Mata-mata di Angkasa

Mata-mata di Angkasa

Seperti yang diketahui, teleskop merupakan satu alatan sains yang digunakan oleh ahli astronomi untuk mencerap jasad-jasad di ruang angkasa lepas.

Sekitar abad ke-19 beberapa ahli astronomi ada membincangkan beberapa kelebihan sekiranya balai pencerapan dibina di Bulan. Namun, sekitar 20-an beberapa cadangan telah dikemukakan untuk menempatkan teleskop di ruang angkasa.

Walaupun puluhan teleskop angkasa sudah berjaya dilancarkan sekitar 60-an, rata-rata di antara kita hanya mengenali teleskop angkasa yang paling terkenal di antara semua teleskop angkasa yang pernah dilancarkan, Teleskop Angkasa Hubble.

Teleskop Angkasa Hubble

Teleskop Hubble merupakan sebahagian daripada program Great Observatories yang terdiri daripada empat buah teleskop angkasa iaitu, Hubble Space Telescope (HST), Compton Gamma Ray Observatory (CGRO),  Chandra X-ray Observatory (CXO),  dan Spitzer Space Telescope (SST).

Hubble merupakan teleskop pertama yang dilancarkan pada tahun 1990 di bawah program  tersebut yang dikendalikan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa  Kebangsaan (NASA).

Teleskop ini dinamakan bersempena nama seorang ahli astronomi Amerika Syarikat, Edwin Hubble yang memainkan peranan penting dalam bidang pemerhatian dan ruang bebas galaktik angkasa. 

Kejayaan program perintis Orbiting Solar Observatory (OSO) dan Orbiting Astronomical Observatory (OSO) pada dekad 60 dan 70-an, menjadi bukti  betapa pentingnya mempunyai sebuah teleskop yang mampu berfungsi di ruang angkasa.

Rentetan daripada perkara tersebut satu perancangan dibuat oleh NASA untuk membina sebuah teleskop yang bersaiz besar dan mampu beroperasi di ruang angkasa lepas.

Sama seperti kebanyakan program angkasa yang lain,program yang awalnya dirancang untuk dilancarkan pada sekitar penghujung dekad 70-an, terpaksa mengharungi pelbagai kekangan birokrasi untuk mendapatkan dana yang menelan belanja tinggi untuk membina sebuah teleskop angkasa berbanding teleskop di Bumi.

Selain itu, program ini juga telah telah menjalinkan usaha sama bersama European Space Agency (ESA) di mana ESA bersetuju untuk memberi dana dan membekalkan peralatan kepada program tersebut.

Usai mendapat dana dan diluluskan oleh kerajaan Amerika Syarikat, beberapa intitusi telah diberikan tanggungjawab untuk memajukan program ini antaranya Marshall Space Flight Center (MSFC) yang bertanggungjawab mereka bentuk dan membina teleskop gergasi ini.

Manakala Marshall Space Flight Center (MSFC) pula telah dijadikan pusat kawalan keseluruhan alatan sains dan sebagai pusat kawalan misi.

Sementara itu, permukaan cermin yang dipasang pada teleskop tersebut mengambil masa kira-kira dua tahun untuk digilap.

Beberapa pengubahsuaian telah dibuat untuk mengurangkan belanja pembinaan teleskop, antaranya dengan mengurangkan saiz diameter cermin daripada 3 meter kepada 2.4 meter.

Seterusnya, Hubble pada awalnya membawa lima alatan yang terdiri daripada kamera dan spektograf, tetapi alatan ini akan dinaiktaraf dengan alatan yang lebih baik daripada sebelumnya setiap kali penyelenggaraan dijalankan.

Pada mulanya, teleskop gergasi ini dirancang untuk dilancarkan ke orbit pada Oktober 1986, namun tragedi kemalangan kapal angkasa Challenger telah menyebabkan semua kapal angkasa milik Amerika Syarikat tidak dibenarkan untuk melakukan penerbangan.

Akhirnya, pada 24 April 1990, Teleskop Hubble dilancarkan ke angkasa  oleh kapal angkasa Discovery yang ditugaskan untuk menempatkannya di orbit.

Mula beroperasi

Beberapa minggu beroperasi di orbit, satu kecacatan telah ditemukan pada sistem optikal di mana gambar yang diambil tidak mencapai kualiti yang diharapkan walaupun kualitinya jauh lebih baik daripada teleskop yang berada di Bumi.

Kecacatan ini berpunca yang daripada cermin yang dipasang mempunyai reka bentuk yang salah ketika proses penggilapan dan pembuatan cermin tersebut.

Kecacatan ini berjaya diperbaiki ini dengan memasang cermin yang mempunyai kecacatan yang sama dengan cermin yang asal cuma kali ini reka bentuk itu diterbalikkan dan seolah-olah memakaikan ‘cermin mata’ kepada teleskop tersebut.

Cukup menarik juga untuk diambil kira, Hubble dibina dengan kemampuan untuk diselenggara secara berkala untuk menambah baik dan menggantikan alatan sedia ada di samping untuk menggalak orbitnya untuk mengelakkan pereputan orbit yang terhasil akibat seretan atmosfera.

Sebanyak lima misi penyelenggaraan yang telah dilakukan ke atas Hubble dengan yang terakhirnya dilakukan pada 2009, dan merupakan misi penyelenggaraan yang terakhir dilakukan disebabkan penamatan program Space Shuttle.

Sumbangan Hubble

Secara amnya, kewujudan Hubble memberikan banyak kesan dan impak positif terhadap pemahaman umat manusia dalam memahami dan menyelesaikan pelbagai persoalan misteri berkaitan astronomi.

Antara misi utama Hubble ialah untuk mengenal pasti berapakan anggaran usia alam semesta. Melalui Hubble ahli astronomi berjaya membuat anggaran usia alam semesta dianggarkan berusia 13.7 billion tahun dengan ketepatan yang lebih jitu. 

Berbanding sebelum adanya Hubble, ahli astronomi berpendapat alam semesta berusia sekitar 10 hingga ke 20 billion tahun.

Sementelahan, Hubble juga membantu ahli astronomi untuk mengenal pasti kelajuan perkembangan alam semesta dan mendapati lohong hitam merupakan sesuatu yang biasa terdapat pada pusat sesebuah galaksi.

Bahkan selain menjadi mata-mata yang memerhati alam semesta, Hubble menjadi mata-mata untuk melihat jasad-jasad yang berada di dalam dan di pinggiran Sistem Suria seperti Pluto, komet dan objek-objek di Lingkaran Kuiper.

Teleskop gergasi ini juga dibuka untuk kegunaan awam atau individu yang ingin menggunakannya, walaupun dana yang digunakan untuk membiayai penggunaan tersebut hanya dikhaskan kepada institusi yang berpusat di Amerika Syarikat.

Akhirnya, walaupun Hubble merupakan teleskop yang pertama yang dilancarkan melalui program Great Observatories, Hubble masih gagah berbakti dan menjadi satu-satunya teleskop daripada empat teleskop yang masih beroperasi sehingga kini.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: NASA / Getty Images

Share this Post: