Sejak manusia mula memerhatikan langit, segala pemerhatian yang dilakukan hanya bergantung kepada pandangan mata kasar.
Pemerhatian melalui mata kasar ini atau pun optikal astronomi merupakan kaedah yang paling lama dan yang paling tua yang dilakukan oleh para ahli astronomi untuk mengkaji bintang-bintang dan jasad di langit.
Radio astronomi merupakan salah satu cabang dalam sains astronomi yang menggunakan gelombang radio sebagai medium untuk mengkaji jasad-jasad yang terdapat di ruang angkasa.
Walaupun ahli fizik telah lama membuat andaian gelombang radio boleh dikaji pada jasad-jasad yang terdapat di angkasa lepas, namun mereka gagal membuktikan hal ini.
Meskipun, terdapat beberapa eksperimen yang dijalankan dari abad ke-18 untuk mengesan gelombang radio yang dikeluarkan oleh Matahari, kesemua eksperimen ini gagal untuk mengesan gelombang radio akibat kekangan teknikal peralatan sains ketika itu.
Penemuan ionosfera, lapisan atas atmosfera bumi, telah menyebabkan para saintis merumuskan bahawa lapisan tersebut telah membalikkan semula gelombang radio angkasa semula ke angkasa lepas.
Karl Guthe Jansky menjadi orang pertama yang berjaya menemukan gelombang radio angkasa secara tidak sengaja pada awal tahun 1930-an.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai jurutera di Bell Telephone Laboratories sedang menyiasat gangguan statik yang mengganggu transmisi suara gelombang pendek transatlantik menggunakan antena satu arah.
Antena tersebut merekodkan satu isyarat yang berasal daripada sesuatu yang tidak diketahui puncanya dan dan merekodkan bacaan tertinggi setiap 24 jam.
Janky pada awalnya menyangka sumber gangguan ini berasal daripada Matahari tetapi analisis yang lebih mendalam menunjukkan bacaan tersebut menyamai kitaran Matahari sebaliknya mempunyai tempoh kitaran selama 23 jam 56 minit.
Janky telah membincangkan hal ini bersama kawannya, Albert Melvin Skellett, seorang ahli astrofizik dan guru yang menerangkan kepada Janky waktu puncak bagi bacaan isyarat tersebut bersamaan dengan ‘waktu ikut bintang’ atau sidereal time.
Waktu ikut bintang merupakan tempoh masa bagi sesuatu objek astronomi untuk berada selari dengan antenanya yang setiap kali Bumi berputar.
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat dan membandingkannya dengan peta astronomi beliau merumuskan bahawa isyarat tersebut berasal dari bahagian dalam Bimasakti, atau Milky Way yang paling padat, Sagittarius.
Pada tahun 1933, Jansky mengumumkan penemuannya dan bercadang untuk meneruskan kajian beliau. Namun, Bell Labs telah mengarahkan beliau untuk mengambil projek lain dan beliau tidak meneruskan kajiannya dalam bidang astronomi.
Sebagai menghargai usaha Jansky sebagai pelopor dalam bidang radio astronomi, unit bagi flux density, telah dinamakan sempena nama beliau, jansky (Jy).
Beberapa teknik digunakan oleh ahli astronomi untuk melakukan pencerapan tetapi beberapa faktor yang mempengaruhi pencerapan antaranya atmosfera bumi, kelembapan udara dan juga gangguan gelombang radio.
Hal ini menjadi punca kebanyakan balai pencerapan gelombang radio ini dibina di kawasan yang kering seperti di kawasan gurun dan di kawasan yang jauh dari peradaban manusia.
Ahli astronomi menggunakan teleskop radio untuk mencerap gelombang radio. Memandangkan gelombang radio yang dicerap terdiri daripada pelbagai spektrum, saiz dan jenis radio gelombang yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis.
Pada gelombang yang lebih pendek, pencerapan dilakukan dengan menggunakan antena parabolik yang besar.
Contoh teleskop radio seperti ini dan yang paling dikenali ialah Arecibo Observatory yang terletak di Puerto Rico. Radio teleskop yang dibina pada tahun 1963 ini merupakan radio teleskop yang terbesar di dunia selama lebih kurang 50 tahun.
Sekarang gelaran ini disandang oleh Five hundred meter Aperture Spherical Telescope ( FAST ) yang siap dibina pada tahun 2016 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020.
Selain itu, radio teleskop juga boleh dibina dengan menggunakan teknik yang dipanggil radio interferometri. Berbeza dengan menggunakan satu antena parabola yang besar, teknik ini menggunakan beberapa antena parabola.
Beberapa parabola ini akan disambungkan untuk dan data daripada beberapa parabola yang disambungkan ini akan diproses untuk seolah-olah ‘meniru’ satu parabola yang besar.
Teknik ini digunakan dengan bertujuan untuk meningkatkan resolusi pencerapan yang dilakukan. Karl G. Jansky Very Large Array merupakan salah satu balai pencerapan yang menggunakan teknik ini untuk melakukan pencerapan.
Tiga buah negara juga telah menghantar tiga buah teleskop radio ke angkasa lepas iaitu, Soviet Union dan Russia yang telah menghantar dua buah teleskop ke angkasa lepas serta juga Jepun yang berjaya menghantarnya ke angkasa pada tahun 1997.
Penemuan gelombang radio di angkasa telah membuka satu lembaran baru kepada sains astronomi dan merevolusi pemerhatian dan kefahaman tentang bagaimana dan mengapa kosmos itu berfungsi secara keseluruhannya.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto hiasan ihsan Pinterest
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.