Memecah 'Tembok'

Memecah 'Tembok'

Memecah ‘Tembok’

Dalam peradaban manusia, tembok merupakan elemen penting bagi sesebuah peradaban yang meliputi pelbagai fungsi, baik sebagai sistem pertahanan, simbol kebesaran, bahkan juga simbol keagamaan.

Boleh dikatakan hampir semua empayar yang pernah berdiri megah di atas muka bumi ini pernah membina tembok yang berfungsi sebagai garis sempadan kekuasaan empayar mereka dan juga sebagai tembok pertahanan.

Berbicara tentang tembok, sudah tentu tembok yang paling terkenal dalam sejarah peradaban manusia ialah Tembok Besar China. Pembinaan tembok ini bermula sekitar abad ke-7 sebelum Masihi di bahagian Utara China dan berterusan selama lebih kurang dua milenia.

Secara keseluruhannya mempunyai kepanjangan lebih kurang 20,000 kilometer ini dikatakan sebagai satu-satunya binaan yang mampu dilihat dari angkasa. Malah, ada yang mengatakan tembok ini dapat dilihat dengan mata kasar dari Bulan! Sudah tentu ini merupakan satu andaian yang salah.

Namun, ia tidak mustahil untuk dilihat dengan mata kasar dari Orbit Rendah Bumi (LEO) dan ia juga bukanlah satu-satunya binaan yang dapat dilihat dari LEO.

Berdasarkan pemerhatian dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), tembok ini sebenarnya sukar untuk dilihat kerana struktur dan warnanya yang menyerupai keadaan muka Bumi di sekitarnya.

Selain itu, seseorang itu perlu mengetahui di mana kedudukan struktur tembok yang ingin dilihat dan mengambil gambarnya dari angkasa juga bukanlah sesuatu yang mudah. Faktor resolusi kamera, keadaan atmosfera, struktur dan umur tembok yang diambil memainkan peranan yang penting sama ada tembok ini kelihatan atau tidak dalam imej yang diambil.

Walaupun tembok ini dibina untuk berfungsi sebagai tembok pertahanan tetapi realitinya ia gagal menghalang pencerobohan Mongol pada abad ke-13 dan para pengkaji sejarah bersetuju tembok ini hanya berfungsi sebagai propaganda politik pemerintah berbanding sebagai tembok pertahanan.

Ada juga tembok yang dibina yang menjadi simbol perbezaan dua buah ideologi yang pernah mewarnai politik dunia.

Tembok Berlin atau Berliner Mauer adalah sebuah tembok yang dibina mengelilingi Berlin Barat untuk memisahkan wilayah itu daripada Republik Demokratik Jerman atau pun Jerman Timur.

Tembok yang mula dibina pada Ogos 1961 ini bertujuan sebagai pemisah yang menghalang rakyat Jerman Timur daripada bermigrasi ke Berlin Barat.

Di samping satu lagi tembok yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur, kedua buah tembok ini merupakan simbol pemisahan atau ‘Tirai Besi’ yang memisahkan Eropah Barat dan Blok Eropah Timur ketika Perang Dingin. Revolusi yang berlaku di beberapa buah negara Blok Timur - terutamanya Poland dan Hungary - telah memberikan kesan terhadap politik di Jerman Timur.

9 November 1989, Tembok Berlin akhirnya jatuh apabila Jerman Timur membenarkan rakyatnya untuk melintasi tembok yang menjadi pemisah kepada Berlin Barat dan Timur selama hampir empat dekad. Sekitar pertengahan 1990, secara rasminya proses meruntuhkan tembok yang menjadi simbol pemisahan dua ideologi ini dimulakan dan memakan masa lebih kurang empat tahun untuk diruntuhkan kesemuanya.

Sementelahan, ada juga tembok yang menjadi simbol keagamaan dan dianggap suci oleh penganut mereka.

Tembok Ratapan (Wailing Wall) atau Tembok Barat dianggap suci oleh masyarakat Yahudi dan menjadi tapak kepada mereka untuk melakukan ziarah (pilgrimage). Tembok ini terletak di kota Jerusalem, sebuah kota yang dianggap suci dan menjadi rebutan agama Samawi sejak sekian lama.

Bagi umat Islam , tembok ini dikenali sebagai ‘Tembok Buraq’ berdasarkan tradisi Islam di mana mengikut pengkisahan Muhammad ke langit ketika Israk Mikraj, tembok itu menjadi tempat baginda menambat Buraq ketika melawat Masjid Al-Aqsa.

Tembok Ratapan juga merupakan sebahagian daripada tembok yang lebih besar yang melingkari kawasan Kubah Batu (Qubbat al-Ṣakhrat) dan Masjid Al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid utama oleh umat Islam. Bagi kaum Yahudi pula, tembok ini dianggap sebahagian daripada Kuil Pertama atau Haikal Sulaiman yang dibina oleh Raja Sulaiman, Raja Pertama bangsa Israel.

Tembok yang pada asalnya merupakan tembok penahan bagi kuil tersebut dan satu-satunya binaan kuil yang masih tinggal, walaupun kuil tersebut pernah dimusnahkan sebanyak dua kali, pada 587SM ketika penaklukan Babylon dan pada 70SM oleh Empayar Rom.

Sebagai sebuah negara yang bertamadun, Malaysia juga tidak terkecuali daripada mempunyai tembok.

Ya, barisan ‘muka-muka tembok’ yang gagal mentadbir Malaysia pasca kemelut politik yang melanda.

Berbeza dengan tembok-tembok lain yang mempunyai fungsi sama ada sebagai sistem pertahanan, tembok pemisah atau yang menjadi simbol keagamaan, tembok di Malaysia merupakan simbol kegagalan dan kepincangan.

Lebih malang lagi, di sebalik tembok-tembok ini pula, juga masih ada tugu dan berhala yang berselindung disebaliknya yang akhirnya menjadi duri dalam daging kepada negara.

Jadi, menjadi kemestian untuk tembok ini dipecahkan, bersama berhala dan tugu disebaliknya.

Kesimpulannya, andai tembok, tugu dan berhala ini hanya menjadi beban serta tidak membawa sebarang kebaikan mahupun keuntungan kepada negara, humbankan saja ke Laut China Selatan agar ia menjadi sejarah dan teladan kepada generasi akan datang, biarpun tidak dapat lagi dilihat sama ada dari angkasa mahupun dari depan mata. 

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: Trip.com

Share this Post: