“ Yang terpilih menjadi ketua desa malah Debuluddin, yang tak pernah menjanjikan apa pun, yang selalu diremehkan dan selalu berdebu-debu. Dia menang lantaran masyarakat Ketumbi lelah dikibuli (ditipu) terus oleh politikus.”
Dalam novel Sirkus Pohon tulisan Andrea Hirata, beliau menceritakan perihal pemilihan ketua desa di sebuah kampung bernama Kampung Ketumbi. Terdapat beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan tersebut dan Debuluddin adalah salah seorang calon yang bertanding. Menurut kisah tersebut, Debuluddin tidak mempunyai sebarang janji kepada penduduk Kampung Ketumbi. Manifestonya boleh disimpulkan dengan dua ayat di bawah:
“Debuluddin tak punya program apa pun untuk kemajuan desa. Programnya hanya untuk membersihkan dirinya sendiri. Hal itu lebih dari cukup untuk rakyat.”
Sewaktu perdebatan calon-calon ketua kampung berlangsung, beliau tidak segan silu menjujurkan niatnya bertanding adalah untuk meninggikan martabatnya, menjadi orang terkenal dan penting yang terpandang. Debuluddin sudah bosan diremehkan, dicurigai malah harga dirinya juga diinjak-injak oleh kawannya sendiri yang telah memusnahkan rumah tangganya sehingga anak-anaknya sendiri benci dengan dirinya. Malah, beliau dengan polos memberitahu dia memerlukan gaji sebagai ketua desa untuk membeli barang keperluan sekolah anak-anaknya dan barang-barang keperluan asas untuk dirinya.
Daripada kata-kata beliau dapatlah kita simpulkan bahawa Debuluddin adalah rakyat biasa, terlalu biasa sehingga tidak mempunyai wibawa, aura, karisma dan karakter sebagai seorang ketua desa. Pendek kata, dia bukanlah calon yang akan diundi oleh kita. Bahkan, diceritakan juga bahawa beliau turut sama-sama menari dangdut bersama penduduk kampung yang lain dalam kempen pemilihan yang dilakukan Gastori, seorang calon yang dalam penilaian kita adalah seorang yang wajar malah wajib diundi sebagai ketua kampung. Gastori adalah epitom ahli politik yang penuh dengan kejahatan yang tersembunyi dan dikelilingi penasihat punahsihat yang sibuk menasihat itu ini sekaligus menampakkan kekosongan otak calon ketua kampung yang seorang ini. Debuluddin juga tidak terkecuali; tetapi dia tidak menyimpan kekosongan itu- semua orang tahu niat sebenar dia bertanding dan semua orang tahu bahawa dia tidak mempunyai rencana kejahatan apatah lagi menindas dan melakukan kejahatan ke atas orang lain. Dalam ertikata lain, Gastori dan Debuluddin adalah kutub utara dan kutub selatan, sudah ternampak jelas siapa pemenang dan pecundang sejati dalam pemilihan ketua kampung itu.
Dan pastinya anda sudah tahu siapa pemenangnya jika anda masih ingat baris pertama penulisan ini.
Semuanya kerana penduduk kampung Ketumbi sudah penat, lelah ditipu politikus seperti Gastori. Lantas, mereka memilih Debuluddin sebagai ketua kampung yang baru - seorang yang lurus dan tidak ada apa pun yang ditawarkan oleh Debuluddin untuk para pengundinya. Nah, jadi apa yang didapatkan oleh mereka yang mengundi beliau?
Kejujuran. Kepolosan bahawa duit yang diterima sebagai ketua desa hanya akan dipakai untuk keperluan diri - bukan untuk membuat bisnes sana sini agar dirinya menjadi lebih kaya raya, menyuapi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sendiri atau menyimpan duit di sebuah pulau yang tidak terdedah dengan sebarang ancaman kertas berjenama Pandora atau Panama. Orang semacam Debuluddin ini tidak memerlukan sebarang perjanjian atau MOU, tidak juga diperlukan Suruhanjaya Anti Rasuah untuk menyelidiki kekayaannya (kerana dia memang secara azalinya tidak kaya dan tidak pula mempunyai kepandaian untuk melipatgandakan kekayaannya) serta tidak perlu juga dibangunkan satu laman web yang mungkin menelan jutaan ringgit hanya untuk memapar kekayaan berjuta ringgit pemimpin-pemimpin yang diundi rakyat. Bahkan, tidak ada orang yang akan mengamuk, mencaci maki Debuluddin sekiranya dia tidak mendatangkan kebaikan atau kemajuan kepada kampung tersebut kerana dia sendiri sudah awal-awal memberitahu duit yang diterima itu sekadar untuk memenuhi keperluan diri dan anak-anaknya sahaja. Pendek kata, kejujurannya itu adalah faktor X yang tidak dimiliki oleh Gastori dan faktor X inilah yang menarik hati penduduk kampung untuk mengundi beliau kerana akhirnya, dia adalah sama seperti mereka dan tidak juga mempunyai cita-cita menggunakan jawatannya itu untuk hal lain selain keperluan asas untuk memperbaiki hidupnya agar setaraf dengan penduduk kampung yang lain.
Bayangkan sekiranya kita mempunyai pemimpin seperti Debuluddin.
Tolak tepi soal kemajuan dan pembangunan - apa guna ada semua ini jika indeks rasuah mencanak tinggi, kekayaan hanya berlegar seputar keluarga-keluarga elitis yang dihidupkan oleh politikus-politikus itu sendiri dan janji-janji yang termaktub dalam manifesto yang dijual sewaktu pilihan raya- akhirnya dibakulsampahkan dengan label “bukan kitab suci”.
Sebenarnya, rakyat Malaysia sudah memilih untuk membuang Gastori dalam pilihan raya yang lalu dengan berakhirnya pentadbiran sebuah parti politik yang terus-menerus menjadi kerajaan sejak hari pertama kemerdekaan. Malangnya, kita tidak mempunyai calon seiras Debuluddin; yang ada hanya kembar Gastori yang akhirnya mengeruk seluruh kekayaan negara (seperti biasa) dan hanya kroni-kroni yang dibiar hidup mewah semewahnya. Kemudian, berlaku pergolakan kuasa yang tidak perlu saya perincikan di sini; cukuplah sekadar kalau kita boleh katakan rakyat di bawah sama sahaja menderita dan yang di atas sama sahaja mewah selamat. Pendek kata, nothing change.
Watak Debuluddin yang diketengahkan oleh Andrea Hirata itu barangkali adalah satu parodi atau ianya adalah watak idealistik yang dimahukan oleh rakyat dalam memilih pemimpin. Realiti yang ada masa ini ialah orang yang jujur hayatnya tidak lama dalam politik - siap untuk dicantas atau ditikam oleh orang-orang yang tinggi cita-cita dan besar perangai oportunistiknya. Realiti yang ada masa ini juga ialah kita lebih selesa dengan imej “dewa” seorang pemimpin yang hidupnya perlu sakan dengan kemewahan dan kita juga melihat mereka sebagai sumber bantuan untuk segalanya- bantuan kewangan, bantuan makanan, bantuan menyelesaikan masalah longkang tersumbat, bantuan cari kerja, bantuan surat sokongan masuk universiti, bantuan “kabel” untuk cari kerja dan bantuan-bantuan selanjutnya. Jadi tak mengapalah kalau mereka dibayar belasan, puluhan ribu dan menggunakan duit itu untuk menumpuk lagi kekayaan melalui perniagaan sana sini, pelaburan sini sana asalkan imej dan perilaku mereka sebagai pemimpin tetaplah sama sebagai dewa yang dimewahkan.
Hakikatnya, politik kita masih dipenuhi dengan Gastori. Debuluddin masih sahaja berdebu-debu tidak kelihatan dan kita pula masih selesa ditipu untuk sekian kalinya. Atau apakah kita akan mula mengerti pentingnya kejujuran yang perlu ada dalam setiap diri politikus dan akhirnya kita, sebagai rakyat, secara kolektif dengan beraninya mengambil keputusan untuk mengundi Debuluddin dan berhenti daripada ditipu untuk sekian kalinya?
Pilihan ada di jari dan hati nurani kita.
Zharif Badrul adalah pembaca Alternatif Press.
Foto: Berita Harian
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.