Prolog
Kesekian kali lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dipetik. Ini tidak pelik kerana lakonan dan lagu-lagu P. Ramlee itu ada sahaja pengajaran di sebalik hiburan.
Bagi yang pernah menonton filem Hang Tuah lakonan P. Ramlee pasti mengetahui petikan lagu tersebut. Ia dipetik daripada lagu Joget Tari Lenggang yang digubah oleh P. Ramlee sendiri dan liriknya oleh Dato’ Jamil Sulong.
Pernah dahulu kawan saya bertanya kenapa dari Melaka hendak ke Pahang perlu singgah di Johor? Bila difikir betul juga, lalu sahajalah jalan ke Kuala Pilah, Bahau dan terus ke Temerloh. Apa susah-susah pusing ikut Johor? Tapi zaman Hang Tuah dahulu manalah ada sistem jaringan jalanraya moden.
Sebab itu kalau kita baca sejarah atau geografi pasti kita biasa mendengar tentang Jalan Penarikan di Bahau, Negeri Sembilan. Pernah juga jadi polemik bahawa sebenarnya lirik lagu Joget Tari Lenggang menyebut Johor atau Johol (di Negeri Sembilan)?
Tetapi menurut kata anak kepada Dato’ Jamil Sulong, lirik tersebut sememangnya memaksudkan Johor. Kerana menurut Hikayat Hang Tuah, beliau memang ke Pahang melalui jalan laut yang sudah tentunya perlu mengelilingi Johor.
Lagipun Jalan Penarikan di Bahau terletak di Luak Jempol dan dahulunya dikenali sebagai Luak Ulu Pahang, tidak timbul isu Johol di sini. Namun kisah Hang Tuah dan Jalan Penarikan masih belum selesai dan akan kita sambung nanti.
Seperti mana yang kita tahu, pada zaman dahulu laluan air sama ada laut atau sungai adalah amat penting buat manusia. Sebab itu kita lihat ada banyak bandar-bandar besar yang membangun di tepi sungai, muara sungai mahupun di tepi laut. Malah kebanyakkan bandar-bandar tersebut masih kekal. Ini semua kita sudah belajar di sekolah dahulu. Rasanya saya tidak perlu berikan contoh lagi.
Namun begitu tidaklah kesemua laluan pada zaman dahulu melalui jalan air sahaja. Ada juga jalan darat – malah meredah bukit-bukau dan gunung-ganang - yang digunakan dan akan kita bincangkan.
Saya rasa untuk menjejak kembali laluan silam ini adalah sangat menarik, terutamanya perjalanan yang merentasi kedua-dua bahagian iaitu pantai barat dan pantai timur semenanjung (trans-peninsular). Misalnya dari Kedah ke Kelantan, apakah agaknya orang zaman dahulu terpaksa naik kapal laut melalui Selat Melaka, Selat Johor (Selat Tebrau) dan masuk ke Laut China Selatan? Ini perjalanan yang seoalah-olah mengelilingi seluruh semenanjung.
Jalan Penarikan Di Bahau
Antara laluan rentas semenanjung (trans-peninsular) yang sangat terkenal ialah Jalan Penarikan di Bahau. Kalau hendak cakap Jalan Penarikan ini sebagai shortcut atau jalan pintas pun tidak juga. Bagi saya bukan kerana itu laluan-laluan ini tercipta. Sebab itu di dalam Hikayat Hang Tuah menceritakan Hang Tuah menggunakan laluan laut Selat Melaka – Selat Johor (Selat Tebrau) – Laut China Selatan untuk ke Pahang.
Laluan Penarikan ini sebenarnya laluan darat antara Sungai Serting dan Sungai Jempol yang dipisahkan cuma dengan jarak sekitar 600 meter sahaja. Sungai Serting mengalir masuk ke Sungai Bera – Sungai Pahang – terus ke Laut China Selatan. Manakala Sungai Jempol pula mengalir masuk ke Sungai Muar – terus ke Selat Melaka.
Oleh itu laluan ini sangat popular sebenarnya pada zaman dahulu dan sering dilalui orang dan pedagang. Ini dapat dikesan melalui tinggalan sejarah dan rekod peta lama (peta lama sering menunjukkan bahagian selatan Semenanjung Melayu terpisah di bahagian Selatan).
Khabarnya dahulu Sungai Serting dan Sungai Jempol lebih lebar dan mencapai kedalaman antara 10-30 kaki, tetapi kini sudah mengecil dan cetek. Pada zaman dahulu sungai lebih dalam kerana daratan masih dipenuhi hutan dan sungai berliku-liku.
Dahulu di sekolah pasti kita pernah belajar bahawa Siam (Ayutthaya) pernah menyerang Melaka melalui jalan laut. Namun pertempuran di Selat Melaka itu – lebih tepat, di sekitar Kawasan Batu Pahat – telah dimenangi oleh angkatan laut Melaka yang dipimpin oleh Tun Perak (tahun 1445-1456). Namun sebenarnya sekitar sepuluh tahun lebih awal daripada serangan tersebut, Siam pernah menyerang Melaka melalui jalan darat.
Siam menggunakan Laluan Penarikan untuk menyerang Melaka (namun gagal juga). Jarak antara Jalan Penarikan di Bahau dengan Kota Melaka sekitar 60 kilometer. Namun jika ditelusuri laluan air Sungai Muar, ada laluan masuk ke Sungai Jelai dan Sungai Gemencheh yang hulunya cuma berjarak 40 dan 30 kilometer sahaja dari Kota Melaka.
Menyambung kembali kisah Hang Tuah – beliau sebenarnya membawa diri ke Pahang setelah difitnah. Di Pahang Hang Tuah telah memikat Tun Teja dan mahu melarikannya ke Melaka supaya boleh diperisterikan oleh Sultan Melaka. Menurut khabar, awalnya memang Hang Tuah mahu melarikan diri melalui laluan laut dan dia sememangnya terkenal dengan kepakaran di laut (kerana itu setelah peristiwa ini beliau dilantik menjadi Laksamana).
Namun ada catatan bahawa Hang Tuah telah mengerahkan pengiringnya untuk mengangkat perahu yang digunakan mereka. Ini menguatkan sangkaan bahawa Hang Tuah sebenarnya telah menggunakan laluan sungai serta Jalan Penarikan dan bukannya melalui laluan laut. Namun perkara ini masih diperdebatkan kerana melalui jalan sungai yang sangat terkenal untuk melarikan seseorang sambil dikejar oleh segerombolan angkatan tentera adalah amat bahaya.
Tetapi pelik juga ya, kalau dah Bahau dekat dengan Melaka macam yang kita bincangkan di atas, kenapa Hang Tuah dan Tun Teja tidak berjalan kaki sahaja? Mungkin Hang Tuah nak Tun Teja berehat di atas perahu, siapa tahu?
Itulah sedikit sebanyak kisah tentang Jalan Penarikan. Malah dahulu dikatakan laluan ini digunakan untuk ke Kelantan. Dari Sungai Pahang, ia ditelusuri sehingga ke bahagian utara di mana lokasi anak-anak Sungai Pahang berada berhampiran dengan Hulu Sungai Kelantan.
Laluan Endau – Kluang – Batu Pahat
Namun begitu dikatakan wujud laluan lain yang mungkin juga digunakan oleh Hang Tuah. Laluan ini katanya agak rahsia. Ia melalui Sungai Endau – Sungai Sembrong Besar – lalu terus ke Sungai Melantai di Kluang. Di Kluang, jarak antara Sungai Melantai ke Sungai Sembrong (jangan terkeliru dengan Sungai Sembrong Besar yang telah dicatat di atas) cuma empat kilometer.
Dari Sungai Sembrong terus ke Sungai Simpang Kanan – Sungai Batu Pahat – Selat Melaka. Jika dituruti kisah Hikayat Hang Tuah, laluan ini seakan-akan lebih tepat kerana Hang Tuah terlebih dahulu menggunakan laluan laut. Sebelum kemudiannya dia dikatakan menelusuri laluan sungai pula bagi mengelirukan tentera Pahang yang mengejarnya. Laluan ini sunyi dan tidak terkenal berbanding Jalan Penarikan.
Di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) pula dicatatkan bahawa yang melarikan Tun Teja ialah Laksamana Hang Nadim dan bukannya Hang Tuah. Hang Nadim ialah menantu Hang Tuah dan beliau juga adalah seorang laksamana seperti bapa mertuanya. Hang Nadim dicatatkan menggunakan laluan laut bagi melarikan Tun Teja.
Dari sini kita tahu bahawa sekurang-kurangnya terdapat tiga laluan yang boleh menghubungkan antara Selat Melaka dan Laut China Selatan yang biasa digunakan oleh orang dan pedagang zaman dahulu serta berkemungkinan ianya turut digunakan oleh Hang Tuah.
Namun untuk mengetahui laluan mana yang dilalui oleh Hang Tuah (atau mungkin juga Hang Nadim), yang paling penting untuk kita tahu ialah faktor cuaca. Awal tadi saya ada beritahu bahawa Jalan Penarikan atau kombinasi laluan sungai dan darat bukanlah jalan pintas. Dengar khabar, laluan ini merupakan laluan ketika musim monsun kerana laut sangat bergelora.
Namun jika begitu saya terfikir juga, tidakkah sewaktu itu laluan sungai juga sangat berbahaya kerana musim banjir telah tiba? Satu lagi sebab orang dan pedagang melalui kawasan ini kerana mahu mengelakkan daripada aktiviti lanun yang aktif di sekitar Selat Johor dan kepulauan Riau serta di sekitar kepulauan di Mersing (istilah dan aktiviti lanun ini juga diperdebat).
Jika kita tahu bulan berapa Hang Tuah melarikan Tun Teja mungkin masalah ini boleh dirungkai, namun sayangnya tiada catatan lengkap. Oleh itu laluan yang digunakan untuk melarikan Tun Teja masih bersifat misteri sebenarnya. Semua catatan masih bersifat teori, namun sekurang-kurangnya kita telah mengetahui kemungkinan laluan yang digunakan.
Laluan Hulu Patani
Selain laluan Jalan Penarikan dan Endau-Batu Pahat, laluan Hulu Patani juga direkodkan sebagai laluan rentas Semenanjung Melayu. Ada dua Jalan yang digunakan dari pantai barat (dari Selat Melaka) untuk tiba ke Hulu Patani iaitu melalui Sungai Perak ataupun melalui Sungai Muda.
Laluan daripada Selat Melaka – Sungai Muda – Hulu Patani – Laut China Selatan dikatakan telah lebih awal ditemui dan diteroka yakni pada zaman Kedah Tua. Jika begitu sudah pastilah laluan ini lebih awal diteroka berbanding laluan Jalan Penarikan di Bahau. Mungkin juga ia adalah laluan rentas Semenanjung Melayu yang paling tua berjaya dikesan. Cuma sejarah dan catatan tentangnya terlalu sedikit dan sewajarnya diterokai lebih lagi.
Manakala laluan Sungai Perak pula boleh ditelusuri hingga ke Grik. Dari Grik kemudiannya boleh melalui jalan darat sehingga ke Pengkalan Hulu yang terletak berdekatan dengan hulu Sungai Patani. Malah ada sebatang sungai bernama Sungai Rui yang menghubungkan Kampung Kuala Rui di Grik sehingga ke Pengkalan Hulu.
Tun Saban, iaitu seorang pembesar di Hulu Perak dikatakan telah masuk ke kawasan itu bersama para pengikut dan keluarganya melalui Sungai Patani dan terus menelusuri hingga ke hulu Sungai Patani yang jaraknya tidak jauh dari kawasan Hulu Sungai Perak. Tun Saban kemudiannya membuka dan menetap di kampung bernama Rilap Reli di kawasan Hutan Belum.
Tun Saban ini ialah salah seorang pembesar Perak yang berjasa membawa anak Sultan Mahmud (Sultan Melaka) iaitu Sultan Muzaffar Shah I dari Kampar untuk menjadi Sultan Perak yang pertama. Namun siapa sebenarnya Tun Saban ini?
Tun Saban dikatakan adalah anak kepada Raden Mulkin iaitu salah seorang pembesar Melaka. Malah ada yang mengatakan Tun Saban sebenarnya adalah anak ketiga kepada Tun Perak dan nama sebenarnya ialah Tun Telani (diperdebatkan).
Tetapi bukan calang-calang orang yang boleh menggunakan nama gelar ‘Tun’ pada waktu dahulu melainkan dia merupakan seorang kerabat dekat Bendahara atau Pembesar Berempat. Malah bukan calang-calang orang juga yang boleh menjemput dan meminta izin daripada seorang Sultan untuk anakandanya dirajakan di sebuah negeri.
Pada kesempatan ini juga izinkan saya membincangkan sedikit tentang kedudukan Kampar. Setelah Melaka ditawan, Sultan Mahmud telah berundur ke Pahang (dikatakan melalui Jalan Penarikan) dan seterusnya ke Johor (sekitar Bentan – sekarang dikenali sebagai Bintan, Kepulauan Riau, Indonesia). Tetapi dari Pahang Tun Saban pula dikatakan ke Patani dan seterusnya ke Hulu Patani dan tidak mengikut ke Bentan.
Setelah Bentan turut digempur Portugis, Sultan Mahmud berundur ke Kampar namun salah seorang anakandanya kekal bertahan di sekitar Johor dan menjadi Sultan (Alauddin Riayat Shah II). Kampar dan Johor sebenarnya berada di dalam lingkungan naungan Melaka pada asalnya. Di Kampar inilah Tun Saban dikatakan datang menjemput anakanda Sultan Mahmud yang seorang lagi iaitu Sultan Muzaffar Shah I untuk dirajakan di Perak.
Kampar yang dimaksudkan oleh sejarah pula sebenarnya kini terletak di Pekan Tua, Kabupaten Indragiri Hilir, Provinsi Riau, Indonesia. Dahulu Pekan Tua adalah pusat pentadbiran Kampar. Kampar yang dimaksudkan bukanlah Kabupaten Kampar yang kini terletak jauh di Hulu Sungai Kampar.
Tiga Laluan rentas Titiwangsa Selangor-Pahang
Di Selangor pun ada laluan-laluan lama. Diberitakan setelah digempur oleh Angkatan Laut Belanda dengan kekuatan sebelas buah kapal dan dibantu oleh pihak Siak pada Ogos 1784, Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua bersama kerabat dan pembesar negeri terpaksa berundur ke Pahang.
Mereka berundur menghulu dari Kuala Selangor ke Hulu Selangor. Dari Hulu Selangor mereka dilaporkan bergerak ke Hulu Bernam dan dari situ dikhabarkan mereka merentasi Banjaran Titiwangsa untuk ke Pahang.
Tiada catatan terperinci mengenai laluan sebenar mereka tetapi catatan sedia ada sudah cukup untuk menggambarkan laluan yang digunakan mereka. Setelah mendapat bantuan ketenteraan dari Pahang, maka pada pertengahan 1785 Sultan bersama 2,000 orang tentera telah melancarkan serangan balas terhadap Belanda serta Siak dan berjaya menawan kembali Kuala Selangor.
Dicatatkan bahawa semasa serangan balas, sebelum tiba di Kuala Selangor mereka telah melalui kawasan Tiram Buruk dan Permatang yang terletak di arah utara Kuala Selangor. Ini menimbulkan andaian bahawa Sultan merentas Banjaran Titiwangsa melalui laluan yang sama (kontra) ketika baginda menuju ke Pahang.
Namun apabila tiba di Hulu Bernam, mereka tidak menuju ke arah Hulu Selangor. Sebaliknya berkemungkinan menyusur laluan di tebing Sungai Bernam hingga ke Sungai Tengi. Sungai Tengi pula disusuri sehingga ke Tiram Buruk yang terletak berhampiran Tanjung Karang.
Serangan ini sudah pasti mengejutkan pihak Belanda kerana datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Ini menunjukkan penguasaan dan kemahiran orang dahulu terhadap geografi dan ilmu laluan di dalam hutan serta ilmu strategi perang.
Dua lagi laluan yang direkodkan ialah laluan Genting Sempah dan Genting Bidai. Semasa Perang Klang (Perang Saudara Selangor 1867 - 1874), Tengku Kudin telah meminta bantuan ketenteraan dari Pahang bagi mengalahkan Raja Mahadi. Laluan yang digunakan oleh 1,000 orang tentera Pahang untuk datang membantu Tengku Kudin di Selangor adalah dengan menggunakan laluan Genting Sempah dan Genting Bidai.
Pada zaman dahulu Genting Bidai yang terletak berdekatan kawasan Janda Baik adalah laluan yang lebih terkenal berbanding laluan Genting Sempah. Dikhabarkan bahawa laluan atau denai tersebut agak lebar dan membolehkan lembu atau kuda untuk melaluinya. Di Genting Bidai inilah dikatakan Datuk Bahaman menyimpan bekalan makanan sewaktu angkatan tentera Pahang terlibat dengan Perang Klang dan menjadikannya lokasi kubu peninjau.
Laluan rentas banjaran atau gunung ini kebiasaanya melibatkan laluan lembah dan genting (pass). Ini laluan paling mudah kerana lembah dan genting kebiasaanya adalah laluan terendah adalah diantara dia puncak bukit atau gunung. Selain itu ia selalunya menjadi laluan aliran sungai serta tempat permulaan sesuatu anak sungai.
Maka begitu jugalah dengan keadaan Genting Sempah dan Genting Bidai. Dari Bentong, jika menelusuri Sungai Benus ke arah Banjaran Titiwangsa maka akan ia akan sampai ke kawasan Janda Baik. Dari Janda Baik boleh terus ke Genting Bidai dan turun ke Hulu Sungai Klang hinggalah ke Kampung Kemensah.
Sebelum tiba di Janda Baik, ada satu anak Sungai Benus iaitu Sungai Tanglir yang mengalir dari arah Genting Sempah. Namun British yang mentadbir Malaya pada zaman dahulu telah memilih laluan Genting Sempah yang turun di Gombak (di bahagian Selangor) ini sebagai laluan untuk pembinaan jalanraya yang menghubungkan Gombak di Selangor dengan Bentong di Pahang. Lalu dari jalanraya inilah terilham laluan Lebuh Raya Karak.
Terowong di Lebuh Raya Karak itu sebenarnya melalui di bawah titik sebenar lokasi segenting yang dinamakan sebagai Sempah. Sekarang kita tahu bahawa genting bukan bermaksud tanah tinggi. Tanah Tinggi Genting itu sebenarnya terletak di Gunung Ulu Kali.
Laluan-laluan Lain
Di Perak, tepatnya di Hulu Slim terdapat juga satu laluan rentas Banjaran Titiwangsa untuk ke Kampung Ulu Sungai di Raub yang biasa digunakan di zaman silam. Selain laluan-laluan yang telah dibincangkan tadi, terdapat satu lagi laluan menarik Pahang-Terengganu-Kelantan yang digunakan oleh Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan pejuang-pejuang lain ketika menentang British.
Laluan ini tidak terletak di Banjaran Titiwangsa sebaliknya terletak di kawasan berbukit bukau di sempadan Pahang-Terengganu-Kelantan. Antara laluan terkenal ialah laluan dari Kampung Bantal di Hulu Tembeling, Pahang ke Kampung Pasir Raja yang terletak di Dungun, Terengganu.
Laluan-laluan lama ini telah hampir dilupakan dengan adanya sistem jalan raya moden. Rekod-rekod sejarah mengenainya juga amat sedikit dan tidak terperinci. Namun begitu memang ada usaha-usaha untuk menjejak kembali laluan-laluan ini dan merekod kembali peranannya di masa silam. Namun usaha ini mungkin belum cukup meluas.
Laluan-laluan zaman silam ini mengungkap kemahiran masyarakat Melayu di dalam ilmu hutan dan geografi. Tanpa kemahiran tersebut pasti mudah tersesat di dalam hutan yang tebal. Masa dahulu juga tiada peta lengkap yang dapat dirujuk.
Saya yakin selain daripada laluan-laluan yang kita bincangkan di atas, pasti wujud lebih banyak laluan yang masih belum kita ketahui pada hari ini – masih rahsia.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Awani / Google Maps
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.