MASALAH BANTUT DALAM KALANGAN KANAK-KANAK: JANGAN AMBIL RINGAN!

MASALAH BANTUT DALAM KALANGAN KANAK-KANAK: JANGAN AMBIL RINGAN!

Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak bukan hanya melibatkan masalah ketinggian yang tidak normal sahaja, malah bantut juga boleh menyebabkan masalah-masalah lain yang lebih serius lagi.

Apa itu bantut?

Bantut bermaksud ketidakupayaan kanak-kanak untuk mencapai potensi ketinggian yang sesuai pada umur mereka.

Berdasarkan kajian, semua kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia tanpa mengira kaum dan asal-usul etnik, mempunyai potensi tumbesaran yang sama pada 5 tahun pertama kehidupan.

Masalah bantut kebanyakannya berlaku dalam 1,000 hari pertama kehidupan iaitu daripada 0 ke 23 bulan selepas kelahiran dan berterusan hingga umur lima tahun.

Tumbesaran iaitu ketinggian dan berat badan merupakan indikator utama bagi memantau status kesihatan seorang kanak-kanak.

Statistik bantut di Malaysia

Mengikut statistik, dalam satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2019 yang bertajuk “STUNTING IN MALAYSIA: Costs, Causes and Courses for Action” oleh Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, 21.8 % kanak-kanak bawah 5 tahun di Malaysia dilaporkan mengalami masalah bantut.

Peratusan kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun menunjukkan peningkatan berbanding 17.7 % kes yang dilaporkan pada tahun 2015.

Punca bantut

Menurut World Health Organization (WHO), masalah tumbesaran atau bantut ini terjadi dalam kalangan kanak-kanak kerana kekurangan nutrisi, jangkitan yang berulang kali dan kurang rangsangan psikososial.

Dalam kebanyakan kes, kekurangan nutrisi atau disebut malnutrisi merupakan punca utama terjadinya masalah bantut.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan sikap tidak mengambil berat tentang kualiti makanan juga mendorong kepada malnutrisi.

Selain itu, faktor kemiskinan juga menjadi punca kepada malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak mampu untuk diberikan susu formula dan makanan yang berkhasiat. Susu formula digantikan dengan air kosong atau minuman lain yang tinggi gula serta tidak mempunyai sebarang khasiat. Manakala, makanan pula hanya sebagai alas perut agar tidak kelaparan tanpa mengira kandungan nutrisi dalam makanan tersebut.

Menurut WHO, kurang ransangan psikososial juga merupakan salah satu punca kepada masalah bantut. Belaian, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa atau penjaga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan perkembangan anak sama ada perkembangan dari segi fizikal mahupun mental.

Faktor-faktor lain kepada bantut termasuklah penyakit kronik seperti diabetes, penyakit buah pinggang, masalah hormon, masalah tulang dan kekurangan hormon pembesaran.

Mengenal pasti kanak-kanak bantut

Ibu bapa haruslah peka dengan keadaan fizikal anak-anak. Jika anda dapati anak anda lebih kecil berbanding kanak-kanak lain seusia dengannya serta sering sakit dan lemah, jangan berlengah lagi, rujuk doktor dan dapatkan khidmat nasihat serta pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang tahap kesihatan anak anda.

Masalah yang akan timbul jika bantut

Bantut bukanlah hal remeh yang boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Ini adalah kerana bantut pada kanak-kanak, terutamanya yang berusia bawah 5 tahun boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan kognitif dan prestasi pendidikan pada masa depan kanak-kanak tersebut.

Bagi kesihatan fizikal, bantut boleh meningkatkan risiko kematian awal serta morbiditi.

Kanak-kanak dengan masalah bantut berpotensi menjadi obes. Masalah obesiti meningkatkan risiko seseorang kepada diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

Selain itu, bantut juga boleh mendorong kepada masalah IQ pembelajaran dan kurang fokus. Kanak-kanak bantut lebih cenderung berasa kurang keyakinan diri.

Kesan daripada hal ini bukan sahaja pencapaian pendidikan tetapi juga kepada ekonomi mereka apabila dewasa kelak.

Mencegah bantut

Masalah bantut bukanlah seperti masalah kekurangan berat badan. Kurang berat badan boleh dibantu dengan meningkat porsi makanan. Namun, bantut adalah masalah kekal yang tidak boleh dirawat. Permanent and irreversible.

Ibu bapa mestilah prihatin dengan pemakanan anak-anak. Sediakan makanan yang berkhasiat serta cukup nutrisi untuk anak anda. Ikutilah piramid makanan. Pastikan anak anda mendapat karbohidrat, protein dan fiber dalam hidangan yang anda sediakan.

Susu formula hendaklah dibancuh mengikut sukatan yang telah ditetapkan, tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair, agar anak anda mendapat bekalan nutrisi yang mencukupi.

Pantau tahap perkembangan tumbesaran anak anda pada carta tumbesaran yang standard seperti yang dibekalkan pada buku pemantauan kesihatan dan tumbesaran yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ikuti janji temu yang disarankan agar sebarang abnormal pada tumbesaran anak anda dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Sentiasa memberikan yang terbaik terutamanya pada usia emas anak-anak, dari segi penjagaan keperluan luaran mahupun emosi anak-anak.

Ingat, 1,000 hari pertama selepas kelahiran adalah satu tempoh yang kritikal dalam kehidupan anak anda. Jadi, sedaya upayalah untuk memberikan yang terbaik buat mereka.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi

Rujukan:

http://jci.edu.my/wp-content/uploads/2019/05/JCI-JSC-WP-2019-01-Stunting-in-Malaysia.pdf

https://www.who.int/news/item/19-11-2015-stunting-in-a-nutshell

http://www.myhealth.gov.my/masalah-pembesaran/

Kredit foto: inakgettoyou.com

Share this Post: