Gelap
‘Darkest Hour’ ialah tajuk wayang gambar yang ada ditayangkan beberapa tahun kebelakang. Ia berdasarkan kisah benar. Dipendekkan cerita, ia adalah kisah bagaimana Churchill dan rakyat United Kingdom melalui saat-saat getir bagi menghadapi Hitler dan Perang Dunia Kedua.
Sebutlah apa pun istilah – lockdown, kuncitara, darurat, perintah kawalan pergerakan mahupun sekatan - bagi yang lahir selepas 1969 atau beberapa tahun sebelum, kita semua tidak pernah merasakan suatu situasi yang seumpamanya hinggalah wabak pandemik Covid-19 tiba. Ketidaktentuan ini ibarat masa yang paling gelap buat kita. Dan siapa yang berkuasa membuat keputusan-keputusan getir untuk kita?
Tempoh ini – yang saya sendiri pun belum tahu untuk berapa lama lagi setakat tulisan ini ditulis – sememangnya sangat mencabar kemanusiaan, kemasyarakatan, sistem keselamatan sosial, sistem kesihatan (perubatan), sistem ekonomi, sistem politik malah menguji banyak perkara lain lagi.
Benar bahawa masa paling gelap ini menyerlahkan sisi baik dan buruk kita semua sebagai manusia. Kerana ketidaktentuan ini tidak mengenal warna kulit, bangsa dan ataupun darjat. Adalah baik kiranya dan besar harapan sekalian kita agar langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah juga tidak mengenal keturunan dan kemuliaan.
Di dalam situasi sukar ini, ada diantara kita yang baik hatinya dan sentiasa tolong-menolong walau sesusah manapun situasi dirinya sendiri. Ini menjadi inspirasi. Namun sebaliknya ada juga terserlah sisi gelap yang akan saya tuliskan nanti.
Kes yang berkenaan masalah mental, psikologi malah kes bunuh diri akibat ketidaktentuan ini juga dikhabarkan meningkat. Masalah ekonomi dan poket yang kosong apatah lagi.
Di dalam masa yang paling gelap ini, kita dikelamkan lagi dengan krisis kemanusiaan seperti pembantaian Palestin oleh Israel. Di dalam kepayahan masyarakat Malaysia masih mampu bersolidariti buat Palestin. Tetapi bagaimana pula dengan Rohingya yang bersesak-sesak di dalam tongkang yang terhanyut di Selat Melaka?
Antara perkara yang paling mencabar ketika masa ini ialah apabila melihat segelintir golongan yang sesetengah daripada kita gelarkan mereka sebagai ‘kayangan’ melanggar prosedur operasi piawai (S.O.P.).
Apa dan siapa definisi sebenar kayangan ini saya kurang pasti, namun kita fahamlah apa maksudnya. Tetapi di sinilah situasi yang gelap mula berubah menjadi songlap. Geram jadinya! Kita bersusah-payah mengurung diri dalam rumah, dia berfoya-foya di luar sana – kenduri durian.
Songlap
Sayang (baca: malang) sekali negara kita jadi begini. Pelanggaran prosedur operasi piawai oleh golongan kayangan rupa-rupanya menyerlahkan isu dwi-piawai atau double standard. Memang tiada arahan rasmi daripada pihak berkuasa dalam isu ini, namun umumnya ia terlihat daripada layanan berbeza terhadap golongan kayangan dan golongan marhaen.
Ditambah lagi dengan isu kompaun tidak masuk akal dek kerana menjalankan kuasa-kuasa darurat yang tidak dicabar di dalam Dewan Rakyat. Keadaan yang gelap benar-benar menjadi songlap.
Perkataan dan ejaan ‘songlap’ memang belum pernah wujud di dalam Kamus Dewan. Songlap sering dikonotasikan sebagai mencuri, atau dalam bahasa yang lebih beradab (kononnya) ia bermaksud mengambil tanpa kebenaran.
Namun di dalam Kamus Dewan wujud satu perkataan yang hampir sama iaitu sulap ataupun sunglap yang bermaksud permainan silap mata. Ia juga boleh dimaknai sebagai penggelapan wang atau penyelewengan. Silap mata untuk menggelap, itulah sunglap @ songlap.
Jadi mungkin songlap ini berasal daripada perakataan sulap atau sunglap. Dan perkataan songlap ini adalah perkataan yang paling tepat bagi menggambarkan seluruh tempoh darurat dan lockdown yang dikatakan sebagai perbuatan ‘membeli masa’. Mana mungkin mereka membeli masa kecuali menyonglapnya!
Perbuatan songlap ini bukan baru sebulan dua. Ia berpunca kononnya untuk keluar daripada kemelut kuasa yang terjadi di dalam kerajaan terdahulu dan menawarkan kerajaan yang lebih stabil sambil berhasrat menyelamatkan Melayu-Islam. Lalu mereka pun minum-minum, jamah-jamah, serta beramah-tamah di sebuah hotel ternama.
Hotel dan darurat – demokrasi disonglap, usah dikira dari pintu mana.
Walaupun dinilai sebagai bermula cemerlang awalnya oleh sesetengah penganalisis dan langkah itupun dihalalkanlah oleh sesetengah sarjana, namun ingatlah perkara yang sumbang akan kekal sumbang.
Masa yang gelap terserlah songlap. Yang kangkung kini terbukti kangkung. Yang kong-kali-kong tetap kong-kali-kong. Terburailah fatwa yang menghalalkan kerana kini sudah mula timbul keraguan.
Lockdown juga liat menunjukkan apa yang down kerana tidak berdasarkan kaedah-kaedah yang sebenar. Lockdown yang hasrat asalnya ialah sebagai pemutus rantaian atau circuit breaker wabak, kini mahu melandaikan lengkungan penularan pun agak kurang berkesan. Apakah ini songlap sekali lagi?
Atas inisiatif pihak berkuasa juga kononnya, beberapa kali rakyat terpaksa mengeluarkan daripada tabung simpanan sendiri demi merancakkan ekonomi. Namun bagi simpanan yang sudah tiada lagi, entah ke mana mahu membawa diri? Sekali lagi buat sementara sesetengah rakyat mungkin lega, dan pihak berkuasa sekali lagi berjaya membeli (baca: menyonglap) masa sambil kedarah mi segera.
Di sesetengah bahagian lain dunia, Eropah misalnya walau ada kisah gelap dan songlap mereka sendiri, namun kini ada sinar cahaya disebalik mendung pandemik. Ketika dunia sudah mula bercakap tentang suntikan vaksin yang ketiga, namun ramai di antara kita masih menanti suntikan yang pertama.
Kita berharap Parlimen kembali bersidang supaya Ordinan Darurat ini sempat dibatalkan. Melengahkan sidang adalah songlap sekali lagi. Jika tidak besar kemungkinan Belanjawan 2022 akan diluluskan tanpa dibentang dan dibahaskan.
Moga kita semua berjaya keluar daripada saat-saat dan masa yang sempit, getir, gelap dan songlap ini.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: UnSplash
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.