Maknawi Seni

Maknawi Seni

Prolog

“Seni paling tepat dikaitkan dengan keindahan atau kecantikan; namun jika dilihat dari segi sejarah, hubungan seni barangkali lebih rapat dan meluas dengan kebergunaan dan ilmu pengetahuan.” (Mortimer J. Adler, filsuf dari Amerika Syarikat)

Seni adalah sesuatu yang besar dan sukar diungkap - terpermanai atau infiniti capaiannya. Mungkin kerana seni itu tidak hanya karya indah semata-mata, tetapi ia turut menjadi medan bagi pertembungan pemikiran dan wahana bagi menyampaikan sesuatu mesej, pimikiran dan gagasan. 

Nampaknya bukan sahaja perperangan yang memerlukan seni seperti kata-kata Sun Tzu, tetapi seni itu sendiri terlibat dalam pertempuran sengit untuk mencari erti dan kebergunaannya sendiri. 

Sudah tentu saya amat kerdil untuk membincangkan tentang seni. Mungkin kalian sendiri lebih pandai dalam bidang yang telah banyak menghasilkan mahakarya ini. Saya cuma mampu mengungkap seni dalam konotasi (maksud) saya sendiri.

Realisme dan Ekspresionisme (serta Impresionisme)

Awalnya saya tidak pernah ‘ambil pusing’ soal seni sehinggalah terbaca artikel tulisan Pauline Fan bertajuk ‘Ekspresionisme vs Realisme’. Baru saya mengerti seni itu sarat dengan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Ia membangkitkan persoalan bagaimana seorang seniman (juga karyawan dan artisan) harus memanfaatkan seni bagi ‘menjentik’ hati budi dan fikiran seseorang bagi mencapai kesedaran untuk melawan penindasan.

Pening juga saya, bagaimana seni yang indah itu rupa-rupanya sarat dengan idea – sukar untuk dihadam. Seumpama air tenang yang membalikkan bayangan (refleksi) indah flora sekelilingnya, namun arus air di dalamnya bergerak laju dan bergejolak – itulah realisme.

Tiba-tiba air yang tenang itu dibaling batu lalu ia berkocak dan berolak sehingga membuatkan refleksi bayangan itu menjadi tidak jelas – abstrak – lalu membuatkan kita terfikir-fikir bayangan yang direfleks itu – inilah ekspresionisme. Jika di permukaan sahaja sudah berkocak, arus dibawahnya usah dikata.

Mungkin kiasan saya kurang tepat, namun itu cara paling mudah yang saya fikirkan.

Perselisihan pendapat di dalam dunia seni diungkap dengan keindahan. Malah meningkatkan kreativiti. Mesej dan falsafah seni bukan sahaja disampaikan melalui lukisan, namun ia turut disampaikan melalui lagu, filem dan karya seni lainnya. 

Sebelum melangkah lebih lanjut, mungkin ada juga yang tertanya tentang impresionisme. Setahu saya realisme dan impresionisme berkongsi idea seni yang sama – menggambarkan realiti – namun penekanan impresionis cenderung menarik perhatian melalui aspek yang menarik seperti mengubah sesuatu perkara menjadi lebih terang atau lebih malap. 

Pernah kalian menonton filem Hindi atau Tamil yang mempengaruhi penonton melalui penekanan kesan cahaya serta warnanya? Contoh sahaja, filem Malaysia pun ada.

Mungkin kalian perlu menonton filem ‘Kaala’ yang dibintangi oleh Rajinikanth. Setinggan pun boleh nampak cantik.

Absurdisme dan Surealisme

Saya bukanlah penggemar dunia filem, cuma tahu sikit-sikit. Saya teringat satu babak dalam filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid tahun 2018. Scene ketika lagu ‘Hatiku Luka Lagi’ nyanyian Black Dog Bone yang diparodikan secara meniru persembahan lagu asalnya iaitu ‘Kiss and Say Goodbye’ oleh The Manhattans. 

Solihin Mabrur (lakonan Zul Ariffin) ketika itu merembas semua tingkap rumahnya bagi menghalang hantu Kak Limah. Ironinya beliau terlupa merembas pintu utama sehingga hantu Kak Limah boleh masuk ke dalam rumah. Tidak masuk akal (absurd), tetapi apa mesej yang mahu disampaikan?

Ia sebenarnya mahu mencabar minda penonton supaya berfikir betapa dalam hidup ini kita memberatkan perkara-perkara kecil dan picisan hingga sering melupakan perkara-perkara yang lebih besar. Lebih mendalam lagi, ia mempersoalkan apa keutamaan dalam hidup dan kewujudan kita sebagai manusia? 

Adakala babak absurd di dalam filem mencabar penonton menggunakan minda logik bagi melawan falasi. Di dalam filem yang sama misalnya, Yeh Sekupang (lakonan Allahyarham Rab Khalid) berkata “Saya ni Kak Limah, kalaulah kedai mesin kuda saya tak kena sita dulu, dah lama dah saya majukan kampung kita ni...”

Benarkah dakwaan Yeh Sekupang itu? Walaupun ‘kedai kuda’ zahirnya adalah perniagaan yang menguntungkan dan merancakkan ekonomi, namun bukankah ia cuma menambah bencana?

Filem absurd atau filem yang banyak menampilkan banyak babak absurd bukanlah perkara baru dalam seni. Ia bermula semenjak era Charlie Chaplin lagi terutamanya melalui watak The Tramp pada awal abad ke 20. Chaplin sendiri banyak belajar melalui Fred Karno melalui persembahan teater. 

Tramp adalah watak yang tidak masuk akal. Dia menerima apa sahaja kejadian yang menimpa dirinya, walaupun kejadian itu pelik. Ini boleh mencetuskan perasaan ‘tidak puas hati’ penonton dan memaksa mereka untuk memikirkan sesuatu yang lebih benar, setidak-tidaknya untuk babak yang baharu sahaja mereka lihat. 

Genre fiksyen absurd semakin popular selepas Perang Dunia Kedua yakni sekitar 1950an dan 1960an terutamanya melalui persembahan teater. ‘Waiting for Godot’ adalah antara persembahan yang sangat terkenal. Perang Dunia Kedua dan kesengsaraan yang disebabkannya mungkin membuatkan manusia merenung kembali apa makna mereka wujud di dunia ini. 

Fiksyen absurd mengingatkan kembali orang Barat ketika itu tentang mitos Sisyphus. Mitos Yunani itu mengisahkan bagaimana Sisyphus dihukum menolak batu ke atas bukit semata-mata untuk membiarkannya kembali bergolek ke bawah. Dia mengulangi perbuatan itu selama-lamanya. Satu perlakuan yang tidak bermakna.

Soren Kierkegaard (filsuf asal Denmark) telah menggunakan mitos Sisyphus untuk membangunkan falsafah eksistensialisme. Pokoknya ia mempersoalkan makna kewujudan manusia. Absurdisme dan eksistensialisme juga turut menggemakan kembali pemikiran nihilisme Friedrich Nietzsche yang menyatakan kewujudan manusia adalah tanpa makna dan nilai. 

Di dalam satu sketsa pendek, Monty Python (kumpulan komedi British) telah mempersembahkan cerita ‘The Philosopher’s Football Match’. Ia menceritakan tentang perlawanan bola sepak diantara para filsuf Jerman menentang para filsuf Yunani yang diadili oleh Confucius serta Thomas Aquinas dan Augustine of Hippo sebagai pembantu pengadil (penjaga garisan). 

Di perlawanan yang surreal (tidak berjejak pada realiti) itu Nietzsche adalah satu-satunya pemain yang dikenakan kad kuning kerana mempersoalkan Confucius yang merupakan pengadil perlawanan tersebut. Ironinya surreal dan absurd bolehlah dikatakan sebagai adik-beradik. Ini kerana babak surreal sering muncul di dalam fiksyen absurd

Walaupun seni absurd seumpama ada perkaitan dengan falsafah eksistensialisme dan nihilisme, namun tujuannya berbeza. Seni absurd menggunakan babak tidak masuk akal semata-mata untuk menyedarkan insan agar mencari makna dalam kehidupan. Ia bukannya menafikan erti hidup dan nilai dalam kewujudan manusia. 

Orang yang terlibat dalam dunia seni sangat memahami keadaan ini. Oleh itu mereka menuntut kebebasan dalam berkarya selagi ia jelas tidak mencetuskan kehuru-haraan di dalam norma kemanusiaan dan tatanan sosial.

Di satu sisi surealisme dikatakan amat berhubungkait dengan absurdisme namun ia mempunyai makna dan polemiknya yang tersendiri. Surreal bermaksud ‘super realism’. Pada 1924 Andre Breton (pemuisi dan penulis dari Perancis) telah mendefinisikan maksud surealisme melalui ‘Surrealist Manifesto’.

Namun polemik berlaku kerana pihak yang bertentang dengannya iaitu Yvan Goll (pemuisi Perancis – German) turut menerbitkan manifesto dengan tajuk yang hampir sama. Mereka berdua dan kumpulan masing-masing mendakwa sebagai pewaris sebenar revolusi seni yang dicetuskan oleh Guillaume Apollinaire (pemuisi, penteater dan novelis dari Perancis).

Umumnya surealisme ialah satu fahaman yang seni terlahir daripada minda bawah sedar manusia. Minda bawah sedar ini seumpama mimpi. Seni surreal bolehlah dikatakan sebagai cuba untuk membangkitkan kuasa minda bawah sedar manusia melalui karya-karya yang dihasilkan.

Ada pihak yang menyamakan antara surealisme dan ekspresionisme dan mengatakan ia cuma perbezaan pada istilah. Di Perancis ia dikenali sebagai surealisme dan di Jerman ia dikenali sebagai ekspresionisme. Oleh itu Yvan Goll yang menceburi bidang seni dalam dwi-bahasa yakni Perancis dan Jerman dikatakan sebagai ahli seni surealis di Perancis, tetapi di Jerman beliau dikatakan sebagai seorang ekspresionis.

Di Malaysia antara filem-filem surreal dan absurd yang saya paling ingat (dalam pengetahuan yang sangat terhad) ialah filem arahan Mamat Khalid dan Mat Sentol. Mungkin ada filem-filem lain namun secara peribadi saya merasakan banyak karya Mamat Khalid dan Mat Sentol yang mencapai piawai surreal dan absurd.

Walaupun seni surreal dan absurd ini sukar untuk difahami – namun di dalam seni perfileman serta kaedah seni yang mempunyai jalan cerita yang diterapkan dengan elemen-elemen seperti humor, komedi, parodi dan sebagainya ia mampu menarik minat para penonton/pembaca. Walaupun sinonim, namun tidak semua filem surreal dan absurd disampaikan secara komedi dan humor.

Sebaliknya pula kisah dan fiksyen yang menggambarkan realiti adalah terlalu banyak. Lihat sahaja drama-drama di televisyen. Walaupun adakala seumpama fantasi, namun ia masih bertapak pada realiti. Mesej serta kritikan sosialnya pun jelas, itupun jika ada.

‘Seni untuk masyarakat’ atau ‘Seni untuk seni’?

Pernah berlaku satu polemik seni diantara Asas ‘50 (Angkatan Sasterawan 1950) dan Angkatan Persuratan Melayu Baru (akan saya ringkaskan kepada APMB sahaja) kerana prinsip ‘seni untuk seni’ versus ‘seni untuk masyarakat’. Asalnya cuma ada Asas ‘50. APMB ditubuhkan oleh mereka yang mufaraqah daripada Asas ‘50. 

Asas ’50 mengambil posisi ‘seni untuk masyarakat’. Selepas polemik yang berlaku sehingga ada diantara ahlinya keluar dan membentuk APMB, barulah Asas ’50 menetapkan motto sosialnya iaitu “Bahwa bahasa dan sastera adalah alat perjuangan perpaduan rakyat ke arah kemerdekaan, keadilan dan kemakmuran serta perdamaian hidup manusia.” Antara mereka yang kekal bersama prinsip Asas ’50 ialah ‘Tongkat Warrant’ ataupun Usman Awang.

APMB pula mempertahankan prinsip ‘seni untuk seni’. ‘Seni untuk seni’ cenderung mempertahankan nilai-nilai estetika serta ekspresi seni itu sendiri berbanding pandangan luar.

Mungkin tiada perkaitan langsung antara realisme dengan ‘seni untuk masyarakat’, namun ia seakan ada persamaan diantara penghasilan seni tersebut. Begitu juga tiada perkaitan secara langsung antara ekspresionisme, abstrak, surealisme dan absurdisme – dengan ‘seni untuk seni’ namun ia seakan sinonim. 

Di sini saya tampilkan puisi oleh dua orang Sasterawan Negara iaitu Dr Siti Zainon dan Usman Awang. Bukan kelayakkan kita untuk membandingkan mutu seni dan nilai estetika karya hebat mereka berdua. Namun kita dapat membandingkan mana yang lebih surreal, abstrak dan ekspresionis dan mana yang lebih real(iti), nyata dan impresionis. 

Senja di Pelabuhan (Dr Siti Zainon)

Akulah Bidadari Laut
Mengurai rambut basah lembut
Sambil
Menjalin bicara senja
Kaukah
Melengkungi sabda jingga
Yang tak tergapai itu
Adalah keinginan
Rahsia sutera termahal
Berhimpun
Seperti muatan kapal yang tak pernah sarat
Sedang pelabuhan kehilangan kelasi.

Sajak Ke Makam Bonda (Usman Awang)

Kami mengunjungi pusara Bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili Bonda
Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi…

Polemik, perbezaan, perselisihan dan perdebatan pasti wujud dalam wacana seni, namun tidak perlu sampai berlaku dikotomi. Setiap segmen seni mempunyai peminatnya tersendiri. Walau seni adalah wahana penyebaran pengetahuan dan pemikiran, namun jangan pernah lupa seni itu asalnya ialah cara manusia menikmati dan melakar keindahan anugerah Tuhan.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Richard Termine / Exuentnyc

Share this Post: