Memang mudah untuk melabel seseorang ahli politik itu melompat atau pengkhianat. Malah jika dituruti emosi dan amarah, mahu sahaja dimaki-caci sahaja mereka itu.
Ini bukan sekadar soal geram atau marah, tetapi ia adalah persoalan kepercayaan dan prinsip. Namun begitu, apa sebenarnya maksud lompat parti sehingga mereka yang terlibat digelar pengkhianat dan pembelot?
Banyak istilah bagi menggambarkan ahli politik yang bertukar parti, antaranya ialah “crossing the floor”. Banyak juga istilah sindiran seperti ‘katak’, di India diistilahkan sebagai “Aaya Ram Gaya Ram” dan “Waka-jumping” di New Zealand.
Dalam suasana ekonomi dan politik yang tidak menentu sekarang ini, melompat parti dianggap satu dosa terhadap demokrasi walaupun sebenarnya perbuatan ini telah sekian lama berlaku. Apatah lagi jika lompatan itu melibatkan ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat lalu menyebabkan kejatuhan pentadbiran kerajaan.
Secara umum, lompat parti dinilai negatif. Saya setuju dan saya yakin ramai yang bersetuju dan segala langkah perlu diambil bagi menghalang budaya ini. Namun apakah kita benar-benar jujur menentang perkara ini atau sekadar ketidakpuasan hati yang ditambat oleh tali partisan?
‘Langkah Sheraton’ misalnya, apakah kita semua bersetuju bahawa ia adalah tragedi lompatan dan pembelotan tahap tertinggi? Jika iya mengapa masih ramai yang mempertahankan sehingga ada cendekiawan yang mengabsahkannya?
Walhal ia terang-terang melibatkan beberapa orang yang melompat parti dan menghumban mandat rakyat. Malah keadaan lebih buruk kerana yang melompat itu bukan sekadar ahli politik, tetapi turut melibatkan sebuah parti yang menukar afiliasi politik – apakah undang-undang anti lompat parti boleh menangani perkara seperti ini?
Jika melompat parti ini benar-benar salah, apakah “conscience vote” atau “free vote” iaitu undian oleh wakil rakyat yang berdasarkan hati nurani mereka sendiri tanpa terikat kepada keputusan parti juga dianggap satu kesalahan? Contoh yang paling dekat ialah keputusan Umno sebelum ini yang menyerah kepada kebijaksanaan wakil rakyatnya untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Oleh itu beberapa ahli Parlimen Umno telah menarik semula sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apakah ini juga satu kesalahan? Atau kita boleh menerima perbuatan tersebut kerana pentadbiran kerajaan ‘Abah’ yang kian lemah? Atau bagaimana sebenarnya?
Ada yang menghalalkan tindakan beberapa wakil rakyat Umno ketika itu kerana mereka bukannya lompat parti. Maka apa bezanya dengan dua orang bekas wakil rakyat Umno di Melaka? Mereka cuma menarik balik sokongan terhadap ketua menteri tanpa melompat parti namun dipecat kemudiannya.
Apakah ‘Langkah Melaka’ yang baru berlalu sama seperti ‘Langkah Sheraton’? Atau apakah ia sama dengan tumbangnya pentadbiran Muhyiddin?
Mungkin – saya ulang sekali lagi – bahawa mungkin lompat parti bukanlah sesuatu yang buruk secara mutlak. Sebaliknya ia tertakluk kepada niat mereka yang melompat? Tetapi walau atas apa juga alasan, wakil rakyat yang melompat parti sewajarnya meletakkan jawatan secara terhormat sebagai ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri.
Ahli politik yang menukar keyakinan mereka bukanlah satu kesalahan. Namun ia dianggap salah kerana sikap ramai ahli politik itu sendiri yang cuma pandai berkata-kata dan janji yang tidak dikota. Mereka datang dan mereka pergi sesuka hati. Oleh itu menjadi tugas ahli politik untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar berintegriti agar landskap politik negara agar kembali dipercayai.
Bagi yang agak cakna dan meladeni dunia politik pula, mereka pasti sedar bahawa tempoh “interregnum” ataupun transisi politik dan perubahan pentadbiran sememangnya waktu yang mencabar. Lebih-lebih lagi wabak pandemik juga melanda dan menyukarkan lagi keadaan rakyat dan negara. Sudah tentu kita semua mengharap gencatan politik diantara parti-parti yang bersaing agar tumpuan terarah kepada proses pemulihan ekonomi dan sebagainya.
Tetapi pada akhirnya rakyatlah yang berdasarkan hati nurani mereka sendiri akan menentukan sama ada tindak-tanduk wakil rakyat mereka yang melompat parti itu salah ataupun tidak.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: British Library
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.