Mencari Jalan

Mencari Jalan

Cari Jalan

Digunakan setiap hari oleh rider Grabfood dan FoodPanda, atau untuk kaki makan mencari tempat makan sedap, aplikasi navigasi seperti GoogleMap dan Waze telah banyak mengubah cara hidup kita. Apatah lagi bila telefon pintar, satu alat yang dimiliki oleh hampir semua rakyat Malaysia menyokong penggunaan aplikasi ini.

Tetapi tidak ramai orang tahu bagaimana ia berfungsi. Adakah telefon bimbit kita terus berhubung dengan satelit di angkasa untuk menentukan kedudukan kita?

Bagaimana agaknya satu satelit memberitahu kedudukan jutaan pengguna aplikasi ini di seluruh dunia?

Kebanyakkan telefon pintar sekarang mempunyai sokongan Global Positioning System (GPS), sebuah sistem yang dibangunkan untuk memberitahu dimanakah kedudukan kita dengan bantuan satelit. Bila kita sudah tahu dimana kita berada, dan dipadankan dengan peta jalan dan maklumat laluan yang lazim digunakan pengguna, aplikasi ini dapat menunjukkan kita arah tuju dengan tepat, dan laluan paling singkat untuk sampai ke lokasi tujuan kita.

Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang bagaimana GPS berfungsi, wajar kita hargai sejarah dan bagaimana bapa dan datuk nenek kita mencari jalan pada zaman sebelum aplikasi ini wujud. 

Pada zaman dahulu, manusia sangat bergantung kepada kedudukan bintang untuk menentukan arah utara dan selatan, misalnya Buruj Pari (Crux) yang berbentuk palang dengan bintang di hujung palang itu sentiasa menunjukkan ke arah selatan dan Buruj Biduk (Big Dipper) berbentuk senduk dengan dua bintang di hujung menunjuk ke arah utara. Pada zaman ini, manusia melihat ke atas untuk mencari arah, sehinggalah penemuan alat kompas. 

Walaupun kompas banyak membantu manusia menentukan arah, namun pengetahuan manusia tentang mukabumi masih terhad, menyebabkan banyak kesalahan berlaku seperti yang paling terkenal kesilapan Christopher Columbus menggelar orang asal benua Amerika sebagai Red Indian kerana menyangka beliau telah sampai ke India. 

Perlumbaan untuk melukis peta dalam sejarah manusia bermula dari tujuan pembahagian kuasa, penaklukan wilayah jiran dan penguasaan pasaran rempah ratus dan kini sekadar mencari jalan pintas yang tidak sesak untuk berulang-alik ke pejabat atau laluan mengelak tol, yang pastinya dapat menjimatkan wang.

Sekarang kita akan cuba memahami secara ringkas bagaimana GPS berfungsi tanpa istilah yang terlalu teknikal.

Pada asasnya, telefon bimbit kita tidaklah bertanya lokasi kita terus dengan satelit di angkasa, sebaliknya cuma mendengar mesej yang sentiasa dikeluarkan oleh satelit-satelit ini. Isyarat ini kemudiannya digunakan untuk mengira jarak antara kita dan satelit tersebut, makin lama isyarat itu sampai, makin jauhlah kedudukan kita dan kiraan ini dilakukan secara automatik dalam kiraan milisaat.  

Tapi isyarat dari satu satelit tak cukup untuk tahu kedudukkan kita secara tepat, sebaliknya kita perlukan sekurang-kurangnya empat satelit untuk melakukan kiraan trilaterasi. Trilaterasi ini adalah proses mencari kedudukan sebuah titik berdasarkan jarak titik tersebut ke minimal 3 buah koordinat yang sudah diketahui.

Apabila telefon pintar kita tahu jarak antara setiap satu satelit, dan jarak antara kita dan satelit-satelit itu, ianya mampu memberitahu secara tepat dimanakah kedudukan kita di bumi, kemudiannya meletakkan kita di atas peta yang sememangnya telah tersedia.

Aplikasi peta sekarang ini bukan sahaja membantu kita mengetahui jalan, malah boleh digunakan untuk membantu penjenamaan gerai dan mempromosikan tempat tarikan pelancong oleh usahawan. Pelanggan juga boleh berkongsi gambar makanan, menu, harga malah memberi maklumbalas tahap kemesraan jurusaji kebersihan gerai, waktu operasi dan banyak lagi.

Teknologi bergerak pantas saban tahun, banyak perkara yang datuk nenek kita tak pernah fikirkan kini tersedia di hadapan kita. Persoalan yang perlu kita tanya kepada diri kita ialah selama mana kita hanya akan kekal sebagai pengguna, atau kita mampu menggunakan teknologi seperti ini untuk menyelesaikan masalah masyarakat sekeliling. Ada idea menarik?

Zulfadzli Halim adalah seorang teknokrat yang gemar berkongsi ilmu terutamanya bab makanan. Bapa kepada empat orang anak yang masih gagal mencari erti kehidupan.

Foto ihsan Skaman306 / Getty Images

Share this Post: