Mengingati Runtuhnya Tembok Berlin

Mengingati Runtuhnya Tembok Berlin

Lebih 30 tahun lalu, sebuah peristiwa penting telah berlaku. Peristiwa ini sangat monumental dan bagi sejarawan moden, dianggap sebagai antara turning point terbesar dunia selepas Perang Dunia Kedua. Jika peristiwa ini tidak berlaku, dunia yang kita kenali hari ini mungkin akan kelihatan sangat berbeza. Peristiwa tersebut adalah Keruntuhan Tembok Berlin 1989.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Eropah telah terbahagi kepada beberapa pecahan kuasa – paling ketara adalah antara Kesatuan Soviet dan perikatan kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis. Jerman sebagai negara yang dikalahkan oleh dalam Perang Dunia Kedua, menjadi tapak buat kuasa-kuasa ini kembali bertembung sebaik tamat perang.

Jerman, dengan Berlin sebagai ibu negaranya terbahagi kepada dua – Barat dan Timur. Jerman Barat dikuasai oleh Perikatan Barat dengan Amerika Syarikat memainkan peranan paling ketara disamping Britain dan Perancis, manakala Jerman Timur dikuasai oleh Kesatuan Soviet, hari ini dikenali sebagai Persekutuan Rusia.

Jerman Timur yang di bawah kuasa Soviet dikenali secara rasmi sebagai Republik Demokratik Jerman dan dianggap sebagai pusat kuasa buat Kesatuan Soviet di Eropah Barat. Ia ditadbir mengikut ketetapan Moscow – birokratik dan dilimpahi propaganda anti Barat. Jerman Barat pula menjadi cerminan kepada kuasa ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat; serba bebas dan dilimpahi konsumerisme.

Ibu kota Berlin turut terbahagi kepada zon-zon yang berbeza mengikut pihak yang menguasainya. Pada 1961, selepas mengalami banyak kes pelarian rakyatnya ke sebelah Barat Jerman, yang menandakan kemerosotan kuasa pemerintah, Soviet telah pun membina apa yang dikenali sebagai Tembok Berlin untuk memisahkan Timur dan Barat, serta menghalang rakyatnya melintas ke seberang barat Berlin.

Tembok Berlin menjadi simbol fizikal bukan sahaja buat pemerintahan keras Kesatuan Soviet di Jerman, sebaliknya juga garis jelas antara ideologi yang sedang bertembung dalam geopolitik dunia. Tembok Berlin menjadi monumen dan ancaman buat kestabilan pertembungan politik dunia yang ketika itu masih belum lagi pulih sepenuhnya dari Perang Dunia Kedua.

Perang Dunia Kedua yang mengorbankan jutaan nyawa tidak berdosa bermula di Jerman, apabila sebuah sisi pandang politik yang ekstrim cuba dizahirkan melalui tindakan perang. Dunia masih trauma dan berparut dengan apa yang berlaku tidak sampai dua dekad sebelum tersebut. Apabila kuasa politik dunia yang pernah bergabung untuk menghentikan kemaraan rejim fasis Nazi, tiba-tiba menyambung semula pertembungan dalam dunia baharu, ia menimbulkan keresahan awam, dan kebimbangan akan tercetusnya perang baharu.

Dan sememangnya ia adalah apa yang berlaku – tahun-tahun selepas Perang Dunia, Presiden Truman (AS) dan Brezhnev (Soviet) terus-menerus menakutkan dunia dengan Perang Dingin antara dua pentadbiran mereka. Perang Dingin mungkin tidak menyaksikan bedilan meriam, senapang, dan bom seperti Perang Dunia antara kedua-dua negara tersebut, namun seluruh dunia sedar dengan beberapa tajuk berita yang mengisi perang tersebut, termasuklah perang-perang proksi di Timur Tengah dan Asia, perlumbaan ke angkasa, dan tentu sekali pembinaan senjata nuklear secara besar-besaran oleh negara-negara besar, yang mengimbau kembali tragedi di Hiroshima dan Nagasaki.

Selama lebih 20 tahun Tembok Berlin terus memisahkan Berlin dan rakyat di dalamnya, menyumbang kepada bukan sahaja keruncingan politik dalam negeri, sebaliknya hampir keseluruhan Eropah. Dunia Barat, dan geopolitik dunia. Perang Dingin sebagai latar belakang kemelut – yang mengakibatkan banyak sekatan ekonomi sebagai strategi dalam pertelingkahan kuasa-kuasa besar dunia akhirnya merosotkan ekonomi Jerman Timur – memaksa rakyatnya di Berlin untuk bangkit melawan. Peristiwa letusan reaktor jana kuasa nuklear Chernobyl turut menjejaskan Soviet pada 1986 – yang dianggap menjadi permulaan besar kepada kejatuhan blok kuasa Komunis tersebut.

Kejatuhan Soviet ini akhirnya termaktub apabila Gorbachev, yang ketika itu memimpin Kesatuan Soviet tersepit antara krisis dalaman parti dan penentangan-penentangan dalam kalangan jajahan Soviet seperti Poland, Estonia, Latvia, Hungary dan lain-lain. Di Moscow, suara-suara yang membawa arus baharu, arus reformasi dalam Soviet juga mula menghangatkan perdebatan tentang hala tuju Soviet berhadapan zaman baharu. Gorbachev akhirnya mengumumkan langkah baharu untuk Soviet – yang dikenali sebagai “Glasnost” iaitu keterbukaan, dan “Perestroika” iaitu penstrukturan semula. Pengumuman Gorbachev ini juga antara yang dianggap sebagai penamat buat Perang Dingin antara Soviet dan Amerika Syarikat.

Di Jerman, pada 9 November 1989, dengan pelbagai krisis yang timbul akibat kemelut kuasa dan kemerosotan Soviet sendiri, dan dasar terbuka dan penstrukturan semula yang diumumkan Gorbachev, Tembok Berlin akhirnya runtuh selepas 5 hari protes besar-besaran, yang menghimpun lebih setengah juta rakyat dari Berlin Timur yang menuntut pembaharuan pemerintahan serta ruang pembebasan buat kehidupan mereka.  

Keruntuhan Tembok Berlin bermula secara tidak sengaja, apabila jurucakap buat pemerintah di Berlin Timur, tanpa memeriksa nota ucapannya telah mengumumkan kebenaran buat rakyat di Berlin Timur untuk menyeberang ke Berlin Barat tanpa perlu lagi melalui proses pemeriksaan dan permit yang ketat. Pengumuman tersebut telah menjadi sebuah berita yang membawa keluar ratusan ribu rakyat terutama kaum muda Berlin Timur mendekati tembok pemisah tersebut.

Panik dengan kehadiran begitu ramai orang yang baru mendapat berita, pintu sempadan Tembok Berlin terpaksa dibuka. Tidak cukup dengan pembukaan pintu sempadan, orang ramai turut membawa tukul, pahat, dan kapak dan perlahan-perlahan memecahkan tembok yang berdekad lama memisahkan negara mereka sendiri. Peristiwa ini dirakam sebagai sebuah siri perlawanan penting pasca Perang Dunia Kedua yang mengubah dunia selama-lamanya.

Moscow tidak bertindak balas melalui jalan ketenteraan, sebaliknya menerima “kekalahan” dengan beransur-ansur mengubah landskap politik negaranya sendiri. Kuasa Komunis Soviet akhirnya meletakkan titik noktah, dan Rusia membuka pintunya untuk menerima keterbukaan dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir ekonomi. Unsur-unsur demokrasi perlahan-lahan menggantikan birokrasi mereka.

Runtuhnya Tembok Berlin akhirnya menjadi peristiwa yang menandakan tamatnya Perang Dingin, dan pertembungan ideologi dalam geopolitik dunia. Untuk pertama kali buat sekian tahun, angin perubahan bertiup kencang semula. Pertembungan kuasa besar dunia dilihat perlahan-lahan melabuhkan tirainya. Kestabilan politik dunia bakal dicapai, dengan ancaman perang besar termasuk perang nuklear dapat dilupakan buat sementara waktu.

Jika tidak runtuh Tembok Berlin 30 tahun dahulu, dunia hari ini mungkin akan kelihatan berbeza. Ada yang berpendapat andai November 1989 tidak berlaku, dunia akan menyaksikan lebih banyak peperangan besar antara blok-blok Timur dan Barat. Ada juga yang beranggapan, andai Tembok Berlin masih utuh hari ini, Amerika Syarikat pula mungkin tidak menjadi kuasa dunia sebesar hari ini. Apa sekali pun, jika generasi hari ini sedang menikmati kehidupan zaman sekarang, berterima kasihlah kepada runtuhnya Tembok Berlin. - ALTERNATIF

Foto hiasan ihsan Gerard Malie, sumber AFP/Getty Image

Share this Post: