Spanish flu atau juga dikenali sebagai 1918 flu merupakan pandemik yang paling dahsyat dalam sejarah.
Spanish flu bermula pada tahun 1918 yang berpunca daripada virus H1N1 dengan gen yang berasal dari burung. Penyakit ini disebarkan daripada burung kepada manusia.
Tempat pertama tercetusnya wabak ini tidak dapat dipastikan sehingga hari ini. Ada yang mengatakan wabak ini bermula dari Eropah, ada juga yang mengatakan virus ini berasal daripada Asia dan tidak kurang juga yang mengatakan datangnya dari Amerika Syarikat.
Apa yang pasti, wabak ini sangat pantas merebak iaitu dalam hanya beberapa bulan sahaja, Spanish flu telah tersebar ke seluruh dunia.
Oleh sebab wabak Spanish flu ini tercetus ketika perang dunia pertama, sesetengah percaya bahawa virus ini disebarkan dengan pantas oleh tentera-tentera yang mengembara melintasi Atlantik dalam kerahan untuk perang dunia pertama tersebut.
Spanish flu tidak berasal dari Sepanyol. Spanish flu dinamakan sebegitu disebabkan Sepanyol pada ketika perang dunia pertama tersebut kekal menjadi negara berkecuali dengan media yang bebas melaporkan sebarang berita.
Sepanyol menjadi negara pertama yang melaporkan kes penyakit tersebut secara terbuka.
Sementara itu, negara-negara seperti China, Perancis dan Amerika Syarikat sudah merekodkan kes penyakit tersebut namun tidak dapat dilaporkan secara terbuka melalui akhbar kerana penapisan berita semasa tempoh peperangan.
Pandemik 1918 ini menyerang dalam tiga gelombang yang berbeza dalam tempoh 12 bulan sahaja.
Gelombang pertama adalah pada musim bunga 1918 di Amerika Utara dan Eropah yang sebahagian besarnya dikenal pasti di kubu perang dunia pertama. Manakala, gelombang kedua pula adalah fasa kemuncak paling mengerikan yang meragut nyawa puluhan juta manusia dari September hingga November pada musim gugur 1918. Gelombang terakhir melanda Australia, Amerika Syarikat dan Eropah pada akhir musim sejuk dan musim bunga tahun 1919.
Spanish flu dianggarkan telah menjangkiti kira-kira 500 juta individu, iaitu satu per tiga daripada populasi dunia. Wabak maut ini juga telah membunuh 50-100 juta individu secara keseluruhan sepanjang tahun 1918 hingga 1919.
Antara faktor yang menjadikan penyakit ini sangat mudah tersebar serta jumlah kematian yang tinggi termasuklah pada ketika itu, sedang berlaku perang dunia pertama. Pergerakan dan mobilisasi tentera menyumbang kepada penyebaran wabak. Perkhidmatan kesihatan sangat terhad kerana pasukan perubatan dikerahkan ke perkhidmatan ketenteraan. Langkah pencegahan bagi membendung wabak iaitu vaksin influenza masih belum ada pada masa itu. Bahkan, antibiotik juga masih belum wujud.
Wabak ini menyerang segenap lapisan umur dan masyarakat termasuklah golongan muda dan sihat tanpa sebarang komorbiditi.
Virus tersebut menyerang paru-paru sehingga menyebabkan paru-paru dipenuhi cairan, pneumonia yang serius serta menyebabkan keradangan tisu paru-paru.
Kadar kematian adalah tinggi bagi golongan yang berumur kurang dari 5 tahun, 20-40 tahun, dan 65 tahun ke atas. Lebih mengerikan, kadar kematian juga tinggi dalam kalangan orang yang sihat, termasuklah mereka yang berumur 20-40 tahun.
Adakah pandemik ini benar-benar berakhir pada tahun 1919?
Menurut sesetengah pakar kesihatan dan ahli sejarah, individu yang telah dijangkiti virus tersebut telah menjadi kebal terhadap influenza tersebut. Ada juga laporan pada ketika itu yang menyatakan selepas jangka masa tertentu, virus tersebut bermutasi sehingga menjadi kurang berbahaya.
Kadar kematian akibat wabak Spanish flu menunjukkan penurunan. Simptom juga semakin kurang serius dan manusia kembali menjalani kehidupan seperti biasa sekitar tahun 1920.
Namun, kesan pandemik ini tidak terhad pada tahun 1918-1919 sahaja.
Kajian-kajian yang berterusan ternyata menunjukkan varian-varian virus 1918 masih berterusan secara enzootik pada babi. Bahkan juga berkemungkinan masih wujud dan berkembang dalam kalangan manusia.
Berdasarkan kertas kajian bertajuk “1918 Influenza: The Mother of All Pandemics.” yang diterbitkan dalam Emerging Infectious Diseases, hampir semua pandemik influenza A yang berlaku selepas pandemik 1918 adalah disebabkan daripada hasil mutasi virus 1918.
Antara influenza yang mempunyai kaitan dengan virus yang menyebabkan pandemik Spanish flu 1918 termasuklah virus yang dikenali sebagai H1N1 yang mula muncul sekitar tahun 1930 dan H2N2 yang muncul pada tahun 1957 yang juga dikenali sebagai Asian flu.
Virus H1N1 yang mempunyai kaitan langsung dengan virus 1918 telah hilang secara keseluruhan dalam kalangan manusia, tetapi kekal secara enzootik pada babi.
Malangnya pada tahun 1977, virus H1N1 muncul menjangkiti manusia semula dan kekal berterusan menjadi endemik dan epidemik sehingga hari ini.
Namun, virus H1N1 yang ada pada hari ini tidaklah seganas virus Spanish flu 1918 yang lalu. Virus ini merekodkan kadar kematian yang jauh lebih rendah serta simptom yang tidak begitu kritikal berbanding Spanish flu 1918 yang lalu.
Jadi, adakah pandemik Spanish flu benar-benar telah berakhir lebih 100 tahun yang lalu?
Tidak, Spanish flu masih bersama kita. Virus ini hanya bermutasi dan muncul dalam bentuk dan kesan yang berbeza berbanding semasa pandemik 1918 yang lalu.
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.
Rujukan: Taubenberger, J. K., & Morens, D. M. (2006). 1918 Influenza: the Mother of All Pandemics. Emerging Infectious Diseases, 12(1), 15-22. https://doi.org/10.3201/eid1201.050979. |
https://www.history.com/news/1918-flu-pandemic-never-ended
https://www.cdc.gov/flu/pandemic-resources/1918-commemoration/1918-pandemic-history.htm
Kredit foto: weforum.org
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.