Siling kaca secara umumnya adalah metafora yang digunakan untuk mewakili penghalang yang tidak dapat dilihat yang menghalang kumpulan minoriti daripada mencapai tahap peningkatan di dalam sesebuah sistem organisasi. Bidang psikologi sosial pula mendefinisikan siling kaca sebagai penghalang bagi wanita untuk memegang jawatan tinggi di dalam organisasi di atas faktor stereotaip jantina.
Stereotaip jantina menerupakan pemikiran atau kepercayaan yang diwujudkan terhadap kelompok sosial yang dinilai iaitu wanita. Stereotaip ini dapat dikesan melalui pemikiran seseorang terhadap pekerjaan, sikap dan perwatakan mahupun ciri-ciri peribadi wanita.
Siling kaca memberi kesan kepada sesuatu tindakan dibuat walaupun tiada undang-undang khusus yang diwujudkan bagi situasi tersebut. Sebagai contoh, tiada undang-undang yang termaktub mengatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin di dalam sesebuah syarikat, namun perkara tersebut tetap berlaku kerana wujudnya pemikiran dan kepercayaan oleh hampir setiap individu terhadap kebolehan wanita untuk menjadi pemimpin meskipun individu wanita tersebut mempunyai kelayakan.
Kebolehan seorang wanita dalam kepimpinan tidak seharusnya menjadi keraguan dengan kemunculan beberapa tokoh wanita yang telah membawa kejayaan dalam kepimpinannya. Terdapat kajian membuktikan bahawa keberkesanan kepimpinan oleh pemimpin seperti Angela Merkel dari Jerman, Mette Frederiksen dari Denmark, Jacinda Ardern dari New Zealand, Sanna Marin dari Finland dan Tsai Ing-wen dari Taiwan adalah berdasarkan sifat kewanitaannya dan ketangkasan dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Sebagai contoh, kepimpinan Jacinda Ardern selaku Perdana Menteri New Zealand yang telah membawa kejayaan dalam memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 sehingga tiada kes baru dilaporkan telah membuktikan bahawa kejayaan tetap boleh dicapai meskipun dibawah kepimpinan seorang wanita. Tindakan pantas Jacinda Ardern dalam melaksanakan perintah berkurung lebih awal sebelum keadaan negara menjadi tidak terkawal telah membuahkan hasil untuk memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 di negara itu. Kepantasan Jacinda Ardern telah dipuji dan menjadi teladan oleh pemimpin negara lain dalam usaha menangani pandemik yang telah melanda dunia.
Selain itu, Jacinda Ardern juga telah berjaya menangani masalah keganasan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand dengan baik pada 15 Mac 2019 yang lalu. Keganasan tembakan secara rawak itu telah meragut lebih 50 nyawa termasuklah seorang warga Malaysia. Tindakan Jacinda Ardern yang berdasarkan sifat penyayang seorang wanita telah memujuk hati ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Tindakan Jacinda untuk memberi bantuan kepada keluarga yang terlibat bukan saja menyentuh perasaan ahli keluarga tersebut, malah seluruh masyarakat di seluruh dunia. Jacinda juga telah turun padang untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa dan memberi semangat serta melihat sendiri keadaan mereka pada waktu itu. Beliau telah membuka minda seluruh masyarakat bahawa tiada jurang antara umat Islam dan bukan Islam apabila melibatkan sesuatu hal kemanusiaan.
Tindakan yang berdasarkan sifat penyayang dan kelembutan seorang wanita sering kali disusuli dengan tindakan yang tegas dan bermakna. Jacinda mengambil tindakan untuk mengharamkan penggunaan senjata separa automatik dan senapang di dalam negara itu. Rakyat di New Zealand tidak dapat membeli senjata tanpa keizinan daripada pihak polis bagi mengelakkan keganasan yang sama berlaku kelak.
Keputusan tegas dari Jacinda ini tidak mendatangkan beban terhadap rakyat, malah mereka berasa Jacinda telah membuat keputusan yang betul untuk kesejahteraan seluruh rakyat New Zealand. Kepimpinan Jacinda yang dipenuhi dengan kasih sayang serta ketegasan dan ketangkasan telah memberi impak yang positif dan membuktikan bahawa wanita juga boleh memimpin. Tindakan dan impak yang berbeza mungkin berlaku sekiranya hal ini dikendalikan oleh pemimpin lelaki.
Terdapat banyak kejayaan wanita sebagai pemimpin, namun kita sendiri meletakkan batas tersebut kerana kita telah mempunyai corak pemikiran bahawa mustahil untuk sesebuah organisasi berkembang maju di bawah pimpinan wanita. Kejayaan tokoh-tokoh wanita sebagai pemimpin telah menjadi bukti bahawa pemikiran tersebut adalah salah dan tidak rasional. Sekiranya para wanita yang berkelayakan lebih banyak diberi peluang untuk memimpin, berkemungkinan kejayaan yang berbeza dapat dilihat dalam sesebuah organisasi di negara kita.
Justeru, pemikiran dan keyakinan bahawa wanita tidak boleh memegang jawatan yang tinggi tidak seharusnya bercorak di dalam minda masyarakat kini. Setiap individu yang berkebolehan serta layak hendaklah diberi pengiktirafan dan peluang yang sama rata untuk memimpin. Kita hendaklah memecah siling kaca yang tidak terlihat ini dan memberi peluang untuk wanita memimpin mengikut kelayakkannya agar impian yang dilihat selama ini akhirnya boleh dicapai oleh para wanita yang sememangnya mempunyai kebolehan yang terpaksa dipendam.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto hiasan ihsan wildpixel/Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.