Kenapa Makcik Kiah Berhutang?

Kenapa Makcik Kiah Berhutang?

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, kebebasan kini menjadi satu keistimewaan yang tidak semua orang mampu miliki. Walaupun PKP secara hitam putihnya dikuatkuasa kepada semua tanpa mengira pangkat, umur dan bangsa, namun secara tidak sedar setiap daripada kita perlu membayarnya dengan harga yang berbeza.

Saya percaya ketika perintah ini diumumkan, malah sebelum itu lagi, banyak orang mula merancang untuk menghadapi krisis pandemik ini. Ada yang mula membeli bekalan makanan untuk disimpan, ada yang pulang ke kampung halaman, ada yang terpaksa menunda program/aktiviti yang dirancang. Merancang merupakan satu kapasiti semula jadi bagi seorang manusia ketika berhadapan dengan masa hadapan.

Mudah untuk kita sekarang mencari/mengetahui sebab-sebab kenapa sesuatu perancangan itu boleh berakhir dengan kegagalan. Mungkin seseorang boleh mendapatnya di kelas-kelas Azizan Osman, mungkin juga ada yang membaca tulisan-tulisan Jordan Peterson, paling mudah seseorang boleh terus bertanya pada Muhammad al-Google. Selepas mengetahui sebab-sebab ini, kebiasaanya akan hadir perasaan insaf, menyesal, serba salah dan mula merefleksi diri masing-masing.

Pencarian ini akhirnya akan membawa kita kepada hanya satu sebab iaitu diri kita sendiri. Diri kita yang menjadi faktor kegagalan untuk merancang, sikap kita, usaha kita, psikologi kita, pengetahuan kita, semuanya dikupas sehingga tidak ada lagi yang tersisa. Lalu kita pulang dengan merasa kegagalan semuanya bermula pada diri kita.

Kata orang gagal merancang itu adalah merancang untuk gagal, maka apabila berdiri seseorang yang gagal dihadapan kita, kita cuma melihat kesalahan hanya pada dirinya. Azizan Osman tidak akan berdiri di atas pentas dan memberitahu kepada kita bahawa seseorang itu gagal merancang kerana kitaran kemiskinan atau ketidakupayaan modal untuk merancang, ini akan menyebabkan khidmat motivasinya tidak laku lagi.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang PKP memaksa kita untuk menjalani hidup yang tidak seperti sediakala. Pada satu sudut pemaksaan ini sangat baik untuk melawan krisis pandemik yang kita hadapi sekarang. Tapi pada satu sudut lagi, ia melondeh sisi buruk struktur masyarakat kapitalis terhadap tahap kemampuan atau kemandirian setiap keluarga atau komuniti apabila menghadapi krisis/darurat/bencana.

Laporan Bank Negara mendedahkan jumlah hutang isi rumah negara telah mencecah RM1.8 trillion pada tahun 2018. Malah Malaysia merupakan negara top 3 di Asia Tenggara yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi berdasarkan GDP negara. Remaja mereka terikat dengan hutang PTPTN, orang dewasa mereka terikat pada hutang kenderaan, manakala orang tuanya terikat dengan hutang rumah.

Ramai yang melihat hutang-hutang yang tercipta ini adalah kemahuan dan pilihan secara sedar individu itu sendiri, sedangkan tanpa sedar suasana, sistem, budaya yang telah direka inilah secara sengaja memaksa seseorang itu untuk berhutang sehingga masyarakat menganggap berhutang itu adalah penyelesaian yang biasa.

Fenomena ini memberi dan mencipta satu ilusi kepada masyarakat untuk merasakan selamat, berkemampuan, mempunyai kewangan yang stabil, namun apabila PKP hadir sebaliknya yang terjadi. Ramai yang tidak mampu berbuat apa-apa apabila sumber pendapatan mereka terputus terutamanya golongan B40 dan M40 (pekerja kontrak, sektor IKS, pelancongan dan swasta).

Bersama beban hutang isi rumah yang tinggi tanpa mempunyai pendapatan yang stabil mereka terpaksa menerima penyelesaian daripada kebanyakan pihak bank untuk menangung beban bunga hutang sepanjang ketidakmampuan mereka untuk membayar hari ini. Ilusi sistem hutang ini mencipta satu kelas masyarakat yang percaya bahawa merekaseben arnya tidak miskin, mereka berkemampuan dengan keyakinan yang diberikan oleh bank untuk berhutang.

Situasi ini tidak mungkin akan cuba dikupas, dibincangkan oleh pakar-pakar motivasi usahawan di luar sana, hakikat yang harus difahami oleh kita bahawa orang miskin tidak berkeupayaan untuk membuat perancangan menghadapi masa hadapan. Saya biasa melihat kebanyakkan daripada kita apabila bercakap atau cuba empati atas kehidupan orang-orang miskin, kita lebih banyak merasakan mereka adalah orang-orang yang sedang kebuluran dan tidak cukup makan.

Begitu juga dengan banyak didikan/kepercayaan tentang tujuan kita berpuasa adalah untuk kita merasai penderitaan laparnya orang-orang miskin. Sedangkan saya percaya derita orang-orang miskin adalah lebih parah daripada kelaparan itu, saya percaya orang miskin itu adalah orang yang tidak berupaya atau kekurangan sumber untuk merancang kehidupan mereka.

Ternyata kitaran kemiskinan ini tidak mampu diputuskan dengan hanya menggalakkan orang untuk menyumbang. Kesedaran tentang persekitaran, struktur dan kewujudan kemiskinan itu sendiri perlu giat dibincangkan dan dikupas lebih mendalam, makna kata penyumbang juga perlu punya kesedaran untuk menyelesaikan masalah ini bersama.

Saya mengakhiri tulisan ini dengan satu slogan yang menarik perhatian saya ketika rusuhan di Chile pada tahun lepas melawan neoliberalisma,

“We won’t return to normality because normality was the problem.”

Jefry Musa merupakan graduan Kerja Sosial, USM dan aktivis Borneo Komrad. Kini bekerja sebagai jawatankuasa latihan dan pendidikan di Iskul Sama di Laut Omadal, Sabah.

Foto ihsan Bernama

Share this Post: