Begini, bagi saya masih ramai antara kita rakyat Malaysia yang sudah terbiasa dengan teori politik usang tentang kerajaan yang kuat. Kerajaan yang kuat itu apa?
Kerajaan yang kuat itu memang punya banyak tafsiran. Namun fokus yang ingin saya bawa dalam perbincangan kita ialah tentang kerajaan yang mempunyai majoriti selesa di Dewan Rakyat. Jika mendapat dua pertiga, maka itu lebih kuat dan selesa. Itu maksud saya.
Jika kelebihan kerusi di dewan itu agak tipis, maka itu agak membimbangkan. Kerajaan dikatakan tidak stabil. Suasana politik kononnya kacau.
Saya tidak tahu sama ada teori ini benar atau tidak? Tetapi saya langsung tidak bersetuju dengannya. Ini kepercayaan karut yang tidak seharusnya wujud dalam sistem demokrasi.
Bagi seseorang yang lahir pada tahun 1980-an, saya sememangnya sudah terbiasa dengan teori kerajaan kuat sehinggalah penghujung tahun 2008. Ketika itulah saya mula sering terdengar teori kerajaan yang kuat ditagih bagi sebuah sistem politik yang utuh.
Dalam suasana politik terkini juga, teori kerajaan kuat giat berkumandang kerana tipisnya majoriti di pihak parti pemerintah. Tetapi sefaham saya sifat sistem demokrasi tidak begitu.
Sistem demokrasi secara lahiriah sememangnya sebuah sistem untuk menjadikan kerajaan pemerintah tidak terlalu berkuasa dari segenap sudut. Kerana mantiknya mudah – “Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely” – izinkan saya meminjam kata-kata dari tulisan Lord Acton.
Malah sistem demokrasi sendiri sememangnya membolehkan situasi kerajaan untuk cuma memenangi kerusi dengan perbezaan yang tipis. Jadi apa masalahnya?
Teori kerajaan yang kuat itu bagi saya cuma terlahir dari minda seorang autoritarian. Kerana suasana politik yang stabil dan utuh sepatutnya terlahir daripada polisi atau dasar yang kuat.
Politik yang stabil juga seharusnya terlahir daripada tataurus yang baik serta pelaksanaan yang berkesan. Oleh itu pada hari ini dapat kita lihat, kerajaan yang tidak kuat dan tipis telah melahirkan polisi yang adil buat oposisi. Pembahagian peruntukan yang lebih saksama dan sebagainya.
Namun ia masih terhad di situ, masih terhad dalam dunia politik. Polisi atau dasar serta tataurus kerajaan masih belum sampai ke tahap yang sepatutnya dan sewajarnya ia dikembangkan.
Sama ada menang majoriti dua pertiga atau majoriti mudah yang tipis, masyarakat mesti dididik bahawa ia bukan faktor yang menentukan kestabilan politik dan keteraturan sosial. Jika kestabilan diukur dengan menggunakan jumlah kerusi, mungkin kestabilan itu cuma dirasai oleh pihak yang menang, tetapi sangat tidak stabil bagi pihak yang tewas.
Sebaliknya polisi, tataurus dan pelaksanaan yang baik sudah tentu akan memberikan kesan yang baik bagi semua pihak yang terlibat dalam proses pentadbiran negara dan buat seluruh rakyat tanpa mengira pihak mana yang menang atau kalah dan kepercayaan politik mereka.
Saya percaya, tewas atau tumbangnya parti yang memerintah bukanlah kerana kerajaan yang tidak kuat, tetapi ia kerana polisi yang lemah.
Saya juga percaya bahawa kerajaan yang mempunyai polisi yang baik juga akan menghormati kedaulatan undang-undang (rule of law) dan ianya menjamin keteraturan sosial dan kestabilan politik.
Tetapi menolak mentah-mentah hujah bahawa penguasaan kerusi yang banyak di parlimen akan menjamin kestabilan politik juga adalah sesuatu yang dangkal. Ini kerana sistem demokrasi juga membenarkan perkara tersebut untuk berlaku. Tetapi faktor jumlah kerusi cumalah sekadar nilai tambah bagi kerajaan yang sedia kuat secara polisi, baik tataurusnya dan berkesan dari segi pelaksanaan.
Namun saya faham bahawa politik ini rencam, ia bukannya sehala dan saya tidaklah akan selalu benar. Masih terbukti bahawa kerajaan yang besar dan autoritarian juga mampu menghasilkan polisi yang kuat, tataurus yang baik dan pelaksanaan yang berkesan. Perkara seperti ini masih boleh terlihat di negara-negara Eropah Timur dan beberapa lagi bahagian di dunia.
Mengapa agaknya ia boleh berlaku? Kata kuncinya ialah kepercayaan. Kepercayaan daripada rakyat.
Kepercayaan yang kuat daripada rakyat terhadap kerajaan juga mampu melahirkan kerajaan yang kuat. Namun pada era teknologi maklumat masa kini, mungkin agak sukar untuk rakyat memberi kepercayaan yang mebuta-tuli lagi. Dan kasus kepercayaan rakyat terhadap pemimpin yang autocrat menjadi semakin usang dan terpencil.
Jika politik dilatari oleh ahli-ahli politik yang berprinsip dan bermaruah serta tidak sesuka hati mempermainkan kepercayaan pengundi dan rakyat dan melompat, saya tetap percaya bahawa kestabilan politik tetap didasari oleh kekuatan polisi dan bukannya jumlah kerusi.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Capitalpost
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.