“Wah! Makin banyak stiker magnet dan figurine superhero atas meja kau.”
Memang meja aku semakin penuh dengan stiker magnet dan figurine watak adiwira. Aku memang ada mengumpul stiker magnet dan figurine adiwira, tetapi tidaklah sampai tahap obses.
“Tapi semuanya superhero yang bertemakan watak haiwan. Wolverine, Batman, Spider-Man, Black Panther. Kau memang minat watak yang macam itu?”
“Ya.” Jawapan pendek aku kepada Nisrin.
Tidak dinafikan bahawa adiwira yang bertemakan watak binatang atau haiwan mudah untuk menarik minat orang ramai apatah lagi kanak-kanak. Namun jauh sebelum muncul kisah dan watak-watak adiwira yang memperjuangkan keadilan ini, kisah-kisah binatang yang digambarkan seakan boleh bercakap seperti manusia ataupun antropomorfik telah lama dijadikan kisah-kisah rakyat yang berisi tauladan.
Boleh dikatakan hampir setiap etnik di dunia mempunyai cerita rakyat serta hikayat dongeng (fable) yang berasaskan watak mergastua. Tidak ketinggalan juga dengan masyarakat di Malaysia. Kisah-kisah binatang ini sangat memberi kesan terhadap minda kanak-kanak bahkan manusia umumnya.
“Awak tahukan, masyarakat kita kaya dengan kisah rakyat yang menggunakan watak binatang. Kisah-kisah ini sangat memberi kesan kepada akal dan psikologi manusia. Adakala mesej kebaikan mudah disampaikan dengan menggunakan watak-watak seperti ini. Daripada watak-watak inilah ianya dievolusikan perlahan-lahan sehingga menjadi superhero.” Aku cuba menerangkan kepada Nisrin, dia tersengih.
“Betul juga kan? Al-Quran pun ada memberi tauladan kepada manusia dengan menggunakan kisah binatang. Ada kisah semut dan burung hud-hud dengan Nabi Sulaiman. Ada juga kisah lain dan nama-nama surah yang menggunakan nama haiwan.”
“Jadi betullah cakap aku kan…” secara sinis cuba meyakinkan Nisrin.
“Aku baru membaca buku ‘Kalilah wa Dimnah’”. Tegas Nisrin dan aku ingin mendengar ceritanya lagi kerana aku juga pernah mendengar tajuk karya klasik dunia Islam tersebut.
“’Kalilah wa Dimnah’ adalah kitab atau hikayat klasik dunia Islam yang ditulis oleh Abdullah al Muqaffa semasa zaman Abbasiah. Ia menggunakan watak binatang di dalam penceritaannya untuk menyampaikan mesej keadilan, kebaikan, hikmah dan tauladan buat pembaca. Watak haiwan di dalam kisah ini membuatkan ia menarik dan tidak bosan membacanya. Bukan itu saja, ia diterapkan dengan ilmu logik dan alegori.”
“Pasti menarik dan seronok membacanya kan?”
“Sudah pasti.”
“Apa maksud ‘Kalilah wa Dimnah’? Macam Bahasa Arab bunyinya, aku tak faham” aku bertanya balas.
“Oh, itu nama watak dua ekor anjing hutan ataupun Jackal di dalam salah satu kisah di dalam hikayat tersebut. Buku tersebut mengumpulkan banyak cerita.” Jelas Nisrin dan terus menyambung lagi. “Aku ada juga membaca latar belakang hikayat itu. Walaupun Abdullah al Muqaffa menyusun buku tersebut dengan gaya bahasa dan penulisannya sendiri tetapi ianya bersumberkan kisah dan karya dari Parsi. Kisah Parsi tersebut pula berasal daripada kisah hikayat sanskrit Hindu yang bertajuk ‘Panchatantra’”.
Penjelasan Nisrin itu membuatkan aku kagum. Nampaknya penggunaan watak binatang bagi menyampaikan mesej kebaikan, keadilan, moral, etika dan sebagainya amat meluas dan rentas sempadan tanpa mengira tamadun dan kebudayaan.
Aku menambah “kisah-kisah genre fable atau dongeng yang berilhamkan watak haiwan memang disukai oleh manusia tanpa mengira bangsa. Jauh sebelum zaman Al-Quran dan Nabi Muhammad pun, kisah-kisah haiwan begini telah wujud. Beberapa abad sebelum masihi, semasa tamadun Yunani kuno seorang yang bernama Aesop telahpun mengumpul dan menceritakan kisah-kisah yang sebegini.”
“Nampaknya bukan sekadar Al-Quran yang menggunakan watak haiwan, dongengan yang menggunakan watak haiwan juga mampu menjadi karya besar dan hebat.” Kata Nisrin dengan nada seakan takjub.
Bukan sekadar itu, novel alegori terkenal yang sering dipetik dalam dunia politik juga menggunakan watak binatang seperti ‘Animal Farm’ karya George Orwell.
“Kau jangan lupa ‘Kisah Sang Kancil’. Itu cerita rakyat masyarakat kita. Dulu di sekolahpun kita ada belajar tentang kisah Burung Gagak yang dahaga dan cuba meminum air dari dalam botol. Malah lagu ‘Bangau oh Bangau’ sangat terkenal dalam masyarakat kita.” Nisrin mengingatkan aku. Hampir sahaja aku terlupa tentang kisah rakyat sendiri yang amat terkenal dan banyak memberikan pengajaran.
“Kau pernah dengar lagu ‘Tanya Sama Hud-Hud’?”
“Lagu Dato’ M. Nasir, kenapa?”
“Lagu itu berinspirasikan puisi bertajuk ‘Mantiq al-Tayr’ karya seorang pemuisi sufi. Kalau tak silap namanya Farid ud-Din Attar. Ia mengisahkan tentang perjalanan burung Hud-Hud yang mengetuai sekumpulan burung untuk mencari Si Muraq atau Simorgh, sang Raja Burung yang bersifat lagenda. Puisi itu sangat terkenal. Kau kena baca.”
“Nanti aku akan cuba cari dan baca.“ Lalu Nisrin menyambung “Jadi kau minat kisah-kisah dan watak haiwan atau mergastua ini? Sebab itu kau minat superhero yang berperwatakan seperti mereka?”
“Siapa yang tidak minat? Bagi aku ia adalah suatu evolusi dan kreativiti perwatakan di dalam karya manusia. Kita boleh tengok jika dahulu binatang itu digambarkan dalam wajah antropomorfik, malah sekarang pun masih ada watak-watak kartun yang sebegitu namun ada yang berubah. Watak seperti Mowgli dan Tarzan mula mendapat tempat bermula lebih 100 tahun yang lalu. Ia menggunakan watak manusia namun dibesarkan dan tinggal di dalam hutan rimba bersama binatang-binatang lain. Bukan setakat itu, mereka juga dibesarkan sebagai kanak-kanak feral oleh haiwan malah berkawan dengan binatang-binatang liar di dalam hutan. Tetapi tema keadilan dan mesej kebaikan tetap menjadi keutamaan dalam penceritaan.”
“Oh begitu kisahnya.”
Watak Mowgli di dalam buku ‘The Jungle Book’ oleh Rudyard Kipling – seorang penulis Inggeris kelahiran India – telah diterbitkan pada tahun 1894. Manakala watak Tarzan telah muncul di dalam novel bertajuk ‘Tarzan of the Apes’ tulisan Edgar Rice Burroughs – penulis berasal Amerika Syarikat – pada 1912. Tetapi kisah kanak-kanak feral bukanlah asli idea Rudyard Kipling namun karya beliau perlu dihargai kerana telah mempopularkan kisah-kisah seperti itu pada zaman moden.
Kisah lagenda seperti adik-beradik Romulus dan Remus yang dibesarkan oleh seekor serigala betina telah lama wujud. Adik-beradik ini dikatakan sebagai pengasas bandaraya Rom, Ibu kota negara Itali. Malah watak Zaal yakni seorang lagenda di dalam kisah rakyat Parsi dikatakan telah dipelihara dan dibesarkan oleh Simorgh iaitu seekor Raja Burung yang sangat besar.
Ibn Tufail yakni seorang filsuf dunia Islam telah menampilkan watak Hayy iaitu seorang manusia yang telah dibesarkan oleh seekor gazel di dalam tulisannya bertajuk ‘Hayy ibn Yaqdhan’. Malah pemikir pelbagai bidang dunia Islam bernama Ibn al-Nafis juga menggunakan watak kanak-kanak feral di dalam karyanya bertajuk ‘Risalat Fadil ibn Natiq’. Melalui karya mereka berdua, watak kanak-kanak feral tersebut bukan sahaja membawa mesej kebaikan malah mereka adalah wahana dan wadah penyampaian falsafah.
“Begitulah kisahnya. Daripada watak sebeginilah kita dapat lihat secara kronologi, watak superhero yang bertemakan haiwan mula diperkenalkan.”
“Siapa superhero pertama bertemakan haiwan?” Pantas Nisrin mencelah.
“mmmm… setahu aku Batman. Dia muncul di dalam satu komik bertajuk pada tahun 1939.”
“Okaylah, nanti aku carikan figurine ‘Keluang Man’ untuk kau ya. Kau harus bangga, dia jugak superhero bertema haiwan. Malaysian pulak tu.”
Aku tersentak dan terpinga-pinga – entah bagaimana aku boleh lupa kepada Keluang Man? Aku tersengih sambil memandang Nisrin. Perbualan kami pada petang itu dan dia berlalu pergi ke meja kerjanya.
Forget me not.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
*Segala watak dan situasi dialog adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada. Namun segala mesej dan informasi yang disampaikan adalah benar sekadar kemampuan penulis.
Foto: The Yorck Project / DIRECTMEDIA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.