India bukan sahaja terkenal dengan keunikan budaya, agama, bahasa yang pelbagai, pelancongan dan industri perfilemannya yang kedua terbesar di dunia, malah negara kedua tertinggi dengan kepadatan penduduk ini juga terkenal dengan makanan jalanan yang unik, enak dan tersendiri.
Menurut Food and Agriculture Organization (FAO), makanan jalanan bermaksud makanan dan minuman yang telah sedia untuk dimakan yang dijual dan disediakan oleh vendor atau penjaja di jalan atau di tempat-tempat awam.
Menurut data, kira-kira 2.5 bilion orang membeli dan makan makanan jalanan setiap hari. Hal ini menyumbang kepada ekonomi golongan berpendapatan rendah ke sederhana.
Antara sebab kenapa ramai memilih membeli makanan jalanan adalah lokasi yang mudah diakses untuk membeli makanan, harga yang lebih murah berbanding makanan yang dijual di restoran. Makanan jalanan ini dimasak dan disediakan di hadapan pelanggan malah terdapat makanan yang sukar dijumpai di restoran boleh didapati dengan mudah di jalanan.
Tahukah anda, India merupakan antara negara penghasil rempah-ratus terbesar di dunia? Pada tahun 2017, India berada pada tempat pertama dengan menghasilkan sebanyak 1,939,000 tan rempah mendahului negara-negara lain seperti Turki, Bangladesh, China, Indonesia dan Pakistan.
Maka tidak hairanlah makanan-makanan India kebanyakannya berasaskan rempah-ratus. Inilah rahsia aroma masakan India yang harum menggoda. Rasa masakannya pula sememangnya kaya dengan rasa rempah.
Antara rempah yang paling terkenal dan paling wajib digunakan dalam masakan India adalah buah pelaga, cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pala, jintan, halba, lada hitam dan ketumbar.
Makanan jalanan termasuklah pelbagai jenis makanan yang tersedia untuk orang ramai dalam bentuk daging, sayur-sayuran, ayam, produk keju dan lain-lain lagi.
Antara makanan jalanan India yang popular termasuklah pani puri, kebab, samosa, vadai, ayam tandoori, paratha, aloo tikki, kathi roll, idli sambhar dan banyak lagi.
Kebab, samosa, vadai, ayam tandoori dan paratha yang disebutkan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Di Malaysia juga makanan-makanan ini boleh didapati dengan mudah terutamanya di kedai mamak.
Pani puri atau juga dipanggil gol gappa, sebenarnya agak popular di Malaysia terutamanya bagi masyarakat India. Pani puri diperbuat daripada sejenis roti kembung yang dibuat lubang di atasnya dan kemudian diisi dengan kentang masala dan kuah yang dipanggil pani.
Aloo tikki adalah lempeng kentang dengan rempah-ratus dan herba manakala kathi roll adalah roti paratha yang digulung dengan inti ayam, daging, kentang dan sayur. Idli sambhar pula merupakan idli iaitu kek yang dikukus lembut dihidangkan bersama sambhar, kuah rebusan kacang dhal.
Di sebalik keenakan dan keunikan makanan jalanan India, pasti ramai yang bimbang akan kebersihan dalam penyediaannya. Dan tentu sekali, kebimbangan ini berasas.
Jika anda pernah menonton video makanan jalanan ini di medsos, mungkin anda tidak selesa kerana keadaan tempat yang kotor dan tidak bersih. Di India, penyediaan makanan dengan memakai sarung tangan adalah sangat jarang. Boleh dikatakan semua penjaja makanan jalanan tidak memakai sarung tangan apabila memegang dan menyediakan makanan pelanggan. Tambahan lagi, tangan yang sama menyediakan makanan untuk pelanggan, digunakan juga untuk mengambil duit dan menyentuh barang-barang lain di gerai mereka.
Selain itu, makanan yang perlu dialas pula kebiasaannya hanya dialas dengan kertas surat lama yang dikitar semula. Kebersihan sumber air bagi menyediakan sesetengah jenis makanan jalanan juga diragui.
Kebersihan dalam penyediaan makanan sangat penting. Jika tidak, bakteria seperti E.coli, salmonella, staphylococcus aureus dan pseudomonas, adalah punca utama yang menyebabkan seseorang mengalami keracunan makanan, cirit-birit, muntah, kepialu dan jangkitan saluran kencing.
Jika anda penggemar makanan India, usah risau, di Malaysia juga masih boleh didapati beberapa jenis makanan jalanan yang popular di India. Pelbagai makanan serta minuman kaum India yang begitu enak dan unik boleh anda nikmati tanpa perlu terbang jauh hingga ke benua India.
Namun, jika anda berpeluang untuk berkunjung ke negara ke-7 terbesar di dunia ini, dan mahu mencuba makanan jalanan di sini, langkah-langkah keselamatan perlu diambil kira.
Beli makanan yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan terlebih dahulu. Gerai yang menjadi tumpuan dan pilihan orang ramai adalah penunjuk yang bagus bahawa gerai tersebut menjual makanan yang baik.
Bawa bekas sendiri untuk diisi makanan, elakkan minum air paip termasuklah minuman yang ditambah dengan ais ketul kerana ais ini dibuat menggunakan air paip.
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.
Rujukan:
https://bmcpublichealth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12889-019-7475-9
https://www.kamusdata.com/daftar-20-negara-penghasil-rempah-rempah-terbesar-di-dunia-2/
https://edition.cnn.com/travel/article/india-street-food-safety-tips-intl-hnk/index.html
Kredit foto: hindustantimes.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.