Menghuni Angkasa

Menghuni Angkasa

Angkasa lepas, satu kawasan yang gelap dan kosong jika dilihat daripada mata kasar.

Hakikat di sebalik ‘kekosongan dan kegelapan' itu, angkasa lepas merupakan satu kawasan yang berbahaya untuk dikunjungi apalagi untuk dijadikan tempat tinggal.

Selepas manusia pertama Yuri Gagarin  menjejakkan kaki angkasa lepas, ia telah menguatkan lagi impian umat manusia  untuk terus menetap dan tinggal di angkasa lepas.

‘Perlumbaan Angkasa’ yang bermula sejurus berakhirnya Perang Dunia kedua oleh dua kuasa besar ketika itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet merancakkan lagi perlumbaan untuk membina penempatan atau koloni di ruang angkasa.

Pada awal pembinaan stesen angkasa, stesen yang dilancarkan mempunyai reka bentuk dan dibina secara monolitik. Stesen-stesen ini dibina terus membentuk satu stesen angkasa lepas dan dilancarkan ke angkasa lepas.

Kesatuan Soviet menjadi negara pertama yang melancarkan stesen ini ke angkasa lepas yang diberi nama ‘Salyut 1’ yang dilancarkan pada tahun 1971.

Kesemua stesen angkasa lepas yang menjadi pelopor kepada program ini diberi nama Salyut yang bermaksud ‘tabik’ atau pun ‘bunga api’ dalam Bahasa Rusia.

Salyut juga terdiri daripada dua jenis yang berbeza, di mana ‘Salyut 2’, ‘Salyut 3’, dan ‘Salyut 5’ merupakan sebahagian daripada projek ketenteraan milik Kesatuan Soviet yang juga dikenali sebagai Almaz.

Sebaliknya, stesen yang digunakan untuk tujuan awam dikenali sebagai ‘Salyut 6’ dan ‘Salyut 7’

Kedua-dua stesen ini mempunyai sedikit perbezaan dari segi bentuk berbanding stesen yang dibina untuk tujuan ketenteraan di mana stesen ini mempunyai dua ‘docking port’ yang bertujuan untuk membolehkan kapal angkasa kedua untuk berlabuh di stesen tersebut.

Selain itu, Amerika Syarikat juga mempunyai stesen perintis angkasa lepas yang dikenali sebagai ‘Skylab’ juga mempunyai dua ‘docking port’.

Ia bertujuan untuk membenarkan kapal angkasa Progress untuk menghantar bekalan bagi misi yang mempunyai tempoh yang panjang walaupun ia tidak pernah digunakan sepanjang tempoh operasinya.

Sekitar pertengahan tahun 80-an Kesatuan Soviet mula memperkenalkan ‘Mir’. Mir mempunyai rekabentuk yang modular. Reka bentuk ini memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada misi dan operasi yang ingin dilakukan.

Di samping itu, reka bentuk ini juga mengurangkan keperluan untuk membina roket pengangkut yang mampu mengangkut beban yang lebih besar dan berat ke angkasa.

Hal ini disebabkan stesen akan dibina sedikit demi sedikit dengan bahagian asas dilancarkan terlebih dahulu kemudian setiap bahagian stesen yang lain akan ditambah berdasarkan keperluan semasa.

Sehingga sekarang modul stesen angkasa milik Rusia masih dibina berdasarkan keupayaan dan reka bentuk Mir.

Keruntuhan Kesatuan Soviet telah membuka peluang kepada kerjasama di antara Amerika Syarikat dan Rusia yang mewarisi teknologi dan segala kelengkapan yang dimiliki Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1994 satu momen sejarah tercipta apabila kosmonaut daripada Rusia Sergei Krikalev, memasuki kapal angkasa Amerika Syarikat.

Ini merupakan kerjasama awal antara dua seteru yang berlumba mahu menjadi kuasa besar dalam ‘Perlumbaan Angkasa’ sejak bermulanya Perang Dingin.

Kerjasama antara Rusia dan Amerika Syarikat dalam perkara ini telah membuahkan hasil apabila kedua kuasa besar ini bersetuju untuk membina sebuah stesen angkasa yang besar atau pun ‘International Space Station’ (ISS).

Pembinaan ISS juga merupakan kerjasama kolektif daripada beberapa agensi angkasa yang lain termasuk Japanese Aerospace Exploration Agency (JAXA), European Space Agency dan Canadian Space Agency.

Program ISS ini pada asalnya merupakan program cetusan Amerika Syarikat pada tahun 1984 yang mahu membina sebuah stesen angkasa yang mampu kekal di orbit Bumi secara tetap dan juga merupakan program kesinambungan Mir-2 oleh Kesatuan Soviet.

Binaan terbesar yang pernah dibina di ruang angkasa ini berfungsi sebagai makmal kajian mikrograviti dan persekitaran angkasa dalam bidang saintifik seperti biologi, fizik, metereologi dan lain-lain.

Pembinaan ISS ini bermula pada pertengahan 1990-an dan memandangkan program ini merupakan kerjasama antara pelbagai agensi, segala komponen yang digunakan dibina dan dibuat di serata dunia. 

Pembinaannya mengambil masa kira-kira satu dekad bermula pada tahun 1998 apabila modul pertamanya, Zarya dilancarkan pada November tahun tersebut. 

Ia juga merupakan stesen angkasa yang paling lama dihuni sejak menerima peghuni pertamanya pada tahun 2000 dan masih diduduki sehingga sekarang.

Stesen ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Russian Orbital Segment dan US Orbital Segment. Russian Orbital Segment merupakan bahagian yang dikawal oleh Russian Federal Space Agency (Roscosmos) dan merupakan bahagian yang mengawal navigasi dan pengawalan keseluruhan stesen.

Seterusnya, US Orbital Segment merupakan bahagian yang dibina hasil kerjasama NASA, ESA, JAXA, dan CSA. Keunikan yang terdapat pada bahagian ini, ia dikawal dan dipantau oleh pusat kawalan misi dari serata dunia termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, dan Jepun.

ISS dikuasakan oleh lapan panel solar bersisi dua yang berukuran 35 meter panjang dan 12 meter lebar. Keseluruhan panel ini mampu menjana sebanyak 240 kilowatt elektrik daripada pancaran matahari yang diterima secara terus.

Sementelah itu, ISS menggunakan kaedah elektrolisis untuk menjana oksigen yang diperlukan oleh stesen tersebut.

Satu fakta yang menarik ISS yang boleh dihargai oleh kita dari Malaysia adalah ia telah dilawati oleh angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar Shukor pada tahun 2007.

Jadi, di sini dapat disimpulkan kerjasama antara negara yang melangkaui ideologi dan pandangan politik merupakan jalan terbaik untuk meningkatkan keupayaan umat manusia untuk terus menawan angkasa lepas.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: NASA

Share this Post: