Lah, dengan hujan pun takut?

Lah, dengan hujan pun takut?

Pernah tak anda menonton mini siri Netflix yang bertajuk The Women in the House Across the Street from the Girl in the Window? Fuh, panjang tajuknya! Jika anda peminat K-drama pula bolehlah cuba tonton siri yang tengah hot di Netflix bertajuk Business Proposal. Bukan apa, kedua-dua siri ini ada kaitannya dengan tajuk artikel ini. Kepada yang sudah menonton, mungkin anda tertanya-tanya kenapa mereka takut sangat dengan hujan, chill lah. Nah, inilah yang dipanggil sebagai Ombrophobia atau ketakutan melampau terhadap hujan.

Ya, golongan yang menghidapi Ombrophobia wujud dalam dunia ini.

Kebiasaannya, apabila hujan turun, kita akan rasa rileks, nyaman, tenteram dan tenang. Lebih-lebih lagi, jika ditemani secawan kopi panas dan kuih kegemaran kita, tentunya begitu asyik kita menghayati hujan yang turun membasahi bumi.

Tetapi suasana tenang menghayati dan menikmati hari hujan tidak akan pernah berlaku kepada mereka yang mempunyai Ombrophobia.

Ombrophobia juga adalah anxiety disorder yang boleh menimbulkan gejala dan emosi yang menjejaskan kehidupan seharian. Seseorang yang menghidap Ombrophobia akan mengalami kebimbangan melampau walaupun hanya sekadar terfikir tentang hujan, apatah lagi apabila melihat hujan turun.

Perasaan takut melampau ini wujud kerana mereka percaya hujan akan mendatangkan kemudaratan seperti banjir besar, kerosakan tumbuh-tumbuhan, tanah runtuh, kegelapan, kerosakan alam dan hujan asid. Selain itu, mereka juga bimbang terhadap kandungan bakteria yang terdapat dalam titisan hujan.

Antara gejala yang dihadapi oleh penghidap Ombrophobia adalah berasa gelisah, panik dan stres ketika hujan turun, berasa berdebar dan jantung berdegup laju semasa hujan turun, mempunyai bayangan negatif tentang apa-apa kemungkinan yang berlaku semasa hujan turun serta menangis dan menjerit semasa hujan turun.

Penghidap Ombrophobia juga akan cuba mengelak daripada melakukan aktiviti luar, memeriksa ramalan cuaca secara obsesif atau mendongak ke langit, menolak untuk menyertai aktiviti tertentu jika terdapat sebarang kemungkinan hujan dan terlalu risau jika ada ahli keluarga yang terpaksa meredah hujan.

Tiada punca yang jelas terjadinya Ombrophobia.

Namun, menurut pakar-pakar kesihatan mental, punca terjadinya Ombrophobia adalah disebabkan pengalaman trauma yang berlaku berkaitan hujan selain faktor genetik.

Contoh pengalaman trauma berkaitan hujan adalah seperti pernah mengalami kemalangan jalan raya pada waktu hujan sehingga meragut nyawa orang yang tersayang, rumah yang didiami terjejas akibat tanah runtuh semasa hujan berlaku dan lain-lain peristiwa pahit lagi.

Dari segi genetik pula, jika ada ahli keluarga yang mengalami anxiety disorder atau ketakutan melampau terhadap sesuatu perkara juga boleh menyumbang kepada terjadinya Ombrophobia dalam diri seseorang.

Usah pandang enteng kepada penghidap Ombrophobia. Ya, mereka sanggup pindah jika perlu. Mereka boleh melakukan tindakan atau berusaha dengan sangat keras untuk mengelakkan hujan seperti menentukan tempat tinggal di kawasan yang jarang hujan.

Selain itu, mereka juga berulang-ulang melihat ramalan cuasa dan mengelakkan aktiviti luar meskipun terpaksa tinggalkan urusan penting.

Ombrophobia boleh dirawat untuk mengurangkan gejala dan kesan kepada penghidapnya. Antara rawatan yang efisien bagi mengurangkan gejala Ombrophobia termasuklah terapi paparan dan rileksasi, terapi perilaku kognitif (CBT) dan ubat-ubatan.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://my.clevelandclinic.org

https://doktersehat.com

(Kredit foto: timesofindia.indiatimes.com)

Share this Post: