Dengan 2020 bakal melabuhkan tirainya, Sidang ALTERNATIF telah berbincang dengan panjang lebar untuk menyenaraikan peristiwa-peristiwa penting dan besar yang melatari tahun ini di Malaysia.
Peristiwa-peristiwa ini dianggap penting dan besar, serta signifikan bukan hanya kerana menjadi buah mulut dan dibincangkan merata, sebaliknya juga kerana impak yang ditinggalkan kepada masyarakat.
Ada peristiwa yang hanya menghiasi tajuk berita, tidak dialami secara langsung oleh masyarakat namun meninggalkan kesan seperti terhadap cara masyarakat melihat dan memahami sesuatu perkara tersebut. Kesan yang ditinggalkan kadangkala mengubah penilaian masyarakat secara total.
Ada juga peristiwa yang telah secara langsung meninggalkan kesan yang amat mendalam buat masyarakat, dan menjadikan kehidupan sepanjang tahun ini samada lebih sukar atau lebih menarik.
Apa pun, untuk berlaku adil, kami serahkan kepada pembaca untuk menilai sendiri. Berikut adalah 10 peristiwa penting dan besar yang melatari tahun 2020 seperti yang dipersetujui oleh sidang ALTERNATIF.
#10. Alahai Ustaz
Tahun 2020 memang tahun yang agak malang. Dunia seolah-olah terbakar (memang berlaku pun kebakaran besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat). Antara peristiwa yang menarik perhatian adalah pendedahan demi pendedahan di laman media sosial dan media arus perdana tentang salah laku golongan yang dekat dengan dunia dakwah misalnya pendakwah selebriti yang lahir dari rancangan televisyen atau pun guru-guru dari sekolah agama, tahfiz dan madrasah.
Biarpun bukan semua, namun tahun ini menyaksikan begitu ramai golongan pendakwah dan seumpamanya terpalit dengan skandal dan kontroversi yang mengejutkan. Ia mungkin tidak begitu siginifikan jika hanya melibatkan misalnya kes perceraian, percintaan, atau pergaduhan, mahupun paparan akhlak kurang enak. Namun ia mula menjadi bualan masyarakat apabila sudah sampai ke tahap pencabulan, gangguan seksual, dan kes rogol. Beberapa laporan polis berkaitan beberapa individu berkaitan juga terus menghiasi laporan akhbar, menjadikan tahun ini amat malang buat ustaz-ustaz kita.
Peristiwa ini memberi impak yang amat besar sebenarnya kepada golongan muda terutama sekali. Dengan kontroversi yang melanda ramai individu dakwah ini, golongan yang dekat dengan agama mula dipandang serong oleh golongan muda yang lebih terdedah dan pesimis, dan masyarakat umum juga mula terhakis keyakinan terhadap mereka.
#9. Macau Scam
Penipuan atas talian dan melalui telefon memang sudah biasa berlaku dalam kalangan masyarakat sejak bertahun lama, namun hanya tahun ini, ia mula diberi perhatian dan mendapat namanya – Macau Scam.
Macau Scam menjadi topik hangat pada tahun ini bukan semata-mata kerana laporan jumlah kerugian oleh mangsa, sebaliknya apabila beberapa individu mula ditahan dan disiasat oleh PDRM dan SPRM.
Tambah menghangatkan lagi adalah apabila terbongkar pula penglibatan beberapa orang selebriti berduit yang dikaitkan dengan aktiviti sindiket penipuan ini, selalunya dengan tujuan untuk mencuci duit hasil penipuan oleh sindiket tersebut.
Begitupun, selain tangkap dan sebaran maklumat dalang di sebalik Macau Scam ini, yang lebih menarik perhatian masyarakat adalah apabila kepala-kepala sindiket yang ditahan ini ada yang dibebaskan, dan ada yang sehingga berupaya meloloskan diri dari tahanan SPRM sehingga menjadi jenaka rakyat Malaysia. Ia menjadi jenaka bukan kerana lucu, namun kerana pandangan sinis rakyat terhadap kekebalan golongan ini.
Di laman-laman sosial juga tersebar banyak rakaman perbualan yang bukan sahaja mendedahkan helah penipuan Macau Scam, sebaliknya juga sehingga ada yang menceritakan penglibatan VIP dan VVIP selain keyakinan mereka bahawa kepala-kepala yang ditangkap bakal bebas mudah kerana dilindungi pihak berkuasa.
#8. Pencemaran Air Selangor
Selangor terutama Lembah Klang memang telah sekian lama berhadapan dengan banyak isu berkaitan bekalan air. Namun, 2020 ternyata paling menguji. Jika dahulu, putus bekalan air selalu dikaitkan dengan kapasiti tadahan air yang tidak mencukupi, tahun ini, pencemaran sungai di Selangor menjadi punca utama.
Pencemaran sungai yang dilaporkan berlaku berulang-ulang kali telah menyebabkan gangguan bekalan air yang amat kerap di Lembah Klang. Untuk rekod, hampir 2 juta pengguna akan terjejas setiap kali bekalan air terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyahbau sungai tercemar. Antara yang kerap dicemari adalah Sungai Semenyih, Sungai Lalang, dan Sungai Gong.
Sebagai respon, Dewan Undangan Negeri Selangor pada September telah meluluskan pindaan ke atas Enakmen Lembaga Urus Air Selangor yang memperuntukkan hukuman lebih berat buat pelaku pencemaran sungai. Bagaimana pun, tidak berapa lama selepas enakmen tersebut diluluskan, lagi kes pencemaran sungai Selangor dilaporkan dan gangguan bekalan air terpaksa dihadapi. Kerajaan Negeri Selangor mengaitkan tindakan pencemaran tersebut sebagai sabotaj.
#7. Pemergian Tokoh-tokoh Besar
Ramai tokoh besar dalam negara ini yang meninggal dunia dalam 2020. Antara yang paling terkesan adalah Prof Diraja Ungku Aziz, bekas Naib Canselor Universiti Malaya dan pengasas kepada ANGKASA dan Tabung Haji, serta Tun Rahah, isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan juga ibu kepada bekas Perdana Menteri keenam, Najib Razak.
Malaysia juga ikut berduka dengan kematian lain yang turut meninggalkan kesan seperti perginya Salleh Ben Joned, sasterawan melawan yang terkenal, dan juga bekas gitaris kumpulan Kembara, A.Ali atau Hamdan Atan.
Selebriti terkenal yang meninggal dunia dalam tahun ini juga banyak menjadi tajuk berita, antaranya seperti Abam Bocey dan Ashraf Sinclair yang turut dikenang selama berminggu-minggu.
Kematian seperti dalam tahun 2020 bukanlah perkara baharu – setiap tahun kita akan kehilangan tokoh penting dan terkenal, namun dalam suasana pandemik yang sukar ini, pemergian tokoh-tokoh ini lebih dirasai.
#6. Najib Razak Bersalah
Setelah hampir dua tahun didakwa di mahkamah dalam kes berkaitan penyelewengan dana dari SRC International bernilai RM42 juta, Najib Razak akhirnya didapati bersalah pada 27 Julai 2020 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Hakim Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta. Beliau bagaimana pun dibenarkan untuk bebas dengan jaminan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Berita ini menjadi tajuk berita dunia dan tempatan, biarpun Najib Razak masih lagi terus menafikan beliau bersalah dan mendakwanya sebagai sebuah pendakwaan politik. Najib Razak masih lagi belum dihakimi dalam beberapa kes lain termasuklah 1MDB yang lebih besar.
Susulan keputusan tersebut, karier politik Najib Razak juga bakal diuji. Selain kehilangan moral untuk memimpin UMNO, beliau juga berisiko untuk kehilangan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan kelayakan untuk bertanding semula jika Mahkamah Rayuan turut mendapatinya bersalah.
#5. Kartel Daging
Siapa sangka kalau selama ini, daging lembu yang diimport dari negara-negara luar dan mendapat pengesahan halal oleh JAKIM, iaitu antara piawaian halal antara paling ketat di dunia, bukanlah daging halal mahupun daging lembu.
Pada 2 Disember 2020, sebuah sindiket penyeludupan daging import dari China, Brazil, Argentina, dan Ukraine dibongkar oleh media-media tempatan.
Pendedahan selanjutnya mendapati, terdapat rangkaian rasuah seperti wang dan seks yang telah menular ke dalam sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan berkaitan dengan membabitkan beberapa pegawai atasan selama berdekad lama.
Peristiwa ini menimbulkan kemarahan awam, dengan kebanyakannya ditujukan kepada JAKIM dan KPDNHEP.
SPRM, Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan banyak lagi pihak kini sedang bergelut untuk merungkaikan permasalahan ini.
#4. Penjajaran Semula Politik Malaysia
2020 bukan sahaja menyaksikan krisis kesihatan dan ekonomi, sebaliknya juga politik. Antara tema besar politik pada tahun ini adalah penjajaran semula politik Malaysia.
Dalam tahun ini, sejak bermulanya kejatuhan Pakatan Harapan, beberapa perubahan dari segi susunan politik telah disaksikan dalam negara.
Tokoh-tokoh politik yang bermusuh dilihat duduk semeja, manakala yang pernah sebantal kini berperang.
Antara penjajaran politik yang paling besar adalah lahirnya gabungan Perikatan Nasional yang menghimpunkan musuh-musuh politik seperti UMNO dan Bersatu serta percubaan kerjasama Anwar Ibrahim dengan UMNO termasuk Najib Razak dan Zahid Hamidi bagi menumbangkan Perikatan Nasional.
Penjajaran semula politik ini turut mengakibatkan pilihan raya semula di Sabah yang menyaksikan Warisan pimpinan Shafie Apdal tumbang ke tangan Barisan Nasional dan GRS.
Bagitu juga di Perak, penjajaran semula politik telah mewujudkan kerjasama yang hampir mustahil apabila DAP, Amanah dan UMNO untuk pertama kali bersetuju untuk bersama menjatuhkan Menteri Besar Faizal Azumu di dalam Dewan Undangan Negeri.
Penjajaran semula politik ini juga sedikit sebanyak turut melahirkan beberapa parti baharu seperti Pejuang dan MUDA.
#3. Dr Noor Hisham
Sewaktu negara sedang berhadapan dengan kedua-dua krisis kesihatan dan politik, Dr Noor Hisham iaitu Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia muncul sebagai wira buat ramai rakyat Malaysia. Ketenangan dan kejujuran yang dipaparkan sepanjang mengendalikan penularan Covid-19 di negara meyakinkan rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan krisis yang sedang melanda bersama-sama.
Ketokohan beliau juga membuatkan namanya diangkat sebagai tiga orang tokoh kesihatan paling berpengaruh di dunia oleh agensi media China, CGTN di samping Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.
Dr Noor Hisham turut menerima beberapa anugerah termasuk gelaran Tan Sri, Anugerah BrandLaureate 2020, Paul Harris Fellow oleh Rotary Club, Tokoh Maal Hijrah dan banyak lagi.
Dr Noor Hisham mungkin seorang individu, tetapi nama beliau, dengan ketokohan dan kepimpinan yang ditonjolkan dalam saat ini adalah sebuah peristiwa penting buat negara kita.
#2. Langkah Sheraton dan Tumbangnya Pakatan Harapan
Peristiwa tumbangnya Pakatan Harapan dan bermulanya Langkah Sheraton menduduki tangga kedua, kerana ia adalah sebuah kejutan terbesar yang berlaku dalam negara ini.
Langkah Sheraton adalah sebuah komplot politik yang disusun oleh beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan termasuk yang bertaraf menteri bersama pemimpin dari Barisan Nasional dan GPS dengan tujuan menggantikan kerajaan sedia ada serta untuk menggagalkan peralihan kuasa oleh Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Ia digelar sebagai Langkah Sheraton sempena nama hotel yang menjadi tempat pertemuan pemimpin-pemimpin terlibat ketika langkah politik ini pertama kali diumumkan.
Sejak Langkah Sheraton dimulakan, hampir seminggu negara berada dalam keadaan cemas apabila ketidaktentuan politik mengakibatkan kita tiada kerajaan yang absah.
Akhirnya, 29 Februari 2020, Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mendapat perkenan Agong untuk menubuhkan kerajaan, dengan 1 Mac menjadi tarikh beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Langkah Sheraton bukan sahaja mengembalikan UMNO ke dalam kerajaan bersama PAS dan komponen Barisan Nasional yang lain, sebaliknya juga sebagai tanda kepada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan yang baru menghuni Putrajaya selama 22 bulan, setelah lebih 60 tahun didominasi Barisan Nasional.
Langkah Sheraton menjadi peristiwa penting apabila untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia, Kerajaan Persekutuan tidak dibentuk melalui Pilihan Raya Umum. Sesetengah pihak menganggapnya sebagai sebuah kudeta politik yang turut mengakibatkan banyak lagi perubahan kepimpinan di peringkat negeri seperti Kedah, Melaka, Perak, dan Johor.
#1. Penularan Covid-19
Penularan Covid-19 berhak untuk duduk di takhta tertinggi sebagai peristiwa paling penting yang telah berlaku sepanjang 2020. Bukan sahaja di Malaysia, sebaliknya juga seluruh dunia. 2020 adalah tahun Covid-19.
Hampir kesemua peristiwa yang berlaku tahun ini akan bertitik-tolak dari penularan wabak ini. Ruangan kecil ini pun tidak mungkin mencukupi untuk mengulas setiap perkara berkaitan penularan Covid-19. Ia memerlukan artikel berasingan, malah mungkin juga sebuah buku lengkap.
Penemuan wabak ini di Malaysia kali pertama direkodkan pada 24 Januari 2020 dalam kalangan lapan orang warga China yang dijangkiti ketika berada di Singapura. Beberapa kes lain kemudian mula dilaporkan dalam kalangan warga China lain di beberapa lokasi berbeza seperti Johor, Sabah, dan Langkawi. Ia telah menimbulkan kontroversi dan panik awal yang mengakibatkan ramai menuntut pintu sempadan negara ditutup buat warga China. Bagaimana pun, kes-kes melibatkan warga China ini tidak menular dan berjaya dipatahkan.
Pada 4 Februari, jangkitan pertama warga tempatan akhirnya direkodkan. Seorang warganegara berusia 41 tahun yang juga dijangkiti virus tersebut selepas melawat Singapura. Ia disusuli dengan transmisi tempatan pertama iaitu adik perempuannya sendiri.
Lebih ramai lagi warga tempatan mula dijangkiti, dengan penularan awam pertama berlaku di Sarawak. 11 orang telah dimasukkan ke Hospital Kuching, Miri, dan Sibu. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak secara rasmi mengumumkan penularan pertama di negeri tersebut, dan pusat talian bantuan dan rujukan penularan mula dibuka.
Kluster besar terawal dan yang paling mendapat perhatian akhirnya adalah Kluster Tabligh iaitu seramai dengan seramai lebih 620 kes jangkitan pertama dilaporkan dari kalangan jemaah tabligh yang menghadiri sebuah perhimpunan di Sri Petaling. Pada 26 Mac, Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham mengumumkan jumlah terkumpul yang melibatkan Kluster Tabligh pelbagai peringkat dan generasi jangkitan adalah lebih dari 3000 orang. Kluster Tabligh bukan sahaja menimbulkan kontroversi dan keresahan awam, sebaliknya juga menjadi titik mula buat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sehingga kini masih berkuatkuasa.
Perintah Kawalan Pergerakan telah merencatkan ekonomi negara dalam pelbagai sektor, dengan penerbangan, pelancongan, pusat hiburan, minyak dan gas, pendidikan, pengangkutan awam, perbankan, fesyen dan pakaian antara yang paling teruk terjejas. Pengangguran besar-besaran mula direkod dengan lebih 800,000 warga telah kehilangan pekerjaan.
Covid-19 juga telah memaksa banyak norma baharu diperkenalkan dalam masyarakat. Interaksi sosial, aktiviti harian, budaya kerja, pendidikan dan persekolahan, serta pergerakan manusia mula jadi terbatas. Kesihatan mental dan kes perceraian juga mencapai tahap membimbangkan. Purata seorang warganegara dilaporkan membunuh diri pada setiap hari, dengan hampir 300 kes telah dilaporkan sepanjang tahun ini.
Dalam masa sekarang, langkah pencegahan penularan mula disifatkan tidak lagi berkesan. Jumlah kluster jangkitan di Malaysia kini telah melepasi 381 kluster sejak Februari, dengan 188 masih lagi aktif. Kluster terbesar melibatkan pekerja-pekerja dalam sektor pembuatan, ironinya, kilang sarung tangan getah yang digunakan oleh barisan hadapan.
Penularan Covid-19 mengubah banyak perkara dalam negara ini, dan mewujudkan banyak norma baharu yang besar kemungkinannya akan kekal.
Ada sisi positif yang dapat dikutip dari peristiwa besar ini – kegigihan, kecekalan, kreativiti, dan daya tahan rakyat Malaysia kini lebih teruji. Kita juga kini lebih menghargai pengorbanan banyak pihak yang bertungkus-lumus untuk memastikan kehidupan kita lebih baik, terutamanya barisan hadapan seperti warga KKM, polis dan tentera, penghantar makanan serta pekerja-pekerja sektor pembuatan dan pembersihan.
Namun di sebalik sisi positif tersebut, kita juga mula mendedahkan keburukan kita. Kemiskinan, kesukaran hidup, penganiayaan, diskriminasi, pengabaian hak-hak pekerja, dan kegagalan sistem ekonomi dan kerapuhan sistem kesihatan kita juga mula teruji.
Covid-19 menuntut sebuah pembaharuan untuk bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia. Ia adalah peristiwa paling penting bukan sahaja tahun ini, malah sepanjang abad ini sejak tamatnya Perang Dunia Kedua.
Selamat Tahun Baru! - ALTERNATIF
ALTERNATIF mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021. Semoga tahun yang bakal menjelang ini membawa lebih banyak berita baik buat kita semua. Terima kasih atas sokongan kepada ALTERNATIF sepanjang tahun ini.
Foto ihsan Lim Huey Teng, sumber Reuters
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.