Hang Tuah Atau Laksamana? (Bhg 3)

Hang Tuah Atau Laksamana? (Bhg 3)

Sambungan dari Bahagian 2

Memanusiakan Hang Tuah, Merealitikan Sejarah

Namun cabaran yang jauh lebih besar ialah memanusiakan Hang Tuah itu – dalam penghujung penulisan ini penulis berkompromi untuk menamakan Laksamana yang hebat itu sebagai Hang Tuah. Penulis tidak bersetuju dengan watak Hang Tuah yang bersifat mitos seperti yang digambarkan di dalam Hikayat Hang Tuah. Malah penulis juga tidak bersetuju watak Hang Tuah ditampilkan sebagai lagenda seperti yang dicatatkan di dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin).

Bagi penulis Hang Tuah cuma manusia biasa dengan kebolehan tinggi namun tidak berlebihan-lebihan. Sehebat manapun beliau, dia tetap manusia yang pernah hidup dalam dokumentasi sejarah yang sahih. Kita perlu menerima bahawa beliau mungkin tidak pernah bermain akal untuk menatap wajah Maharaja China melainkan beliau cuma pernah berdiplomasi dengan Raja Ryukyu sahaja yang merupakan negeri naungan Empayar China.

Hang Tuah tidak menghilang di Hulu Perak atau mendapat penghormatan semasa kematiannya dengan upacara pengebumian negara dan dimakamkan di Tanjung Keling. Bendahara Tun Perak yang jasanya lebih besarpun tidak pernah kedengaran menerima penghormatan seumpama itu. Laksamana yang didokumentasikan oleh sejarah kemungkinan besar meninggal dunia setelah jatuhnya Melaka – lalu bagaimana Hang Tuah dimakamkan di Tanjung Keling, Melaka?

Memetik pendapat Prof. Dr Hashim Musa, Hang Tuah mungkin berpindah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka. Kemudiannya berpindah ke Riau dan mengakhir hayat di Palembang. Namun dakwaan ini harus tetap dibuktikan. Penulis percaya sehebat manapun Hang Tuah, beliau pasti meninggal sebagai manusia biasa dalam keadaan sederhana.

Ini mengingatkan penulis tentang kenyataan Sasterawan Negara, Dr. Muhammad Haji Salleh yang menterjemahkan Hikayat Hang Tuah ke dalam Bahasa Inggeris bahawa Hang Tuah berkemungkinan dari keturunan Sekana iaitu suku Melayu asli laut. Hang Tuah mungkin lahir di Sungai Duyong yang sekarang terletak di dalam kabupaten Singkep, Kepulauan Riau (Bukannya Sungai Duyong di yang berhampiran bandar Melaka sekarang ini).

Ini lebih sejajar dengan dokumentasi sejarah bahawa mengapa Hang Tuah mengepalai angkatan laut dan berpengkalan di Singapura yang lebih berhampiran dengan Singkep berbanding Melaka.

Tentang kisah Laksamana menewaskan 200 orang tentera Siam, kemungkinan besar Hang Tuah menggunakan pengalaman dan kepintarannya melebihi ‘kesaktian ilmu silat’ beliau. Kita harus menghadapi realiti bahawa keris Taming Sari juga tidak pernah wujud.

Jika dirujuk kepada buku seperti Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Sultan Perak tulisan M.A. Fawzi Basri, keris yang menjadi alat kebesaran Sultan dan Negeri Perak dicatatkan sebagai keris Hang Tuah. Penulis percaya bahawa Keris Hang Tuah yang dinyatakan ialah keris rasmi Laksamana yang dianugerah oleh Sultan Melaka.

Mungkin pakar-pakar keris boleh melakukan kajian lanjut kerana jika dilihat struktur keris tersebut ia seumpama menepati Keris Tempa Melaka (keris panjang) dan bertaraf keris rasmi anugerah Sultan. Apakah mungkin keris yang sebegitu indah adalah keris Taming Sari yang asalnya cuma kepunyaan seorang pendekar? Pakar-pakar keris juga boleh menentukan apakah keris tersebut mempunyai ciri-ciri keris buatan dari Jawa ataupun Keris Tempa Melaka.

Namun persoalannya, apakah masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu boleh menerima Hang Tuah yang lebih bersifat manusia biasa tanpa kesaktian? Mampukah seorang Laksamana tanpa sebarang kesaktian dan senjata ajaib dapat mengekalkan status etos-nya di dalam masyarakat Melayu?

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto ihsan Google

Share this Post: