Masyarakat Millennium Masyarakat Mental

Masyarakat Millennium Masyarakat Mental

Mangsa terbaru pembulian siber oleh warganet adalah Nabila Razali, seorang artis yang baru meningkat naik dalam industri seni. Dikecam hangat oleh netizen selepas berlaku kesilapan melontarkan vokal beberapa saat di Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35. 

Bait-bait lirik lagu yang dinyanyikan oleh beliau semasa di pentas AJL seolah-olah merayu kepada warganet apabila menyedari kesilapan lontaran vokalnya perlu diberi peluang kedua. Namun apa yang belaku, tanpa mempedulikan sedikit rayuan yang diminta oleh beliau menerusi nyanyian, warganet terus mengecam sehingga menganggu keadaan emosi beliau.

Jika dihayati, lagu Peluang Kedua beliau sendiri seolah turut meminta warganet supaya tidak mengecam kesilapan beberapa saat yang belaku dalam persembahan beliau itu.

“Sepi menghukum diriku kembali untuk mengalirkan air mata tanpa henti lagi,
dan salah darimu mengingatkanku yang tak sempurna.
Maaf, andai kau terluka maafku tak sengaja tanpa sedar menyakitimu,
Maaf kerna ku pun terluka
Pintaku hanya peluang kedua”

Pembulian yang belaku dalam alam maya pada hari bukan suatu yang baru. Malahan Nabila Razali bukan yang pertama yang menjadi mangsa bulian masyarakat millennium pada hari ini. Sungguh perlakuan kecaman dan menjatuhkan maruah individu dalam khalayak ramai di media ini suatu penyakit mental dalam era millennium dan sememangnya bertentangan dengan nilai dan norma sebuah masyarakat yang bertamadun terutama golongan yang berpendidikan tinggi. 

Menjijikkan! Bengang dan amarah bukan kerana saya adalah peminat fanatik Nabila Razali. Tetapi naluri emosi yang kecewa tidak mampu membendung perasaan ini apabila melihat komen-komen berpuaka yang datang daripada pelbagai lapis masyarakat di media sosial. Mengecam, memaki hamun dan menghukum tanpa ada belas kasihan dengan bertopengkan kehebatan diri di sebalik alam maya. Sebaiknya ambilkan sahaja pedang Samurai dan hunuskan ke dada si mangsa mungkin jauh lebih bermoral daripada menghukum dan menyiksa batin mangsa di ruangan media sosial.

Apa sudah jadi dengan masyarakat millennium ini? Bukankah konsep millennium itu seharusnya menjurus kepada sebuah ketamadunan manusia yang penuh dengan sivilisasi penuh kemoralan. Mengapa ketamadunan manusia yang serba canggih dan gah dengan era digital ini lebih hina daripada masyarakat jahiliah terdahulu? Bukankah seharusnya era digital ini menjadi satu medium perhubungan komunikasi yang lebih positif antara manusia dengan manusia yang lain. Mengapa ia bertukar menjadi satu medan pembunuhan jiwa-jiwa dan emosi oleh puak-puak pelampau yang  kehausan kasih sayang ini? 

Mengapa perkara ini belaku? Persoalan ini sungguh tidak terjawab oleh akal rasional. Bahkan perkara ini bukan sahaja terjadi di Malaysia tetapi di seluruh pelusuk dunia termasuk negara-negara Islam. Apakah kecam mengecam ini budaya masyarakat bertamadun? Apakah kecam mengecam ini ajaran Islam? Tidak. Hatta semua agama tidak mengajak umatnya menghukum dan mencaci insan lain sesuka hati, Apa sudah jadi dengan masyarakat sekarang? Masyarakat yang penuh dengan sifat kebencian, sifat amarah, sifat membenarkan emosi menguasai diri tanpa membenarkan akal mengambil tempat dalam tindakan. Ironinya, rata-rata masyarakat di luar sana menganggap dirinya sempurna dan terbaik, sedang  hakikat diri adalah lebih jelik dan pelik dari lumrah alam.

Sedih sungguh sedih apabila melihat norma dan budaya masyarakat kita, masyarakat Timur yang terkenal dengan penuh kesopanan dan ketatasusilaan serta tertibnya dalam adat seharian bertukar menjadi monster memamah dan memakan daging-daging golongannya sendiri tanpa peri kemanusiaan. Sehingga ada yang kehilangan nyawa akibat depresi yang ditanggung hasil pelakuan dan kecaman yang dilontarkan oleh netizan atau warganet yang budget bagus dalam kehidupannya. 

Apakah kalian wahai warganet atau netizen tidak mempunyai sedikit rasa simpati terhadap mangsa pembulian anda di ruangan media? Apakah kepuasan sebenar yang anda dambakan  setelah melihat jiwa-jiwa yang kematian dibedil peluru lidah tidak bersuara ini? Apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan dengan ayat super-duper cacian yang dilemparkan?

Tanpa anda sedar wahai warganet, anda sebenarnya yang ‘mental’. Anda sebenarnya yang selayaknya dikecam, kerana sebaiknya tempat anda adalah di wad mental untuk dirawat dan disucikan hitam kelam hati anda. Tetapi tindakan anda begitu berani kerana anda adalah si pelampau yang pengecut bersembunyi di sebalik alam maya. Apakah anda tidak sedikit merasakan berdosa membunuh jiwa-jiwa yang tidak bersalah dengan tohmahan anda? 

Media melaporkan, bahawa Malaysia dikategorikan sebagai masyarakat kedua di Asia paling ekstrim di media sosial! Boom! Gempak negara Islam menjadi antara negara yang paling kuat mengeji dan menghukum masyarakatnya dalam media sosial, sedang Islam tidak mengajar umatnya membenci dan mengeji antara umatnya. 

Malahan Islam itu sendiri adalah sebuah agama yang bersifat “Rahmatan Lil Alamin” yang jelas disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran ayat 107, surah Al-Anbiya yang bemaksud      “Tidaklah kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.  Islam itu secara jelas telah memberi isyarat dan mengajar Muhammad untuk menyebarkan rahmat kepada seluruh makhluknya meliputi manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan lain-lain. Serta secara abstraknya bahawa Islam itu mengajar konsep berkasih sayang, menyayangi diri sendiri, mengajar menghindari diri daripada menganiayai dan menzalimi manusia lain. Tetapi apa yang belaku pada hari ini seolah masyarakat kita telah hilang pedoman dan falsafah asas yang diajar dan didokong dalam diri iaitu Al-Quran dan Al-hadis.

Malahan, budaya suka menjatuhkan dan mengecam orang ini seolah telah menjadi budaya baru dalam masyarakat kita. Kita melihat warganet di luar sana akan mengecam dan menjatuhkan sesiapa sahaja tanpa mengira kira artis, kanak-kanak, warga emas atau pemimpin sekalipun. Apakah ini prinsip dan ajaran atau budaya masyarakat kita yang terkenal dengan nilai kesantunan? 

Ya memang benar, kebebasan bersuara adalah merupakan salah satu ciri-ciri sebuah negara demokrasi dan kebebasan bersuara sememangnya hak demokratik seseorang individu. Tetapi budaya ‘kondem’ atau mengecam ini perlu dilihat sebagai satu penyakit 'mental' dalam kalangan masyarakat dan seharusnya penyakit pembuli dan mengecam ini dibendung agar tidak tersebar luar pada masyarakat lain. 

Justeru, kerajaan harus membendung dan tidak memandang enteng isu ini kerana ia akan merosakkan masyarakat dan menghumbang masyarakat ke lembah ketidaktamadunan. Penguatkuasaan undang-undang melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus memikirkan sesuatu untuk menyekat warganet ini daripada menggunakan media sosial sebagai medium untuk membuli mangsa dan memberi kesan buruk kepada kesihatan mental individu lain. 

Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.

Foto: Youtube TV3 Malaysia

Share this Post: