Nama ‘Ronaldo’ dan ‘jersi nombor 7’ dalam dunia bola sepak akan sentiasa dikaitkan dengan samada bekas penyerang lagenda Brazil atau pun bekas kapten England, David Beckham. Atau mungkin juga jika diputar ke belakang sedikit lagi, dikaitkan pula dengan Eric Cantona, juga pemain lagenda asal Perancis yang pernah menggegarkan England ketika bermain dengan Manchester United.
Tetapi seperti berjanji, ditakdirkan kedua-dua nama dan jersi nombor 7 itu hari ini lebih melekat dengan pemain yang kini dianggap sebagai pemain bola sepak antara terbaik sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo dos Santos Aviero.
Pada usia 35 tahun, usia yang biasanya boleh dianggap senior atau berusia bagi seorang atlet apa lagi pemain bola sepak, Cristiano Ronaldo masih merupakan pemain bola sepak yang terus menjadi kegemaran untuk diangkat sebagai penerima anugerah pemain terbaik dunia. Aksi dan pencapaian hasil kerja keras beliau sentiasa menjadi tanda aras buat pemain lain.
Cristiano Ronaldo tidak hanya cemerlang di atas padang tetapi juga sentiasa dihormati di luar padang. Beliau terkenal sebagai seorang role model, hasil keterlibatan dalam aktiviti sosial dan kebajikan, baik dengan golongan yang memerlukan mahupun bersama para penyokong sendiri.
Kontroversi lampau yang pernah menghinggap kehidupan beliau ketika masih muda tidak mencalarkan imej beliau hari ini sebagai seorang dermawan dan tokoh kemanusiaan yang mempunyai kesedaran sosial yang tinggi. Antara badan yang diwakili beliau termasuklah World Vision, Save the Children, dan Unicef. Beliau juga terkenal dengan mesej-mesej keamaan terutama buat kanak-kanak yang menjadi mangsa perang dan keganasan seperti di Syria dan Palestin. Dengan keterlibatan demikian, mudah sahaja Cristiano Ronaldo dianggap sebagai seorang wira buat ramai golongan tertindas.
Permulaan Seorang Lagenda
Sejarahnya, Cristiano Ronaldo mempunyai perjalanan panjang dalam kariernya sebagai pemain bola sepak. Pada usia belasan tahun, beliau memulakan aksi pertamanya bersama pasukan muda Laszlo Boloni, sebelum menyertai pasukan domestik di Primiera Liga, Sporting Clube de Portugal. Namun tarikh terpenting buat kariernya tentu sekali pada Ogos 2003, apabila bakat beliau berjaya menarik perhatian pengurus kelab Manchester United, Sir Alex Ferguson.
Semuanya bermula apabila pasukan Sporting Clube de Portugal menewaskan Manchester United dengan jaringan 3-1, dalam penampilan sulung beliau di stadium Estadio Jose Alvalade di Lisbon. Aksi memukau Cristiano Ronaldo yang ketika itu baru berusia 18 tahun mendapat pujian Alex Ferguson. Alex Ferguson menganggap Cristiano Ronaldo sebagai salah seorang pemain muda paling menarik pernah beliau saksikan.
Glory Glory Man United
Berhijrah ke United setelah menandatangani kontrak sebelum permulaan musim 2003-2004, Cristiano Ronaldo sudah pun mencipta sejarah peribadi sebagai pemain Portugal pertama yang menyertai kelab tersebut. Sejarah keduanya adalah yuran perpindahan beliau iaitu sebanyak ₤12.24 juta, direkodkan sebagai yuran perpindahan tertinggi buat seorang pemain muda dalam sejarah bola sepak England ketika itu.
Debut beliau dalam Liga Perdana Inggeris adalah ketika menentang pasukan Bolton Wanderes, 16 Ogos 2003. Jaringan gol pertamanya untuk Manchester United adalah ketika bertemu Portsmouth pada 1 November 2003. Kad merah pertamanya di England pula semasa perlawanan terakhir musim tersebut menentang Aston Villa.
Tidak lama untuk Cristiano Ronaldo memahat namanya sebagai pemain terbaik dunia secara rasmi. Dalam musim 2006-2007 di England, Cristiano Ronaldo buat pertama kali melepasi jumlah jaringan 20 gol dalam saingan liga, dan memenangi kejuaraan liga pertama. Kejayaan ini akhirnya mendorong Persatuan Bolasepak Dunia (FIFA) untuk menganugerahkannya dengan anugerah paling berprestij, FIFA Ballon d’Or pada 2008. Sejak itu, kemaraan Cristiano Ronaldo tidak lagi boleh disekat.
Hala Madrid
Seolah-olah Manchester United tidak cukup besar, menjelang kempen La Liga bagi musim 2009-2010, Cristiano Ronaldo secara sah menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dengan bayaran perpindahan rekod dunia pada ketika itu sebanyak ₤80 juta. Di Madrid, beliau asalnya tidak berpeluang menyarung jersi bernombor 7 kegemarannya yang sudah digunakan oleh Kapten pasukan Raul Gonzalez, sebaliknya beliau diberikan jersi bernombor 9. Jersi nombor 7 bagaimanapun akhirnya menjadi miliknya bermula 2010.
Bersama Real Madrid, beliau berjaya memenangi FIFA Ballon d’Or sebanyak 4 kali iaitu untuk tahun 2013, 2014, 2016 dan terakhirnya 2017. Selama 10 tahun di Sepanyol, beliau berpeluang muncul untuk bermain bersama ramai bintang lain seperti Sergio Ramos, Gareth Bale, Iker Casillas, Kaka, Angel Di Maria, Mesut Ozil antara lainnya. Setelah pelbagai anugerah dan kejuaraan dimenanginya bersama Real Madrid, Cristiano Ronaldo akhirnya berpindah ke Itali untuk bersama juara bertahan Serie A iaitu pasukan Juventus.
Forza Juve
Cristiano Ronaldo kini menyarung jersey bernombor 7 di Juventus setelah menandatangani kontrak selama 4 tahun pada 10 Julai 2018. Beliau tidak menunggu terlalu lama di Itali untuk menjaringkan gol pertamanya pada kemunculan keempat ketika menentang Sasuolo di pentas Liga Juara-juara Eropah.
Trofi pertamanya bersama Juventus ialah pada 2019, iaitu piala Supercoppa Italiana yang dimenangi selepas menewaskan pencabar tradisi Juventus, AC Milan. Pada tahun itu juga, beliau membantu Juventus menjuarai Serie A buat kali kelapan berturut-turut. Pencapaian tersebut menjadikan beliau sebagai pemain pertama dalam sejarah bolasepak di Eropah yang telah memenangi piala di liga England, Sepanyol dan Itali.
Aksi Antarabangsa
Di peringkat antarabangsa, Cristiano Ronaldo pertama kali diangkat menjadi kapten untuk pasukan Portugal pada 6 Februari 2007 ketika menentang Brazil dalam aksi persahabatan. Untuk rekod, beliau telah berjaya menjaringkan gol antarabangsa sebanyak 99 gol serta membantu pasukan Portugal untuk layak ke Piala EURO 2020.
Pencapaian tertinggi Cristiano Ronaldo bersama pasukan Portugal di peringkat Eeropah adalah memenangi Piala Eropah pada tahun 2016 di Paris. Di peringkat dunia bagaimana pun, beliau hanya mampu membantu pasukan Portugal meraih tempat keempat pada Piala Dunia 2006 di Berlin, Jerman.
Sehingga kini Cristiano Ronaldo masih menjadi tonggak utama pasukan Portugal. Masa akan menentukan kalau beliau mampu memimpin skuad kebangsaan Portugal untuk mara ke pusingan kalah mati seterusnya menjadi juara pada kejohanan EURO2020 yang akan datang sebelum bersara dari beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Sejak kemunculan pertamanya, sehingga ke hari ini, dunia tidak pernah sunyi dari memerhatikan gerak langkah dan kelincahan Cristiano Ronaldo. Dengan setiap pencapaian sepanjang kariernya, tidak sukar untuk Cristiano Ronaldo dibariskan namanya bersama setanding bintang-bintang lain seperti Diego Maradona, Pele, Zinadane Zidane, Ronaldinho mahupun pesaing sezamannya, Lionel Messi.
Setiap pencapaian dan anugerah yang dikecapinya bakal amat sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pemain baharu pada masa akan datang. Portugal negara yang amat bertuah kerana memiliki seorang Cristiano Ronaldo. Keupayaan beliau untuk terus konsisten beraksi cemerlang selama 17 tahun membuatkan ramai menganggap beliau tidak akan pudar dari warna-warni bola sepak dunia dan tidak mustahil untuk terus bertahan sehingga berusia 40 tahun. Dunia bola sepak akan sentiasa mengagumi lagenda hidup bernama Cristiano Ronaldo dos Santos Aviero ini.
Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone
Foto hiasan ihsan Forbes
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.