahan pembaikan akan digunakan, bukan diangkut ke pelabuhan lain.

“Bagi saya, permintaan syarikat gergasi teknologi adalah wajar kerana mereka memahami bahawa Malaysia mempunyai undang-undang kabotaj, hanya perlu dikecualikan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kabel bawah laut”. Menurut Chiew Kok Hin, Malaysia harus buktikan atau ‘walk the talk’ untuk merealisasikan aspirasi negara di bawah inisiatif MyDIGITAL, yang berada di bawah Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Nasional.

MyDIGITAL adalah langkah strategik ke arah yang betul untuk mengembangkan Ekonomi Digital Malaysia dan dijangka menyumbang 22.6% kepada Pendapatan Negara Kasar (GDP) sambil mewujudkan lebih 500 ribu pekerjaan baru. Perkara ini telah diketengahkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat yang diadakan April lalu.

“Untuk mencapai aspirasi ini, Malaysia memerlukan infrastraktur internet yang sangat stabil, mantap dan boleh dipercayai kerana penggunaan internet pasti akan meningkat pada tahun-tahun yang akan dating untuk kerajaan, perniagaan dan juga kepada rakyat”.

Secara khusus, fasal ke-6 dalam rangka pelan pembangunan dipetik mengenai keperluan untuk menarik lebih banyak kabel dasar laut antarabangsa yang mendarat di Malaysia bagi memperluaskan dan meningkatkan hubungan internet global.

“Kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa sasarannya adalah agar Malaysia memiliki jumlah pendaratan kabel dasar laut tertinggi di Asia Tenggara pada tahun 2025. Namun, polisi kabotaj semasa mengenai penyelenggaran dan pembaikan kabel bawah laut tidak sesuai dengan garis besar tujuan dalam rangka MyDIGITAL”.

Malaysia sebelum ini, mempunyai pengecualian kabotaj untuk kapal asing bagi melakukan pembaikan kabel bawah laut – sehingga November lalu apabila ia dibatalkan oleh Kementerian Pengangkutan sekarang. Pada masa itu, Microsoft, Google, Facebook dan Malaysia Internet Exchange (MyIX), dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri, bertarikh 20 November 2020, mengatakan keputusan itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

Perubahan dasar polisi ini dikatakan akan mengakibatkan pembaikan kabel bawah laut memakan sehingga 27 hari di Malaysia; jauh di belakang negara-negara Asia Tenggara yang lain. Sebagai perbandingan, pembaikan kabel bawah laut dikatakan hanya memerlukan 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam.

Agar Malaysia dapat menarik lebih banyak pelaburan kabel dasar laut, masalah kabotaj ini perlu diselesaikan secepat mungkin; terutamanya pengecualian bagi kapal asing untuk melakukan pembaikan kabel bawah laut untuk dikembalikan secepat mungkin. Dan memandangkan Perdana menteri mencatatkan bahawa teras strategi ini sebagai keutamaan, kerajaan dan agensi-agensi berkenaan harus mengikutinya dan tidak menjadi batu sandungan bagi Malaysia untuk merealisasikan aspirasi untuk menjadi Ekonomi Digital yang lengkap.

Sebagai rakyat, kita cuma mampu bersuara dan berharap agar Kerajaan Malaysia lakukan yang terbaik untuk negara agar Malaysia tidak lagi dibendung dengan kos berlebihan yang sebolehnya kita elak pada masa yang akan datang daripada membeli bekalan internet untuk kegunaan negara.

Adam Hafiz @ Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif dan pemerhati isu semasa berkaitan budaya popular dan ekonomi digital. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.

Foto: Universal Cargo

Share this Post: