Kesedaran Selepas Mati

Kesedaran Selepas Mati

“Everybody dies. It’s the one thing human beings can be relied upon to do. How can it still come as a surprise to people?” - Mycroft Holmes, Sherlock, BBC.

Mati dan kematian; perkara yang pasti dan hakiki selain daripada kelahiran dan perubahan. Tetapi, kita masih tidak terelak untuk berasa terkejut apabila diberitakan bahawa seseorang itu telah pun pergi meninggalkan dunia. Kita juga tidak terelak dari sentiasa menilik apa rasanya untuk mati.

Perkara lain, dan soal besar yang sering menjadi persoalan kepada umat manusia ialah apa yang berlaku selepas mati? Adakah alam selepas mati itu wujud? Adakah kita menyedari yang kita telah mati?

Jika dilihat daripada sudut agama, hampir semua agama di dunia menegaskan terdapat kehidupan selepas mati. Ada yang dalam bentuk akhirat dengan syurga dan neraka, ada juga yang dalam bentuk reinkarnasi, kelahiran semula ke dunia. 

Kebanyakannya, menceritakan selepas mati setiap manusia akan dihakimi berkenaan setiap kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh mereka semasa mereka masih hidup. Dosa, pahala, karma, dan sebagainya.

Begitu kematian sering menjadi persoalan terkait kehidupan, agama, dan falsafah - persoalan tentang apa selepas mati ini turut sering menjadi tanda tanya kepada para saintis, adakah kita sebagai manusia menyedari bahawa kita sedang mati? Apa yang dialami ketika kematian? 

Saintis selalunya akan menggantung persoalan tentang mati ini dengan kesedaran, atau consciousness. Adakah kesedaran itu bertahan selepas seseorang itu disahkan mati, atau adakah kesedaran itu yang akan melalui apa yang dikatakan alam selepas mati? 

Kalau semata mengikut sains dan objektivitinya, kematian dalam kalangan manusia  didefinisikan berlaku setelah jantung seseorang itu mula berhenti dan andai kematian itu sudah berlaku ia akan terus kekal. Jantung tersebut tidak akan berdetak kembali, dan itulah kematian.

Namun sains adalah disiplin yang sentiasa berubah, sentiasa progres, sentiasa meneroka. Seiring dengan kemajuan sains, saintis mula mengkaji dan mendefinisikan semula apakah yang ditakrifkan sebagai mati. 

Kemajuan yang dicapai oleh sains lewat dekad ini telah membuatkan saintis mula menyedari walaupun degupan jantung sudah terhenti, kematian sel-sel di dalam badan hanya akan bermula selepas itu.

Walaupun dahulu ramai beranggapan bahawa seseorang itu hanya mempunyai beberapa minit sebelum otak mula kekurangan oksigen dan mula untuk mati, ternyata ini merupakan andaian yang salah.

Sains berupaya menemui bahawa otak dan sel-sel tubuh dalam badan manusia mampu bertahan selama beberapa jam malah beberapa hari sebelum sel-sel tersebut rosak sepenuhnya.

Yang merosak dan membuatkan sel-sel ini gagal berfungsi ialah, apabila oksigen mula disalurkan semula selepas jantung berhenti, yang mana akan memulihkan sel-sel ini semula, namun pada masa yang sama mempercepatkan kematian sel-sel tersebut.

Ini merupakan perkara yang sedang cuba untuk dihentikan oleh sains perubatan untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Mungkin bukan dengan tujuan menghidupkan yang telah mati, lebih kepada menyelamatkan nyawa yang masih belum habis peluang. 

Pengalaman ‘Merasai Mati’

Begitu pun di satu sudut, sains cuba untuk mencari jawapan kepada persoalan kematian ini, masyarakat juga tidak pernah sunyi dengan kisah-kisah yang menakjubkan. Berdasarkan beberapa laporan mereka yang pernah melalui pengalaman ini, mereka mengatakan mereka dapat melihat doktor dan jururawat yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Ada juga yang mengatakan mereka merasakan perasaan yang mereka sudah pun mati.

Kemudian, mereka mula melihat semula ‘kisah’ hidup mereka sejak dari dilahirkan.

Satu perkara yang menarik mengenai pengalaman ini adalah mereka melihat semula perjalanan mereka daripada perspektif orang lain, walaupun mereka yang sedang melalui semula kisah hidup mereka.

Malah, mereka yang melaluinya mula menghakimi setiap perlakuan yang mereka lakukan, dan menilai kehidupan mereka bukan berdasarkan apa yang orang lain mahukan, tetapi melalui apa yang mereka yang inginkan.

Selain itu, mereka juga mula merasakan segala akibat yang telah mereka lakukan terhadap seseorang. Andai mereka menyakiti seseorang semasa hidup mereka, perasaan yang sama juga akan dirasai oleh mereka ketika pengalaman itu sedang berlaku.

Hal ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan saintis yang mungkin ‘kesedaran’ seseorang itu bukan datangnya daripada otak, sebaliknya otak hanyalah perantara atau medium yang menyalurkan kesedaran. Kesedaran mungkin berasal daripada ‘realiti’ yang tidak mampu digapai oleh otak.

Jadi, berbalik kepada persoalan asal, adakah ‘kesedaran’ yang masih menjadi tanda tanya ini merupakan bukti kewujudan alam selepas mati? Mungkin hanya masa yang akan menentukan sama ada sains dapat membuktikannya atau ia akan terus menjadi misteri kepada yang masih hidup.

Akhir kalam, sayangilah hidup anda. Kematian bukanlah suatu pengakhiran, sekurang-kurangnya untuk mereka yang masih menyayangi dan menghargai hidup kita. 

“Taking your own life. Interesting expression, taking it from who? Once it’s over, it’s not you who’ll miss it. Your own death is something that happens to everybody else. Your life is not your own. Keep your hands off it.” - Sherlock Holmes, Sherlock, BBC.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto hiasan ehsan Oska, sumber New Scientist

Share this Post: