MAKAN DAGING ADA HAD?

MAKAN DAGING ADA HAD?

Daging merupakan sumber protein, vitamin dan mineral yang sangat baik. Badan kita memerlukan protein untuk membina dan membaiki otot atau tisu yang rosak, mengekalkan tahap tenaga dan stamina yang tinggi, menyokong sistem imun badan dan lain-lain peranan penting lagi.

Protein di dalam daging mengandungi kesemua asid amino penting yang mesti diperolehi daripada makanan.

Secara umum, daging terbahagi kepada dua iaitu daging merah dan daging putih.

Daging merah adalah daging yang lebih gelap warnanya seperti daging lembu, kambing, rusa dan kuda manakala, daging putih pula adalah daging yang berwarna lebih cerah seperti daging ayam, itik, burung dan arnab.

Daging yang berwarna lebih gelap iaitu daging merah mengandungi lebih banyak kandungan zat besi berbanding daging putih.

Zat besi adalah komponen penting dalam pembentukan sel darah merah dan sangat diperlukan oleh badan untuk mencegah masalah anemia.

Kebanyakan daging mengandungi vitamin B12, B6 serta zink dan zat besi yang tinggi.

Vitamin B12 merupakan nutrien larut air yang diperlukan untuk fungsi sistem saraf manakala zink pula adalah mineral yang penting untuk sistem imun.

Namun, apa-apa sahaja makanan, walaupun mengandungi pelbagai khasiat mestilah diambil dengan bersederhana.

Bersederhana dalam pengambilan makanan merupakan tabiat pemakanan yang sihat.   

Begitu juga dengan pengambilan daging, walaupun daging terkenal sebagai sumber protein, vitamin dan mineral yang baik, pengambilan yang berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. 

Menurut garis panduan pemakanan, pengambilan daging maksimum yang disyorkan untuk seminggu adalah sebanyak 455g selepas dimasak atau bersamaan kira-kira 600g ke 700g berat mentah tanpa lemak.

Jika daging dipilih sebagai menu harian, berat daging selepas dimasak yang boleh diambil menurut saranan ini adalah kira-kira 65g sahaja.

Sesetengah daging mengandungi lemak yang tinggi, terutamanya lemak tepu. Pengambilan lemak tepu dalam kuantiti yang berlebihan boleh meningkatkan tahap kolesterol dalam darah seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kandungan lemak dalam daging berbeza-beza mengikut jenis daging dan bagaimana haiwan tersebut dibesarkan. Sebagai contoh, haiwan yang dibesarkan dengan baik dan diberi makan rumput lebih sihat, menghasilkan tisu otot yang lebih lembut dan kurang lemak berbanding haiwan yang diberi makan makanan haiwan yang diproses.

Selain cara dan pemakanan haiwan, kaedah masakan juga merupakan faktor penting yang menentukan kandungan lemak tepu dalam daging.

Antara kaedah dan cara masakan bagi mengurangkan lemak tepu dalam daging adalah memasak dengan menggunakan kaedah panggang, elakkan menambah minyak tambahan semasa memanggang daging, potong bahagian lemak dan kulit yang kelihatan pada daging sebelum masak serta menggunakan kuantiti daging yang tidak terlalu banyak.

Daging mestilah dimasak dengan kaedah yang memenuhi piawaian keselamatan makanan untuk mengelakkan sebarang perkara berbahaya daripada berlaku.

Tahukah anda?

Daging yang diproses seperti sosej dan bacon mengandungi nilai nutrisi yang jauh berbeza berbanding daging yang tidak diproses. Daging yang diproses ini mengandungi bahan pengawet dan kandungan garam yang tinggi.

Pada tahun 2015, WHO mengisytiharkan daging yang diproses sebagai karsinogen Kelas 1. Dalam erti kata lain, terdapat bukti kukuh bahawa daging yang diproses boleh menyebabkan kanser.

Adalah dinasihatkan untuk kita pelbagaikan sumber protein dalam diet harian. Sebagai contoh, pengambilan daging merah dihadkan kepada 3 hingga 4 kali seminggu dan memilih ayam, telur, ikan dan lain-lain sumber protein pada hari-hari yang lain.

Lebihkan sayur-sayuran.

Kurangkan jumlah daging dalam hidangan dan gantikannya dengan sayur-sayuran.

Dalam kuantiti yang sederhana, daging menjadi sumber pemakanan yang bukan sahaja enak tetapi juga menyihatkan. Namun, jika diambil berlebihan daging boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Bersederhana!

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://food.upm.edu.my/artikel/daging_manfaat_dan_bahaya-48987

https://www.healthyfood.com/advice/how-much-meat-is-healthy-to-eat/

Kredit foto: healthline.com

Share this Post: