Kibaran Warna-warna Palestin dan Arab

Kibaran Warna-warna Palestin dan Arab

Sekali imbas jika dilihat bendera-bendera negara Palestin, Jordan dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) memang seakan mirip. Mengapa agaknya bendera-bendera mereka agak identik? Ia juga menggunakan warna-warna yang sama yakni merah, hitam, hijau dan putih. Malah semuanya sama berjalur tiga. 

Malah bukan sekadar itu, kebanyakan negara-negara Arab lain juga seperti Mesir, Iraq, Kuwait, Libya, Syria, Yemen, Oman juga turut menggunakan reka bentuk dan warna bendera yang hampir sama. Walau adakala ada sedikit perbezaan seperti bendera Mesir yang tiada warna hijau dan bendera Oman yang tanpa warna hitam.

Iya, kita tahu bahawa bendera bukan sahaja lambang pengenalan kepada sesuatu negara. Ia juga adalah panji-panji dan simbol patriotik yang menjadi kebanggaan sesebuah negara, negeri malah sesebuah organisasi. Ia juga mempunyai makna tersirat yang menceritakan maksud, perjuangan, ideologi, sejarah dan berbagai perkara lagi.

Bagi membincangkan perkara ini, usah pergi jauh dahulu. Lihat sahaja bendera negeri Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan, walaupun ianya tidak identikal dari segi rekaan namun warna-warna bendera tersebut adalah dari varian warna kuning, putih, hitam ataupun merah. Ia menyimpan erti sejarah tentang warna-warna bendera Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Bendera Malaysia, Singapura dan Indonesia pula menggunakan warna putih merah sebagai asas. Walau ada yang secara sinikal mengatakan warna-warna bendera Malaysia menyerupai warna ‘Union Jack’, ‘The Stars and Stripes’ ataupun bendera Syarikat Hindia Timur British, namun sebenarnya jalur merah dan putih itu adalah panji-panji pusaka Getah-Getih Samudera yang menjadi lambang Majapahit dan kemudian menjadi lambang nusantara.

Getah itu putih, getih (darah) itu merah – itulah maksudnya. Syarikat Hindia Timur British juga menggunakan jalur getah-getih itu sebagai lambang mereka kerana mereka beroperasi di Nusantara.

Berbalik kepada perbincangan asal, warna merah, hitam, hijau dan putih sebenarnya adalah warna panji-panji Arab Revolt – bukan Revolusi Musim Semi Arab (Arab Spring) ya – yang menandakan kebangkitan dunia dan masyarakat Arab menentang pemerintahan Uthmaniah sekitar Perang Dunia Pertama dahulu.

Walaupun cita-cita asal Arab Revolt yang mahu menubuhkan sebuah negara arab bersatu terbentang dari Aleppo (utara Syria) sehingga meliputi seluruh Semenanjung Arab gagal, namun cita-cita untuk memerdekakan tanah Arab daripada cengkaman Uthmaniah yang di hujung usianya berjaya.

Sebelum kejatuhan Uthmaniah, melalui petunjuk sejarah dapat kita lihat kerajaan tersebut berubah menjadi inklusif dan bersifat nasionalisme Turki. Ini mengenepikan suara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parlimen Arab. Malah pergulatan dalaman di Turki diantara Uthmaniah dan Turki Muda juga kian meruncing. Uthmaniah juga telah dilanda dan terbeban dengan pelbagai masalah.

Kebangkitan Arab bermula daripada Wilayah Hijaz iaitu tempat letaknya dua tanah suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah. Ia dipimpin oleh pemimpin Hjaz iaitu Syarif Hussein dari Bani Hasyim (keturunan Nabi S.A.W.). Syarif Hussein dibantu oleh tiga anak lelakinya iaitu Faisal, Abdullah dan Ali.

Sharif Hussein telah mengadakan perjanjian dengan Sir Henry McMahon iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir. Malah McMahon dan British menyokong perjuangan Sharif Hussein. Di pihak British, perjanjian ini sangat strategik secara geopolitik kerana mereka tatkala itu (menjelang dan sekitar tahun-tahun Perang Dunia Pertama) terlibat secara langsung dengan perang menentang Kuasa Paksi (atau Kuasa Tengah). 

British adalah sebahagian daripada Pihak Bersekutu yang menentang Kuasa Paksi yang turut dianggotai oleh Uthmaniah. Ini juga sangat penting buat British bagi mempengaruhi sebahagian tenteranya yang berasal dari India (tatkala itu termasuklah Pakistan dan Bangladesh) kerana ramai dari mereka yang beragama Islam. Perjanjian ini mengisyaratkan bahawa orang Arab dan penjaga kota dua suci sendiri sudah tidak memihak kepada Uthmaniah.

Namun hasrat Syarif Hussein gagal malah dicurangi kerana terlalu mempercayai pihak British. Setelah kejatuhan Uthmaniah, tanah-tanah Arab yang dahulunya dikuasai empayar tersebut terbahagi-bahagi menjadi kecil dan dimandatkan kepada British dan Perancis. 

Wilayah Hejaz pula yang menjadi tempat asal Syarif Hussein telah terlepas tangan kepada Bani Saud lalu tertubuhlah Arab Saudi. Yang memedihkan, British turut menyebelahi penubuhan negara Arab Saudi tersebut. Namun ada yang lebih menyedihkan, British melalui Deklarasi Balfour telah menyatakan secara terbuka untuk menubuhkan sebuah Negara Yahudi (Jewish State) Zionis di Palestine.

Keturunan Syarif Hussein iaitu Faisal menjadi Raja di Iraq namun cucunya Faisal II telah disingkirkan dan sistem monarki di Iraq dimansuhkan. Abdullah pula menjadi Raja di Jordan dan keturunannya kekal ke hari ini menjadi pemerintah Jordan.

Sebenarnya setelah kejatuhan Uthmaniah, Sharif Hussein dikatakan sempat diangkat sebagai Khalifah umat Islam namun ini menjadi satu perdebatan yang hangat malah baginda sendiri tidak pernah menggunakan gelaran Khalifah sebaliknya kekal dengan gelaran Sharif. Jawatan Sharif lalu diwarisi oleh anaknya Ali namun telah disingkirkan oleh Ibnu Saud kemudiannya.

Begitulah serba sedikit kisah Arab Revolt dan panji-panji serta warna yang digunakan sebagai lambang perjuangannya. Warna panji-panji Arab Revolt ini sebenarnya dikenali sebagai warna Pan-Arab yang melambangkan warna panji-panji dinasti dan kekhalifahan Arab Islam di masa lalu.

Merah melambangkan dinasti Bani Hasyim (Hashimiah). Warna putih melambangkan pemerintahan Umayyah. Warna Hitam lambang Abbasiah dan hijau ialah Fatimiah. Walaupun cita-cita Arab Revolt tidak tercapai sepenuhnya, namun warnanya diabadikan dalam banyak bendera yang negara-negara Arab.

Warna-warna perjuangan Arab inilah yang mengalir dalam darah dan jiwa setiap rakyat Palestin. Moga ia juga terus mengalir dalam darah dan jiwa setiap manusia yang tertindas supaya bangkit berjuang menentang kezaliman, ketidakadilan dan penindasan.

Bak kata-kata penyair Arab terkenal iaitu Safi al-Din al-Hilli: Putih ialah tindakan-tindakan kita, hitam ialah pertempuran-pertempuran kita, hijau ialah padang-padang datar kita, merah ialah pedang-pedang kita.

Kibaran warna putih, hitam, hijau dan merah tidak akan mati malah akan terus kekal abadi.

I rest my case

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Ali Jadallah / Anadolu Agency

Share this Post: