Saya menggunakan Shopee sejak tahun 2017, bukan hanya sekadar membeli, malah juga menjual. Boleh dikatakan 80% pendapatan saya adalah daripada Shopee selepas saya lumpuh separuh badan akibat strok.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai masalah yang dihadapi oleh pengguna Shopee. Segalanya bermula dengan pengenalan polisi-polisi baharu yang menyusahkan dan dipaksakan kepada pengguna tanpa mempedulikan segala maklum balas, aduan dan masalah yang timbul.
Saya sedar, sebagai seorang peniaga kecil, memang tiada apa yang boleh saya dan rakan-rakan lain lakukan selain dari berdoa, mengharapkan agar suatu hari nanti keadaan akan berubah menjadi lebih baik untuk kelangsungan hidup kami.
Dalam menghadapi situasi inilah saya terkenangkan kisah ketika saya mula-mula berniaga separuh masa bermula pada awal 2000, melangkah ke era millennium. Rakan-rakan yang lebih kurang umur saya pasti boleh ingat kekalutan yang berlaku waktu itu berkaitan dengan pematuhan Y2K. Ketika inilah bermulanya transaksi jual beli dalam talian bermula.
Harta Karun Belakang Loken
Benda pertama yang saya jual ialah barang-barang vintage. Setiap Ahad, pukul 6 pagi saya akan berada di suatu tempat yang dikenali sebagai 'Belakang Loken". Orang Ipoh mesti tahu lokasi ini - suatu kawasan lapang di belakang bangunan bernama 'Lam Looking'.
Belakang Loken adalah tempat beratus-ratus peniaga membentangkan tikar atau melipat meja untuk menjual aneka barangan antik, vintage, klasik dan barangan terpakai. Barang-barang panas (curi) pun ada. Pendek kata, semua ada di 'flea market' terawal ini!
Tempat ini amat menakjubkan. Belakang Loken bagaikan suatu dunia luar biasa dan kita boleh menyaksikan aneka barangan dagangan yang tidak tercapai dek akal fikiran. Butang baju, selipar, kasut, stoking sebelah, tali kasut, majalah lama, pensel kontot, pen habis dakwat pun ada . . .
Cakap-cakap orang Ipoh dahulu tentang Belakang Loken :
". . . kalau rumah kena rompak, kereta kena pecah, selipar atau kasut hilang di masjid. . . hujung minggu pegi cari di Belakang Loken. Pasti jumpa."
Tujuan utama saya ke Belakang Loken adalah untuk menyelam, mencari majalah lama, buku-buku terpakai, kaset, rekod vinyl , vcd, pita video dan apa-apa jua yang bernilai untuk dijual semula. Kalau manis mulut, pandai pujuk "RM1, buy 1 free 1" pun boleh dapat.
Selain dari Belakang Loken, saya juga kerap ke perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah untuk mengumpul buku-buku yang ingin dilupuskan. Saya akan baiki buku-buku tersebut sebelum disenaraikan untuk jualan.
Raja Online Marketplace
Bermulalah fasa saya mempamerkan stok-stok barangan saya untuk jualan di Lelong. Bukannya lelong depan orang ramai-ramai tu ya, tetapi platform Lelong.my. Inilah platform jualan online yang terawal di Malaysia. Raja online marketplace. Dengan kata kunci dan satu klik, segalanya ada di sini. Lelong.my menjadi tapak saya mencari rezeki ketika muda. Mewah, tanpa perlu meminta duit daripada abah.
Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan adalah apabila koleksi majalah "TIME" dengan muka hadapan ‘Neil Armstrong’ dan paparan utamanya berkaitan pengalaman beliau ke bulan telah dijual kepada pembida tertinggi dengan harga lebih RM300 (saya beli dengan harga RM2).
Kejatuhan Lelong.my
Biasalah di Malaysia ini, keseronokan jarang berkekalan. Ada sahaja musibah yang datang. Untuk platform ini, ada masanya orang sabotaj, kadang-kadang sabotaj diri sendiri. Walau bagaimanapun, mangsanya sentiasa sama - golongan marhaen, peniaga yang memberi nafas sejak awal penubuhannya.
Memang banyak analisis daripada pakar ekonomi dan bijak pandai IT berkenaan dengan punca kejatuhan Lelong.my. Pada pandangan saya sebagai individu yang aktif menjual dan membeli di Lelong.my, segalanya bermula apabila mereka mengikut kepala sendiri dan mengabaikan terus individu-individu yang menaikkan mereka iaitu penjual dan pembeli. Segala pendapat dan cadangan kami tidak didengari. Tak laku 1 sen pun!
Tambahan pula, platform-platform baru yang lebih mesra pengguna muncul. Ketika ini, Lelong.my sudah nyawa-nyawa ikan, tetapi saya percaya semuanya masih boleh diselamatkan. Besar kepala dan keegoanlah yang menjadi punca Lelong.my tak dapat bertahan lagi. Saya pernah berkongsi pandangan dengan seorang pihak pengurusan atasan Lelong.my dalam satu program ‘Seller's Convention’ dengan angkuhnya dia kata, "We're too big to fall or to lose to these small, new emerging other platforms."
Polisi yang menekan
Lelong.my ketika itu banyak membuat polisi-polisi baharu yang sangat menekan penjual. Kami protes, memohon pertimbangan, tapi langsung tidak dipedulikan.
Isu terbesar ketika itu adalah apabila Lelong.my mula mengenakan yuran lebih RM300 setahun untuk penjual. Tidak termasuk lagi dengan komisen dan fee yang tetap perlu dibayar. Mungkin ada penjual dengan keuntungan berpuluh ribu ringgit tidak kisah tentang bayaran yuran tahunan ini. Bagaimana pula dengan peniaga kecil, peniaga separuh masa, dan peniaga yang menjual demi keseronokan diri? Sedangkan mereka inilah yang memeriahkan (juga menyumbang) kepada platform Lelong.my.
Medium mesra pengguna?
Seterusnya isu Interface. Di saat platform-platform lain menarik minat pengguna dengan sistem yang lebih mudah, misalnya dengan membina aplikasi, Lelong.my masih ditakuk lama. Mungkin ramai yang tidak tahu, jika kita ingin membuat penyenaraian di Lelong.my dengan lebih cantik dan menarik, maka WAJIB tahu coding HTML.
Lelong.my mesra scammer. Lelong.my berkeras untuk tidak memperbaiki sistem supaya lebih terjamin keselamatan. Hal ini menyebabkan para scammer menjadikan Lelong.my sebagai lubuk cari makan kerana mereka mudah terlepas. Kes popular ketika itu ialah ‘duit sudah bank in, barang tak hantar.’
Sebagai renungan
Saya pernah menyertai kelas official Lelong.my. Saya juga pernah hadiri seminar dan konvensyen. Pernah pegang title 'power seller'. Saya dan rakan-rakan lain pernah tegur, komplen dan beri cadangan secara rasmi, bertemu pihak pengurusan namun semuanya diabaikan. Apabila mula bersuara, ada pula suara-suara yang mengata kami, ‘tak bersyukur’, ‘tak sedar diri menumpang’, ‘tak berterima kasih orang yang memberi tempat cari rezeki.’ Perit untuk ditelan tetapi bukankah kami bersuara kerana sayang akan tempat kami berniaga? Jika platform ini ditutup, adakah mudah untuk membina semula segalanya?
Akhirnya, selepas beberapa tahun, Lelong.my yang mereka katakan dulu "too big to fall" terjunam juga. Sekarang sudah ada Shopee. Saya dan rakan-rakan amat berharap sejarah Lelong.my tidak berulang. Kami menegur kerana sayang.
Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan rakan marhaen.
Foto: Aiman Arif
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.