Manchester dan Sejarah Gelap Revolusi Industri

Manchester dan Sejarah Gelap Revolusi Industri

Bulan Jun 2019, setelah empat tahun meninggalkan kota Manchester, saya diberi peluang sekali lagi menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini. Seusai pesawat mendarat di lapangan terbang Manchester, pintu pesawat dibuka, dan segera terasa deru semilir yang dingin. Tiada jelaga yang bergumpal, tiada asap corong kereta yang menyesakkan, dan bahang surianya juga tidak memeritkan; kesemuanya mengingatkan bahawa bumi ini jauh dari keributan kota Kuala Lumpur. Anehnya, suasana dingin di Manchester ini bukan selalu begini. Dahulunya, sepertimana yang dicatat oleh Engels, kota Manchester ini “dipenuhi bau busuk dan asap debu yang menyesakkan”. Semua ini gara-gara industri pembuatan kapas yang pesat di Manchester, bahkan antara yang terpesat dunia.

Barangkali hari ini tidak ramai lagi yang mengenang sejarah pembuatan kapas di Manchester. Wilayah yang menempatkan populasi kelima terbesar di tanah Inggeris sekarang lebih sinonim di peringkat dunia sebagai rumah kepada dua pasukan bola sepak tersohor dunia; Manchester United (juara Liga Inggeris sebanyak 20 kali)  dan Manchester City (juara Liga Inggeris sejumlah 7 kali). Walhal, andai diukur dari lensa sejarah panjang kota Manchester, kedua-dua pasukan bola sepak ini tidak akan mendiami kota ini tanpa adanya proses urbanisasi dan pembangunan yang pesat di Manchester, dan pembangunan yang deras ini hanya termaterai sebagai lanjutan Revolusi Industri yang meledak di Manchester hampir dua ratus tahun yang lalu!

Apakah itu Revolusi Industri? Ledakan Revolusi Industri adalah suatu periode sejarah yang maha penting dalam arus pembentukan dunia moden, dan menurut sejarawan besar dari tanah Inggeris, Eric Hosbawm, 'barangsiapa yang berbicara soal Revolusi Industrial, maka dia harus menyebut soal kapas'. Sekaligus, rentetan daripada maxim ini, barangkali kita boleh juga menyebut: bahawasanya sesiapa yang berbicara tentang kapas harus berteriak nama Manchester!

Seawal tahun 1800, sejumlah 95 peratus bekalan Kapas dunia datang dari Britain, dan lebih 79 peratus darinya terbit daripada pengeluaran kilang-kilang di Manchester. Harus juga diingatkan bahawa sejarah kapitalisme dunia tidak lengkap tanpa adanya industri kapas. Sejarawan revisionis bermazhab New History of Capitalism, melalui karya-karya mutakhir mereka seperti penulisan Walter Johnson berjudul ‘River of Dark Dreams’(2013), kajian Edward Baptist ‘The Half Has Never Been Told’ (2014), dan pelopornya Sven Beckert melalui karyanya ‘Empire of Cotton’ (2014); kesemua dari mereka menekankan peranan industri kapas dalam mengemudi pembangunan sistem kapitalisme di peringkat global. Kata Sven Beckert juga, ‘Orang Eropah menjadi penting dalam dunia pembuatan kapas bukan sebab ciptaan atau teknologi baru, sebaliknya kerana keupayaan mereka menggubah dan mendominasi jaringan industri kapas dunia.’

Di Manchester jugalah tempat titik kontradiksi dalam sistem kapitalisme begitu menyerlah. Di sebalik pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kekayaan negara yang berlipat ganda di Britain, Manchester terus menjadi daerah yang dihuni kaum miskin yang melata. Kehidupan di Manchester hanya mengenal erti keperitan. Buruh-buruh kilang hidup seumpama kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan itupun masih ada berbaki ramai yang mati kebuluran.

Penggunaan buruh kanak-kanak seawal lima atau enam tahun juga cukup berleluasa di kilang-kilang pengeluaran kapas di Manchester. Mereka digajikan sebagai buruh kasar kerana kos mereka lebih murah (secara purata gaji mereka meliputi 10-20% gaji buruh dewasa). Buruh kanak-kanak juga lebih senang mengendalikan mesin-mesin penenun kapas di ruang-ruang yang sempit kerana mereka bertubuh kecil. Mesin-mesin pemutar benang kapas juga kadang-kadang tersekat, maka jari anak-anak kecil inilah yang digunakan untuk masuk di celah-celah mesin bagi membetulkannya.

Menurut catatan John Michelli, seorang doktor di Manchester: “purata jumlah jam untuk anak-anak kecil ini dikerah untuk bekerja, adalah sekitar jam 6 pagi sehinggalah jam 8 malam, iaitu sejumlah 14 jam; hanya sejam disediakan untuk makan dan berehat” (petikan dari ‘Information concerning the state of children employed in cotton factories, printed for the use of members of both Houses of Parliament” (1818)). Ya, anak-anak kecil bekerja selama 14 jam dengan hanya satu jam rehat! Tambahnya lagi, kanak-kanak ini tampak “tidak sihat”, akibat kurang nutrisi dan rehat, dan jauh berbeza sifatnya dengan kanak-kanak yang tidak bekerja di kilang. Friedrick Engels, pemikir sosialis terkemuka yang menetap di Manchester, juga mencatatkan pemerhatian yang sama. Masalah kekurangan nutrisi begitu melata sehinggakan setiap kali melalui jalan-jalan di Manchester, ujar Engels, setidak-tidaknya tiga per empat daripada khalayak yang beliau temui mempunyai kadar pembantutan tertentu; “lutut mereka bengkok ke dalam atau terbalik, buku lali mereka juga cacat dan menebal, dan tulang belakang mereka juga bengkok ke depan atau ke sisi” (Engels)

Kezaliman yang ketara ini menjadi mendorong Engels menulis bukunya The Condition of the Working Class in England (1845). Buku ini merakam kesengsaraan kelas pekerja dalam mendepani eksploitasi pemilik kilang-kilang Kapas di Manchester. Engels menyifatkan suasana Manchester ketika itu sebagai “jijik, membinasakan, dan tidak sesuai untuk kehidupan manusia” atau dalam ungkapan yang lain, ‘ianya adalah neraka di atas muka bumi”.

Berbalik kepada kota Manchester yang serba indah, udaranya yang segar bugar, siapa tahu latar kewujudannya adalah sebuah neraka yang perit buat kelas miskin kota. Namun, begitulah lumrah bagi tata susunan dunia kapitalisme. Kemajuan adalah destinasi yang terhubung melalui jaringan eksploitasi, dan terdorong dengan nalar pengumpulan keuntungan yang haloba. Kontradiksi antara ‘kemajuan’ dan kesengsaraan golongan terpinggir kian mekar dan terus menjadi latar tersembunyi bagi sebarang arus pembangunan hari ini, baik di Manchester, di London, bahkan di Kuala Lumpur sekalipun, kisahnya tidak jauh beda.

Engels ada mengutip sebuah anekdot berkenaan perbualan antara seorang pengembara dengan pemilik kilang di Manchester yang merumuskan sisi eksploitatif ini. Elok andainya catatan ini diakhiri dengan kisah ini:

“Saya menceritakan kepadanya akan pendekatan pembangunan yang cukup sengsara dan tidak sihat di kawasan-kawasan pendudukan kelas pekerja, serta keadaan kawasan tersebut yang cukup jijik dan menyedihkan. Saya katakan padanya, bahawasanya tidak pernah dalam sepanjang kehidupan saya saya melihat bagaimana sebuah bandar boleh terbina dengan begitu teruk sekali. Dia mendengar keluhan saya dengan sabar dan diam, dan setibanya kami di suatu sudut jalan tempat kami berpisah dia akhirnya berucap kepada saya: “Ya, kesemuanya benar sekali. Sungguhpun demikian, begitu banyak wang yang boleh dibikin di sini. Selamat jalan, tuan”.

Imran Bin Mohd Rasid adalah pengkaji politik antarabangsa. Beliau sering melakukan kerja-kerja penyuntingan, penterjemahan, dan penulisan.

Foto: Getty Images

Share this Post: