Mencari Erti Tujuan Hidup

Mencari Erti Tujuan Hidup

Tidak beberapa lama dahulu, saya ada menonton sebuah dokumentari yang sangat memberikan inspirasi mengenai legenda tinju, Muhammad Ali. Pada penghujung dokumentari tersebut, disiarkan rakaman sebenar panggilan telefon beliau dengan anaknya, Hana Yasmeen Ali.  

Muhammad Ali bertanya kepada anaknya, apakah fungsi kamu? Allah tidak akan lahirkan kamu di dunia ini tanpa sebab. Setiap makhluk dari sekecil-kecil kuman, serangga hinggakan sebesar besarnya matahari, awan, hujan segalanya dijadikan Allah dengan fungsi dan tujuan tertentu. Jadi apakah tujuan hidup kamu?  

Kenyataan ini amat tepat untuk menggambarkan perkara yang saya belajar setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang pertanian organik secara komersial.  Mengikut konsep pertanian organik yang saya amalkan, setiap makhluk dan elemen yang ada dalam sesuatu kebun ada fungsinya yang tersendiri.  Oleh sebab itu, semua aktiviti penanaman berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan yang paling penting adalah penggunaan bahan kimia sama ada baja atau racun tidak dibenarkan sama sekali. Hal ini adalah untuk menggelakkan daripada mengganggu keseimbangan ekologi di kawasan tersebut.  

Mari saya terangkan secara ringkas.

Kadang-kadang tanaman kita tidak menjadi, layu sebelum sempat matang sedangkan tanaman yang sama di rumah jiran sebelah kita sangat subur.

Mengapa?  

Mengikut pengalaman saya, hampir semuanya adalah berkaitan dengan matahari. Tahukah rakan-rakan pembaca bahawa terdapat perbezaan yang sangat besar antara sinaran matahari pagi dan petang?

Matahari adalah makhluk yang tidak dapat kita dikawal. Sinaran matahari pagi adalah sangat penting untuk tanaman tetapi pada waktu petang pula matahari sangat memudaratkan hinggakan boleh merosakkan tanaman.   

Oleh sebab itu, kebanyakan kes tanaman tidak menjadi sebenarnya boleh dipulihkan dengan semudah mengalihkan posisi tanaman.  Mudah sahaja, perhatikan laman anda antara pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan tandakan kawasan yang disinari matahari.  Inilah sepatutnya menjadi kawasan utama tanaman anda. Senangkan?

Bagaimana pula jika keseluruhan laman kita hanya menerima panas petang? Pertimbangkanlah tanaman lain yang lebih toleran panas, misalnya bendi, timun, terung dan bayam.

Bagaimana pula dengan serangga atau makhluk perosak?  

Berbalik kepada pesanan Muhammad Ali, setiap makhluk dijadikan Allah dengan fungsi masing-masing. Serangga juga ada fungsi mereka tersendiri walaupun kita cuma nampak hanya kerosakan. Namun, disebalik semua itu, mereka ada tugas mereka sendiri seperti membantu polinasi, menguraikan bahan organik, dan meneutralkan sisa racun.  

Percubaan menghapuskan mereka dengan racun kimia sebenarnya cuma menjadikan keadaan lebih teruk.  Dalam masa kurang daripada 2 bulan, lebih banyak generasi baharu serangga atau makhluk perosak akan datang. Generasi baharu ini lebih kuat dan mempunyai keupayaan tinggi untuk bertahan daripada racun.  Akhirnya, kita terpaksa guna (dan beli) lebih banyak racun dalam percubaan berperang dengan musuh yang tidak boleh dikalahkan.

Bukankah lebih baik bekerjasama dan kawal populasi mereka dengan cara-cara alami? Allah telah menjadikan segalanya seimbang dan sebarang percubaan untuk mengubah keseimbangan itu sudah pastinya akan memudaratkan.  

Satu lagi makhluk yang sering dipandang serong di laman kita ialah rumput. Rumput sangat dibenci hingga ramai yang berusaha untuk menghapuskannya termasuklah dengan meracun.  

Ingat lagi kata-kata Muhammad Ali tadi?  

Rumput juga ada fungsinya di laman, misalnya mengelakkan hakisan tanah, melindungi tanaman daripada segelintir perosak, menstabilkan lebihan baja dalam tanah,menggalakkan pembiakan cacing,menyejukkan tanah dan macam-macam lagi. Malahan, ada juga beberapa resipi baja organik yang menggunakan rumput.  

Oleh hal demikain, bukankah lebih baik jika kita bekerjasama dengan rumput yang ada serta kawal pertumbuhan mereka daripada cuba menghapuskan. Di kebun saya, rumput dikawal dengan hanya memotong apabila rumput itu terlalu panjang.  

Tiga makhluk ciptaan Allah. Tiga kisah untuk kita sama-sama mengambil pelajaran sambil merenung ke dalam diri, mencari erti tujuan diri.

Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan marhaen.

Foto: pixabay.com

Share this Post: