Menilai 2020 Dalam Emas

Menilai 2020 Dalam Emas

Ramai pelabur berpusu-pusu ke arah pembelian emas kerana kini harga emas naik lebih dua kali ganda akibat dari permintaan yang tinggi baru-baru ini. Hal ini terjadi disebabkan oleh langkah kuarantin di kebanyakan negara akibat pandemik Covid-19. Pengilangan emas di seluruh dunia mengalami kekurangan bekalan selain banyak operasinya dan terpaksa diberhentikan, terjejas dek krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.

Ramai masih gagal menyedari bahawa emas juga merupakan sejenis nilai mata wang di bawah sistem semasa, mungkin kerana pertukaran mata wang sering dikaitkan dengan dolar Amerika Syarikat; mungkin kerana harga emas sendiri juga turut diniagakan dalam dolar Amerika Syarikat.

Sepanjang sejarah manusia, emas telah lama dianggap sebagai logam paling berharga yang digunakan sebagai pertukaran dalam transaksi perniagaan, selain nilainya yang masih terus digunakan sebagai piawai untuk kebanyakan matawang; dari duit syiling hingga duit kertas selain sistem fiat (yang tidak disokong oleh komoditi fizikal). Sekian lama juga, inflasi dan penurunan dollar telah menyebabkan kenaikkan harga emas. Sifir mudah yang dipegang kebanyakan orang adalah pembelian emas melindungi diri daripada ketidaktentuan ekonomi global masa ke semasa.

Harga emas rintangan telah ‘pecah’ pada awal tahun 2020 ini. Harga emas rintangan iaitu secara jangka panjang dinilaikan antara USD 1,500 – USD 1,550, namun telah ‘pecah’ kepada USD 1,557 pada pengakhiran 2019. 

Pemecahan zon harga emas rintangan dijangkakan akan terus melonjak naik dalam tahun 2020. Ramalan harga emas 2020 menunjukkan petanda positif berdasarkan Economic Confidence Model (ECM) pada tahun 2011, di mana dolar akan jatuh dan emas akan mengalami kenaikan harga tertinggi. Apabila matawang dolar Amerika Syarikat mengukuh, harga emas akan tetap naik. 

Mengikut ramalan Greg Jensen dari Bridgewater, beliau menasihati golongan pelabur untuk menjadikan pelaburan emas sebagai landasan bagi portfolio pelaburan mereka kerana dengan risiko geopolitik yang sedang meningkat – dan ledakan dekad akhir dalam harga aset di Amerika Syarikat sekarang, pelaburan dalam dollar sendiri mungkin semakin pudar.

Ketegangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan negara China berterusan tanpa sebarang jalan penyelesaian. Ia ditambah pula dengan isu-isu seperti protes Hong Kong dan sikap China terhadap etnik Uighur yang bakal menjadi faktor pemacu harga emas naik dan dijangka berterusan sepanjang 2020.

Ketegangan terbaru konflik diantara Iran dan Amerika Syarikat akibat kematian General Soleimani turut meningkatkan ketegangan di seluruh Timur Tengah. Pelbagai ketegangan lain yang mengiringi kejadian tersebut turut menyebabkan permintaan emas meningkat manakala ‘emas hitam’ Timur Tengah yang menjadi rebutan dunia selama ini terjejas sehingga memberi kesan langsung terhadap harga minyak dan pasaran saham dunia.

Di Sidang Kemuncak Islam 2019 yang mengambil tempat di Malaysia, turut diumumkan bahawa negara-negara termasuk Malaysia, Iran, Turki, dan Qatar akan terus menerokai keperluan untuk dagangan menggunakan emas yang pasti akan turut menyebabkan permintaan dan nilai emas meningkat.

Harga emas pada masa ini terperangkap di tengah-tengah keadaan volatiliti dan kecairan yang tinggi mengakibatkan aset berisiko rendah menjadi permintaan tinggi berhadapan keadaan ekonomi global yang tidak dapat diramal.

Prestasi mata wang dolar Amerika Syarikat bagaimana pun sedang merudum apabila US Federal Reserve menyatakan kebimbangan mereka terhadap tahap kecairan aset yang terus meningkat tinggi sementara pencetakan wang (quantitative easing) sedang aktif dijalankan. Buat masa kini, harga emas dalam anggaran dollar adalah USD 1,698.48 (RM 7384.99) setiap troy ounce (31.1 grams). Walaupun harga emas dilihat jatuh sebanyak 1.17% namun nilainya telah meningkat sebanyak 30.47% berbanding setahun lalu.

Jika Covid-19 masih gagal dibendung, sama ada kawalan pergerakan atau perintah kuarantin; ia akan memberi kesan terhadap tahap permintaan dan pada masa yang akan datang, tahap hutang akan kian lebih meningkat. Pengurangan risiko juga akan kekal sebagai falsafah pelaburan jika penutupan ekonomi masih berterusan.

Perniagaan tidak dapat diteruskan, bermakna aliran wang tunai akan terjejas. Keadaan ini akan menyebabkan bank pusat global menghadapi Dollar funding stress di mana bank akan menukar wang kepada USD (mengikut nilai mata wang masing-masing) dan secara tidak langsung, nilai indeks dolar Amerika akan meningkat, dan menyebabkan nilai emas turun.

Pasaran sekarang memang sukar untuk diramal dan diseimbangkan kerana kita perlu lihat bagaimana pengawalan wabak ini diurus di seluruh dunia. Banyak perniagaan dari tukang emas, kilang dan ke peniaga barang kemas yang akan terkesan. Namun begitu, apabila keadaan mula beransur pulih dan kilang mula beroperasi seperti biasa dan harga emas akan kembali seperti biasa.

Adam Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.

Foto ihsan thebalance.com

Share this Post: