Pernahkah anda terfikir apakah kerlipan cahaya yang bergemerlapan indah seluas mata memandang saat melihat ke langit pada waktu malam? Apakah sebenarnya objek bercahaya yang dipanggil sebagai bintang ini?
Tahukah anda hanya lebih kurang 5,000 sahaja bintang-bintang yang mampu dilihat oleh mata kasar manusia (Ya, itu pun bergantung kepada faktor cuaca dan pelbagai faktor-faktor yang lain!) walaupun dianggarkan terdapat lebih daripada satu trillion jumlah bintang-bintang yang terdapat di alam semesta?
Jadi, apakah objek berkilau yang menghiasi keindahan langit pada waktu malam dan pernah menjadi rujukan dan penanda arah kepada para pengembara suatu ketika dahulu?
Secara ringkasnya, bintang merupakan sebuah objek astronomi berplasma yang berbentuk sfera dan menghasilkan cahaya.
Sesebuah bintang ini lahir apabila nebula yang sebahagian besarnya terdiri daripada gas hidrogen, bersama helium dan debuan serta habuk yang terampai di angkasa lepas ini terkumpul sehingga berlakunya peningkatan gravtiti.
Peningkatan daya graviti ini menyebabkan berlakunya proses pemampatan terhadap gas-gas nebula yang dalam pada masa yang sama menjadi punca kepada peningkatan suhu.
Peningkatan suhu yang tinggi ini menyebabkan berlakunya proses pelakuran nuklear (nuclear fusion), suatu proses di mana satu atom atau lebih bergabung dan membentuk satu atom yang baru serta membentuk unsur yang lebih berat.
Jadi, apa yang berlaku adalah dua atom hidrogen melalui proses pelakuran nuklear dan membentuk atom helium, atau dalam bahasa mudahnya dua hidrogen bergabung dan membentuk unsur helium.
Selain itu, proses pelakuran dan pembentukan helium ini juga membebaskan haba dan cahaya. Secara dasarnya, cahaya dan haba yang dibebaskan oleh bintang merupakan hasil daripada proses termonuklear yang berlaku.
Boleh dikatakan keseluruhan hayat aktif sesebuah bintang itu, ia akan berterusan melakukan proses penggabungan hidrogen yang merupakan ‘bahan bakar’ bagi sebuah bintang.
Pada mulanya, sekitar lewat abad ke-19 bintang-bintang dikelaskan mengikut ‘garisan hidrogen’ yang berasaskan perubahan tenaga atom hidrogen dalam keadaan neutral.
Walaupun begitu, pengelasan bintang moden diklasifikasikan berdasarkan spektrum warna atmosfera sesebuah bintang yang menunjukkan suhu permukaan sebuah bintang.
Berdasarkan pengelasan ini, bintang yang mempunyai suhu permukaan paling panas merupakan bintang yang mempunyai permukaan yang berwarna kebiru-biruan dan yang mempunyai suhu yang paling rendah akan mempunyai warna jingga kemerah-merahan.
Seterusnya, sebuah bintang itu tidak akan bersinar buat selamanya. Sampai suatu masa sesebuah bintang juga akan bertemu dengan ‘kematiannya’. Tetapi, saiz sesebuah bintang itu akan mempengaruhi tempoh hayat dan cara kematiannya.
Bintang yang bersaiz sangat besar akan mempunyai jangka hayat yang sangat pendek disebabkan terasnya yang lebih panas dan proses pelakuran nuklear itu berlaku dengan amat pantas sekali gus memendekkan hayatnya.
Dalam erti kata lain, andai bintang yang bersaiz besar ini diumpamakan sebagai sebuah kenderaan, kenderaan yang bersaiz besar dan mempunyai enjin yang lebih besar kuasa kudanya akan membakar bahan bakar dengan lebih pantas berbanding kenderaan yang bersaiz lebih kecil dan mempunyai enjin yang lebih rendah kuasa kudanya.
Bagi bintang yang bersaiz besar, walaupun proses pelakuran hidrogen itu berlaku dengan sangat pantas, dek kerana kepanasannya proses pelakuran masih berlaku terhadap elemen-elemen yang berat yang terhasil daripada pelakuran hidrogen seperti helium dan karbon.
Dan, sampai suatu saat bahan bakar ini menyusut dan kehabisan, bintang ini akan mulai runtuh dan lapisan luarnya akan meletup. Letupan yang maha dahsyat yang terhasil inilah yang dipanggil ‘Supernova’.
Sisa tinggalan hasil daripada letupan inilah yang akan membentuk apa yang dipanggil sebagai ‘Bintang Neutron’ yang merupakan objek angkasa sangat tumpat dan seandainya sesudu material bintang neutron ini dibawa ke Bumi, beratnya akan mencapai satu bilion tan!
Namun, andai sesebuah bintang itu mempunyai jisim yang mencukupi, hasil letupan daripada supernova tersebut akan mewujudkan apa yang dipanggil lohong hitam (black hole). Lohong hitam ini terjadi akibat keruntuhan graviti yang berlaku pada teras bintang tersebut
Lohong hitam ialah satu kawasan di mana kewujudan daya gravitinya terlalu kuat, sehingga tiada zarah mahu pun sinaran radiomagnetik seperti cahaya juga tidak mampu dan gagal untuk keluar dan melawan daya graviti yang dijana oleh lohong tersebut.
Selain itu, andai sesebuah bintang itu hanya bersaiz sederhana seperti bintang di Sistem Suria iaitu Matahari, (YA, Matahari merupakan sebuah bintang) ia akan mengalami pengakhiran yang berbeza dan ‘kematian’ lebih yang lebih menenangkan.
Saat bintang bersaiz ini kehabisan bahan bakarnya hidrogen, helium akan menggantikan hidrogen sebagai bahan bakarnya dan proses pelakuran helium akan mula berlaku diterasnya dan ini mengakibatkan bintang ini berubah menjadi ‘Bintang Merah Gergasi’.
Namun, perlahan-lahan bintang ini akan menyejuk dan lapisan luarnya akan terhakis dan menjadi ‘planetary nebula’. Teras yang ditinggalkan bintang ini akan menjadi “Bintang Kerdil Putih” (white dwarf) yang akan terus menyejuk selama berbilion tahun.
Akhir sekali, bintang yang bersaiz sangat kecil atau “Binatang Kerdil Merah” akan mengambil masa yang sangat lama untuk membakar bahan bakarnya pada kadar yang sangat perlahan dan mungkin mampu terus bersinar hingga 100 bilion tahun. Suatu tempoh yang lebih lama berbanding tempoh kewujudan alam semesta ini sendiri.
Konklusinya, di sebalik keindahan yang terlihat dari jauh, bintang merupakan satu kejadian alam yang menakjubkan yang akan terus menyinari pandangan mata, dan dalam pada masa yang sama merupakan suatu fenomena yang menggerunkan di sebalik keindahannya.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto: Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.