Kenapa Orang Bijak Boleh Jadi Pemikir Yang Lemah?

Kenapa Orang Bijak Boleh Jadi Pemikir Yang Lemah?

Edward De Bono dalam buku beliau, De Bono's Thinking Course  menulis sepanjang 25 tahun pemerhatian beliau terhadap cara berfikir; diperhatikan bahawa orang bijak selalu terperangkap dalam apa yang dipanggilnya "Perangkap Kepandaian".

Apa itu perangkap kepandaian?

Perangkap kepandaian terjadi bila individu yang pandai itu memihak dan berpegang kuat kepada satu-satu pandangan. Lebih pandai seseorang, lebih bagus dia mempertahankan pandangan tersebut. Lebih bagus dia mempertahankan pandangan tersebut, dia akan mula tidak menerima pandangan lain yang bertentangan.

"Kalau aku betul, kenapa aku kena dengar cakap orang lain?"

Orang pandai mudah terperangkap dengan idea yang lemah kerana kepandaian mereka sendiri.

Selain itu, keadaan orang pandai itu membesar juga memberikan pengaruh kepada corak pemikiran sebegini. Mereka yang pandai membesar dengan mengetahui bahawa mereka lebih pandai dari orang lain. Mereka mahukan rasa puas dari kepandaian mereka, jadi untuk memenuhi rasa kepuasan tersebut, mereka aktif mencari kesalahan dan banyak memperbetulkan orang lain. Disebabkan kemahuan mereka untuk mencari kepuasan pantas, pemikiran yang konstruktif tidak lagi memberikan kepuasan, menyebabkan mereka kurang berfikir dengan lebih dalam lalu menumpulkan ketajaman akal mereka. Mereka lebih suka untuk dipuji pendengar dan pembaca fokus kepada idea itu sendiri.

Elakkan dari diperbodohkan kepandaian sendiri

Mungkin anda pernah dengar kisah bagaimana Socrates mendapat nama sebagai "manusia terbijak di Athens"

Ini adalah kerana beliau tahu bahawa beliau tidak tahu apa-apa, berdasarkan kata-kata beliau sendiri,

"I know that I know nothing" - Socrates

Betapa rendah dirinya beliau, apabila diberitahu oleh Oracle of Delphi bahawa beliaulah orang yg terbijak di Athens, beliau tidak bersetuju malah beliau mencari sebab pula mengapa beliau bukan orang yang terbijak di sana.

Antara sebab mengapa Socrates seorang bijaksana ialah beliau tidak pernah berhenti bertanya soalan. Penulis buku Pebbles of Perception, Endersen Laurence, mementingkan motto ABC; Always Be Curious. Beliau berpendapat mempunyai mentaliti menanya (questioning mentality) lebih penting dari punyai mentaliti mengetahui (knowing mentality). Ini kerana bila kita sudah memberi satu jawapan kepada suatu persoalan, disebabkan bias kita untuk terus konsisten, kita akan pertahankan jawapan tersebut, walaupun jawapan tersebut salah. Bagi penulis, ini membazirkan tenaga dari melakukan sesuatu yang lebih produktif, iaitu mencari alternatif jawapan lain.

Sikap ingin tahu yang tinggi merupakan antara tanda seseorang itu bijak. Kata Charlie Munger, untuk jadi lebih bijak, soalan yang perlu kita tanya selalu ialah "mengapa, mengapa, mengapa?". Ini juga merupakan "superpower" Albert Einstein dan Leonardo da Vinci.

“I have no special talents. I am only passionately curious” - Albert Einstein

Untuk mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, pertama kita haruslah mempunyai sifat rendah diri dan berfikiran terbuka. Gautam Baid dalam buku beliau The Joys of Compounding, menulis bahawa rasa rendah diri ini ditunjukkan oleh perbuatan kita. Jika kita tidak selalu bertanya atau belajar dari orang lain kerana kita rasa kita lebih tahu dari orang lain, itu menunjukkan kita tidak merendah diri.

Seseorang itu perlu mengetahui apa yang dia tidak tahu. Charlie Munger pernah mengatakan bahawa untuk mengetahui apa yang kita tak tahu ialah permulaan kepada kebijaksaan. Idea ini juga pernah diutarakan oleh Confucius, pengetahuan sebenar ialah mengetahui apa yang kita tidak tahu. Richard Feynman pergi lebih jauh dengan berkata bahawa satu-satunya jalan untuk capai kemajuan ialah untuk membuktikan kita salah secepat mungkin.

Semoga kita semua mempunyai sifat-sifat ini.

"Try to comprehend a little more each day. Have holy curiosity." - Albert Einstein

Notakaki adalah seorang penulis yang mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berlegar dalam kepala.

Foto: iStock

Share this Post: