Anda penggemar kopi putih atau lebih terkenal dipanggil white coffee? Apa itu kopi putih? Kopi putih secara ringkasnya adalah bancuhan kopi campuran yang ditambah krimer, selalunya susu isian sejat atau susu pekat manis yang menjadikan kopi tersebut berwarna dan berbuih putih dengan aroma dan rasa yang unik.
Sejarah terbitnya istilah kopi putih ini muncul pada awal abad ke-20 apabila pemilik rumah kopi Lian Thong di Ipoh, Perak telah memperkenalkan citarasa kopi yang lain dari rasa kopi yang lebih banyak dinikmati orang Inggeris. Orang Inggeris ketika itu lebih banyak menikmati kopi hitam, dan kopi yang dicipta di Ipoh ini dipanggil kopi putih kerana warnanya yang berbeza dengan kopi hitam.
Rasa kopi yang lazimnya dinikmati oleh orang Inggeris dahulu tidak begitu menepati citarasa tempatan terutama masyarakat Melayu dan Tiong Hua. Orang tempatan sudah terbiasa dengan kopi tradisional masyarakat Melayu yang lebih beraroma dan pekat berbanding kopi hitam ala Barat yang lebih berasid. Maka, resipi baharu dicipta, dengan biji kopi dipanggang tanpa menggunakan bahan lain seperti gandum atau gula, sebaliknya ditambah marjerin sawit agar lebih wangi dan bertekstur tanpa perlu dipanggang terlalu lama.
Cara biji kopi dipanggang dan disediakan inilah yang sebenarnya membezakan kopi putih dengan kopi hitam, dan ia mula digemari oleh orang tempatan. Kopi putih mula dihidang di kedai-kedai kopi berdekatan lombong bijih timah dan pekan-pekan utama, dan kedai-kedai ini dikenali sebagai kopitiam. Inilah juga sebabnya budaya kopitiam dan kopi putih ini paling banyak ditemui dan dikaitkan dengan Ipoh iaitu pusat ekonomi bijih timah antara terbesar waktu dahulu.
Ipoh kini turut dinamakan sebagai salah sebuah dari tiga bandar kopi dunia oleh Lonely Planet. Selain Ipoh, Pulau Pinang terutama Georgetown juga turut secara budayanya berkembang sebagai rumah kedua buat kopi putih selepas Ipoh, hasil kerancakan aktiviti ekonomi tempatan dan pelabuhannya sejak dahulu.
Hari ini, kopi putih kegemaran ramai ini boleh dinikmati di rumah tanpa perlu bersusah payah. Sejak beberapa dekad yang lalu, modenisasi dan gaya hidup yang serba pantas telah melahirkan kopi putih segera yang dijual dalam paket kecil dan hanya perlu ditambah ke dalam air panas. Rasanya mungkin tidak seasli kopi yang dibancuh di kopitiam, namun keenakkan rasa dan aromanya tidak kalah, dan mula menjadi trend baharu.
Di Pulau Pinang misalnya, kopi putih menjadi kegilaan ramai dengan kewujudan produk-produk baharu yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat tempatan seperti Penang White Coffee, White Coffee Papan keluaran syarikat Fajar Menyinsing, Penang Classic Best Coffee keluaran BertamBest, Georgetown White Coffee dan pelbagai jenama lagi. Kopi putih resipi Pulau Pinang ini dikatakan berbeza dari kopi putih yang berasaskan resipi dari Ipoh. Penang White Coffee misalnya begitu terkenal sehingga diangkat menjadi produk pelancongan Pulau Pinang.
Selain jenama yang dihasilkan di Pulau Pinang, kopi putih segera lain yang terkenal termasuklah Ipoh White Coffee, Ah Huat White Coffee, Agromas White Coffee dan banyak lagi. Malah, syarikat-syarikat permakanan yang terkemuka seperti Nestle, Power Root, malah Tesco dan rangkaian-rangkaian restoran dan kafe turut mengeluarkan kopi putih segera jenama sendiri untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
Keenakan kopi putih kini turut boleh dinikmati di luar negara. Budaya kopi putih kebetulan wujud di destinasi pelancongan terkemuka seperti Pulau Pinang dan Ipoh, menjadikan ramai pelancong asing berpeluang untuk berkenalan dengannya. Old Town White Coffee misalnya kini telah bertapak di Australia dan China, manakala Kopitiam, sebuah kafe citarasa Malaysia boleh ditemui East Broadway, New York. “Malaysian white coffee” kini turut menjadi menu di beberapa kedai kopi hipster di luar negara.
Kelebihan kopi putih ini ialah kafeinnya yang lebih sedikit dibandingkan dengan jenis kopi lain selain kelembutannya yang menyenangkan para penggemar kopi. Rasa sebegini berbeza dengan resipi bancuhan ala Barat seperti latte, flat white, mahupun cappucino yang berasaskan pekatan espresso dan susu segar.
Walaupun dalam musim PKP sekarang, tidak salah untuk sekali sekala berkunjung ke restoran atau kafe yang menyajikan kopi putih di kejiranan anda. Terlalu biasa? Apa kata jika anda berpeluang ke Ipoh, cuba kopi putih yang asli di kedai kopi Nam Heong atau Sin Yoon Long. Jika di George Town, boleh cuba kopi putih Toh Soon Café yang masih beroperasi di celah-celah lorong Lebuh Campbell.
Nikmatilah kopi putih keluaran kita, sokonglah jenama tempatan!
Hanafi Qasim Ahmad adalah seorang aktivis pendidikan asal Pulau Pinang
Foto ihsan Pinterest
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.