KEYNESIAN UNTUK PEMULA

KEYNESIAN UNTUK PEMULA

Teori dan terma merupakan suatu elemen yang tidak dapat dihindari jika anda mendalami ilmu ekonomi.

Suka atau tidak, ini merupakan suatu rukun yang wajib dihadam oleh para pelajar ekonomi. Terdapat pelbagai teori asas ekonomi seperti Classical yang diasaskan Adam Smith yang kemudian dikembangkan oleh David Ricardo, teori Keynesian yang diasaskan John Maynard Keynes mahupun teori Monetarist yang diasaskan Milton Friedman.

Sebagai seorang pemula dalam ilmu ekonomi, suka atau tidak anda perlu mendalami teori asas Keynesian sebagai batu asas untuk membina rangka pengetahuan sebelum berkembang ke teori-teori yang lebih moden seperti teori Nordic. 

Oleh itu, jika anda merupakan seorang pemula yang ingin berkecimpung dalam ilmu ekonomi, maka artikel ini ditulis untuk anda.

Sebelum kita mula menelaah tentang isi-isi penting yang terdapat di dalam teori Keynesian, penting untuk kita tahu bagaimana teori ini lahir dan apakah relevansi teori ini jika dibandingkan dengan teori sebelumnya iaitu teori Classical.

Seperti yang kita bincangkan sebentar tadi, teori Keynesian dilahirkan oleh seorang pakar ekonomi terkenal dari Britain iaitu John Maynard Keynes. Hampir semua teori-teori hebat datang dari bentuk seni buku. 

Hal ini juga sama seperti teori Keynesian yang mula diperkenalkan oleh John Keynes melalui penulisan beliau iaitu General Theory of Employment, Interest and Money pada tahun 1935. 

Karya ini dihasilkan dengan hasrat untuk membawa idea baru, lantas menggantikan idea Classical melalui karya David Ricardo iaitu Principle of Political Economy and Taxation yang nyata tidak relevan pada zaman itu. 

Penting untuk kita tahu bahawa garis masa yang dibincangkan adalah antara tempoh The Great Depression iaitu antara tahun 1930-an.

The Great Depression merupakan suatu jangka masa yang sukar buat seluruh rakyat di dunia kerana kadar inflasi yang tinggi ditambah pula kadar pengangguran yang semakin membimbangkan.

Terma ini juga sering dikenali sebagai stagflasi. Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada peristiwa ini iaitu kejatuhan pasaran stok di seluruh dunia, polisi kerajaan yang lemah, kelemahan sistem penawaran wang dan beberapa lagi faktor lain.

Menurut teori Classical, ianya suatu kebiasaan untuk pasaran ekonomi naik dan jatuh dalam sesuatu tempoh masa dan penting untuk kerajaan tidak campur tangan dalam hal tersebut. Namun, idea yang dibawa oleh David Ricardo ini dikatakan relevan dalam jangka masa yang panjang tetapi masa tidak berpihak pada negara-negara pada waktu itu.

Negara-negara ini terdesak untuk memulihkan keadaan yang semakin hari semakin buruk, tambahan dengan desakan oleh rakyat yang tidak mampu lagi untuk bertahan. 

Oleh itu, John Keynes membawa idea baru yang akan menjadi suatu solusi pada tempoh waktu tersebut.

Seterusnya, kita akan membincangkan idea utama yang dibawa oleh Keynes yang berlainan berbanding teori lain. 

Berdasarkan teori Keynesian, mereka percaya bahawa penting untuk ada campur tangan kerajaan dalam membetulkan pasaran ekonomi. Mereka percaya bahawa kerajaan perlu intervansi jika berlaku apa-apa kegagalan dalam sistem ekonomi dengan kadar segera. Hal ini tidak bermakna bahawa Keynes tidak percaya akan konsep kitaran pasaran tetapi Keynes menegaskan penting untuk menyelesaikan masalah ekonomi dengan kadar yang segera.  

Idea ini jelas agak bercanggah dengan idea Classical yang percaya pada laissez-fairre, iaitu konsep pasaran bebas dengan tanpa campur tangan dari pihak kerajaan. Teori Keynesian percaya bahawa intervensi kerajaan dengan polisi-polisi ekonomi yang utuh mampu menjadi sumber penyelesaian terhadap masalah ekonomi. 

Idea signifikan lain yang dibawa oleh Keynes ialah mengakui kepentingan agregat permintaan dalam sistem ekonomi. Maksudnya, Keynes mengenal pasti bahawa agregat permintaan merupakan antara faktor yang memberi kesan kepada pasaran. 

Sebagai contoh, perangai manusia dan sikap mereka akan memberi kesan kepada turun naik pasaran ekonomi. Oleh sebab itu, jika anda amati dengan teliti, terdapat elemen simpanan (savings) di dalam teori Keynesian tetapi tidak ada dalam teori Classical. 

Hal ini bercanggah dengan idea Classical yang hanya bergantung kepada aspek penawaran.  Mereka percaya bahawa ekonomi dan tahap pekerjaan sentiasa berada di paras optimum.

Hal ini disabitkan dengan dalil yang agak terkenal iaitu Say’s Law. Classical tidak mengambil kira aspek permintaan dalam membuat sesuatu keputusan ekonomi. Keynes yakin bahawa ekonomi akan turun dan naik bergantung kepada agregat permintaan,

Oleh itu, penting untuk kerajaan menjalankan tugasnya dalam membetulkan ekonomi melalui polisi fiskal  mahupun polisi monetari. Polisi fiskal melibatkan elemen perbelanjaan kerajaan dan cukai, manakala polisi monetari melibatkan elemen aliran wang.

Berdasarkan karya beliau iaitu General Theory of Employment, Interest and Money, Keynes acap kali menentang idea yang dibawa oleh para Classical dan kerajaan Britain pada ketika itu. 

Pada tempoh masa The Great Depression, kerajaan British telah mengeluarkan banyak dana untuk tujuan kebajikan dan dalam masa yang sama meningkatkan taraf cukai rakyat di Britain. 

Kerajaan Britain yang pada ketika itu dipengaruhi oleh idea Classical percaya bahawa perbelanjaan kerajaan perlu seimbang dengan pendapatan kerajaan walau apa cara sekalipun. Tiada istilah bajet defisit atau bajet lebihan bagi mereka. 

Dengan permulaan zaman kegemilangan teori Keynes selepas The Great Depression, praktikaliti teori Classical semakin pudar dalam kalangan negara-negara di dunia. 

Selang beberapa dekad kemudian, teori Keynes pula mendapat tentangan apabila beberapa idea Keynes sudah tidak tepat dengan data-data yang diperoleh di seluruh dunia. Mula wujud teori Monetarist dari Milton Friedman, dan fahaman Austrian bagi mengkritik idea-idea yang dibawa oleh pengikut Keynes.

Persoalan yang sering diajukan oleh pemula Ekonomi ialah, “Teori mana yang terbaik dan apakah teori yang digunakan negara-negara pada zaman ini?”

Hamirul Akbar merupakan seorang yang suka tidur dengan harapan inspirasi untuk penulisannya akan muncul dari dalam ruang mimpi. Memegang kata-kata filsuf Voltaire, “Providence has given us hope and sleep as a compensation for the many cares of life”.

Share this Post: