Kumpulan Rock pernah menjadi kegilaan anak muda di Malaysia suatu ketika dahulu

Kumpulan Rock pernah menjadi kegilaan anak muda di Malaysia suatu ketika dahulu

Peredaran zaman sangat mempengaruhi kecenderungan, minat dan kepercayaan sesuatu kelompok. Kumpulan anak muda, misalnya sering terjebak dengan pengaruh-pengaruh dari luar negara terhadap budaya dan ikutan kumpulan yang mempunyai latar belakang dan umur yang sebaya.

Di Malaysia, industri muzik terutamanya kemasukan muzik rock merupakan hiburan yang popular dalam kalangan anak muda pada era 80-an dan 90-an.

Muzik rock ini bukan sahaja menyuntik jiwa anak muda untuk mendirikan band mereka malah impian menjadi seorang rockers yang versatil, unik serta lantunan muzik yang tersendiri di pentas membuatkan mereka digilai ramai.

Kumpulan Cromok pernah menjadi kumpulan yang amat diminati oleh anak muda yang menyukai seni muzik rock. Cromok adalah sebuah kumpulan heavy rock metal Inggeris Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1987 oleh empat orang pelajar Malaysia yang menuntut pengajian di University of Wollongong, Sydney Australia. Muzik kumpulan ini mula mendapat sambutan di Malaysia bermula tahun 1991 melalui album “Image of Purity”.

Kumpulan kedua yang turut memperjuangkan genre muzik rock Inggeris ialah Metalasia. Band ini mempunyai lima orang ahli iaitu CD Naz, Sam Maya, Ewan Braker, Ritz dan King Shah yang menekankan alunan gitar yang progresif.

Dikatakan bahawa Metalasia terpengaruh dengan aliran muzik Italian Symphonics Power Metal yang popular di Eropah.

Selepas berjaya menghasilkan dua buah album iaitu Khalifah Alam Maya dan Silantra: Bermulanya Sebuah Epik (2002), lagu-lagu daripada Metalasia sering meniti di bibir dan menjadi lagu kegemaran anak muda di Malaysia.

Seterusnya, kumpulan Butterfingers ditubuhkan pada tahun 1993 oleh tiga orang pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) iaitu Khairil Ridzwan (Loque), Fakharudin (Kadak) dan Khairul Nizam (Kalai). Kemudian, vokalis Emmett Roslan yang mempunyai gaya nyanyian seperti legenda Grunge, Kurt Cobain telah menyertai kumpulan ini selepas dipelawa oleh Loque.

Butterfingers sangat berpengaruh dan diminati di Malaysia kerana hampir semua lagu yang dihasilkan mempunyai pengaruh aliran rock daripada Amerika Syarikat iaitu kumpulan Nirvana.

Jika Butterfingers pelopor kepada muzik Grunge, A.C.A.B pula ditubuhkan daripada kumpulan Skinhead yang cenderung kepada aliran muzik rock Indie.

Kumpulan ini juga mempunyai pengikut dan penyokong yang ramai di Malaysia sejak tahun 1994. Penampilan ahli kumpulan A.C.A.B dipengaruhi oleh lagak gaya seperti ahli-ahli Skinhead iaitu berkepala botak, berbaju kemeja, berseluar yankee dan berkasut beatles.

Hampir 10 tahun kumpulan ini mewarnai industri muzik tanah air walaupun pengaruh kumpulan ini semakin perlahan.

Majoriti anak muda yang tinggal di pelosok kampung pula lebih cenderung meminati muzik Melayu sendiri.

XPDC adalah satu band yang paling terkenal dan berpengaruh di Malaysia. Personaliti anak muda yang santai berambut panjang bersama alat muzik seperti gitar dan dram. Lebih membanggakan apabila anak muda kini masih menyukai seni rock kapak yang diperjuangkan oleh XPDC.

Antara pencapaian terbaik kumpulan XPDC ialah album Brutal yang pernah dihasilkan pada tahun 1997 terjual lebih 350,000 unit dan lagu “C.I.N.T.A” pernah memasuki final anugerah Juara Lagu Tahun 1990.

Pada tahun 1992, industri muzik di Malaysia telah mengalami revolusi apabila acuan dan seni lagu telah berubah kepada genre alternatif yang lebih pop dan rock santai melalui kemunculan band Old Automatic Garbage (OAG).

Lagu-lagu daripada kumpulan ini mendapat perhatian daripada pendengar muzik terutamanya golongan muda yang lebih mainstream. Antara lagu yang paling popular dan diminati oleh para peminat ialah “Slumber, Generasiku, Merpati Putih dan Permaisuri.

Sehingga ke hari ini, kumpulan ini masih mengekalkan vokalis yang serba boleh iaitu Radhi OAG.

Genre muzik hip-hop juga pernah mewarnai arena dunia hiburan di Malaysia sejak akhir tahun 90-an. Faktor lagu yang berirama dan disulami dengan tarian joget telah menjadi fenomena kepada remaja pada masa itu.

Mereka gemar berpakaian ala-ala Limp Bizkit, bertopi New York, berbaju t-shirt dan berseluar jeans yang besar. Antara kumpulan yang diminati oleh peminat ialah Too Phat. Ahli Fiqir, VE, Ruffedge dan banyak lagi.

Kini muzik hip-hop masih diperjuangkan oleh Altimet, Joe Flizzow, K-Clique dan beberapa kumpulan lagi.

Bagi pengikut kumpulan Punk pula, mereka lebih terdedah kepada fesyen terlebih dahulu. Kemudian barulah muzik, perjuangan, penentangan, kepercayaan dan politik menjadi indikator kedua.

Kumpulan ini sangat memperjuangkan stail dan bentuk fizikal. Fesyen rambut Mohawk, berjaket kulit hitam, memakai kasut Doctor Martens dan pakaian serba hitam menjadi pilihan peminat kumpulan Punk.

Ahlinya juga bertatu, bertindik dan juga bergelang paku di tangan. Muzik yang diperjuangkan oleh kumpulan ini lebih kepada heavy metal sesuai dengan gaya penampilan pengikutnya.

Antara kumpulan yang membawa gaya Punk dalam seni muzik di Malaysia ialah Mallaria (Terengganu) dan Abazz The Karat (Kuala Lumpur).

Kumpulan-kumpulan muzik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh faktor fesyen dan budaya suatu ketika dahulu.

Anak muda sangat terdedah kepada arus pemodenan melalui media massa, pengaruh rakan sebaya dan faktor sekeliling.

Muzik-muzik yang pernah digemari oleh remaja khususnya di Malaysia banyak dipelopori daripada muzik rock negara Barat.

Semoga seni muzik tanah air akan terus berkembang sejajar dengan prinsip dan budaya di Malaysia.

Siti Hasmah Akashah adalah pelajar Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah yang meminati kesenian dan kebudayaan masyarakat Malaysia.

Foto kredit: Flickr

Share this Post: