KISAH STEPHEN HAWKING

KISAH STEPHEN HAWKING

Jika disebut sahaja nama Stephen Hawking, pasti yang terlintas dalam fikiran adalah beliau seorang saintis dengan sumbangan yang besar dalam bidang fizik.

Lebih tepat lagi, Stephen Hawking merupakan saintis yang banyak menyumbang dalam bidang kosmologi.

Kosmologi merupakan satu disiplin sains yang mengkaji mengenai asal usul dan perkembangan alam semesta. Cabang sains ini sangat berkait rapat dengan bidang spesifik astronomi dan astrofizik.

Stephen Hawking dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, England. Beliau lahir dalam sebuah keluarga pemikir. Kedua-dua ibu bapanya merupakan graduan dari Universiti Oxford.

Mengikut jejak kedua ibu bapanya, beliau juga melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford pada tahun 1962. Pada mulanya Hawking berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang matematik, namun Universiti Oxford tidak menawarkan bidang pengajian tersebut.

Hawking memilih bidang lain yang baginya juga menarik iaitu bidang fizik, atau lebih spesifik, kosmologi. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Ph.D dalam bidang yang sama di Trinity Hall, Cambridge.

Ketika dalam tahun pertama pengajiannya di Cambridge iaitu pada tahun 1963, beliau mula merasakan perubahan pada kesihatan fizikalnya seperti terjatuh secara tiba-tiba dan masalah ketika bertutur.

Setelah melalui beberapa saringan perubatan, doktor mengesahkan beliau menghidapi penyakit ALS ( amyotrophic lateral sclerosis) atau juga dikenali sebagai Lou Gehrig's disease.

ALS adalah sejenis penyakit gangguan neurologi iaitu saraf di otak dan saraf tunjang yang mengawal pergerakan (neuron motor) berhenti berfungsi. Hal ini menyebabkan pesakit ALS hilang kawalan otot.

Pesakit dengan ALS akan mempunyai kesukaran bergerak, menelan, mengunyah dan bercakap. Kebanyakan individu yang menghidapi ALS hanya mampu bertahan sehingga dua ke tiga tahun sahaja.

Begitu jugalah yang diramalkan oleh doktor terhadap Hawking. Beliau dijangkakan dapat hidup dalam lingkungan 2 tahun sahaja.

Namun, itu tidak mematahkan semangat Hawking. Beliau menghabiskan pengajian Ph.D ketika berusia 24 tahun dengan tesis yang cemerlang.

Tesis kajian yang bertajuk “Properties of expanding universes” itu berkait dengan teori Albert Einstein iaitu General Theory of Relativity.

Tesis Stephen Hawking diberi akses secara terbuka pada Oktober 2017 menerusi portal Apollo University of Cambridge. Lebih mengujakan, tesis tersebut telah dimuat turun sebanyak 60,000 kali hanya dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Antara pencapaian awal Hawking adalah beliau berjaya membuktikan bahawa waktu mempunyai titik mula, iaitu satu teori yang kita panggil teori big bang.

Teori ini menyatakan asal usul alam semesta bermula dengan satu titik dipanggil singulariti yang mengembang selepas letupan besar dan membentuk alam semesta yang kita lihat hari ini. Ini bermakna ruang dan masa itu sendiri berkembang kerana alam semesta ini merupakan manifestasi gabungan ruang dan masa. 

Dari sudut fizik dan kosmologi, usia alam semesta didefinisikan sebagai masa yang bermula selepas letupan besar itu berlaku. Dalam kajian terkini, usia alam semesta dianggarkan kira-kira 13.8 bilion tahun.

Selain itu, sumbangan Hawking dalam bidang kosmologi tidak terhad kepada teori big bang sahaja. Beliau juga mengembangkan ilmu fizik tentang black holes.

Black holes adalah suatu ruangan yang mempunyai titik singulariti di dalamnya. Black holes mempunyai tarikan graviti yang sangat kuat sehingga apa-apa objek termasuk cahaya pun tidak boleh terlepas apabila memasukinya.

Menurut General Theory of Relativity yang dirumuskan oleh Albert Einstein, masa akan menjadi semakin perlahan apabila kita berada di tempat yang mempunyai graviti tinggi.

Ini bermakna, jika kita menghampiri black holes, masa akan menjadi semakin perlahan. Manakala jika kita memasuki black hole masa akan terus terhenti.

Menurut Hawking, adalah mustahil untuk masa berundur (travel backward) berdasarkan The Laws of Physics.

Pada tahun 1968, Stephen Hawking menjadi ahli Institute of Astronomy di Cambridge. Pada tahun 1974, beliau dipilih untuk menyertai Royal Society. Beliau menjadi Professor of Gravitational Physics di Cambridge pada tahun 1977, dan pada tahun 1979 beliau dilantik sebagai Cambridge’s Lucasian Professorship of Mathematics, jawatan sama yang pernah disandang oleh Isaac Newton.

Stephen Hawking juga menulis beberapa naskhah buku. Nama beliau melonjak ke peringkat antarabangsa pada tahun 1988 dengan penerbitan sebuah buku yang bertajuk A Brief History of Time.

Secara ringkasnya, buku ini menceritakan dan memberi gambaran mengenai ruang dan masa, kewujudan Tuhan dan masa depan. Ringkas, berinformasi dan mudah difahami bagi semua golongan masyarakat sama ada yang mempunyai latar belakang sains mahupun tidak.

Buku itu telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan menjadi best seller sepanjang 4 tahun berturut-turut. Sejak diterbitkan, buku tersebut telah terjual berjuta-juta salinan di seluruh dunia dan diterjemahkan ke lebih 40 bahasa.

Keadaan kesihatannya yang semakin merosot akibat ALS menyebabkan beliau terpaksa berkomunikasi dengan hanya menggunakan otot pipi.

Dengan menggunakan teknologi yang dapat mengesan pergerakan pipi ini, algoritma pembelajaran mesin menterjemahkannya menjadi bunyi.

14 Mac 2018, Stephen Hawking disahkan meninggal dunia di Cambridge, England akibat penyakit ALS yang dideritainya lebih 50 tahun yang lalu.

Di akhir hayatnya, 10 hari sebelum beliau meninggal, beliau sempat menghantar sebuah kertas kajian bertajuk "A smooth exit from eternal inflation?" ke Journal of High Energy Physics dan telah berjaya diterbitkan pada 2 Mei, tahun yang sama.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.biography.com/scientist/stephen-hawking

https://www.space.com/stephen-hawking-thesis-guide

https://www.mentalfloss.com/article/25024/5-things-you-didnt-know-about-stephen-hawking

Kredit foto: reddit.com

Share this Post: