Kemelut Politik dan Krisis Perlembagaan

Kemelut Politik dan Krisis Perlembagaan

I

Kemelut politik dan krisis perlembagaan adalah dua perkara yang berbeza. Namun seringkali berentetan dan berkesinambungan.

Secara mudah kemelut politik biasanya melibatkan kekeliruan, kekacauan dan kecelaruan politik. Krisis perlembagaan pula ialah konflik fungsi diantara institusi dalam pembahagian kuasa ataupun tindakan mana-mana institusi pemerintahan yang tidak menurut perlembagaan.

Acap kali krisis perlembagaan turut melibatkan dan mengheret pihak Istana – kerana krisis ini seringkali melibatkan dua watak terpenting dalam negara iaitu ketua negara dan ketua kerajaan.

Dalam sesetengah krisis perlembagaan, ia cuba dijenamakan sebagai krisis monarki, namun saya secara peribadi tidak bersetuju. Kerana ia bukanlah melibatkan isu sepeti Putera Harry dan Meghan Markle, tetapi ia melibatkan fungsi dan kuasa raja.

Saya pasti kalian arif tentang kemelut kuasa dan krisis perlembagaan yang pernah berlaku di Malaysia. Oleh itu tulisan ini sekadar menyegarkan kembali nalar kita tentang letak duduk situasi politik dan pemerintahan yang sedang berlaku sekarang. 

II

Di Malaysia, pembahagian kuasa bukan sekadar kepada tiga institusi iaitu Legislatif (Parlimen), Eksekutif (Jemaah Menteri) dan Kehakiman. Tetapi secara umum jika dirujuk kepada Bahagian IV, Persekutuan – Perlembagaan Persekutuan, ia turut melibatkan Ketua Utama Negara (Yang di-Pertuan [YDP] Agong) dan Majlis Raja-Raja. Kedua-dua institusi ini turut mempunyai bidangkuasa mereka yang tersendiri.

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan juga turut membuatkan bidang kuasa tertentu dibahagikan antara persekutuan dan negeri.

Paling jauh dalam pengetahuan saya, pada tahun 1963 Kerajaan Negeri Kelantan pernah membawa ke mahkamah tentang persoalan keabsahan Perjanjian Malaysia. Ini kerana Perjanjian Malaysia yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan empat orang ahli Jemaah Menteri ketika itu tidak melibatkan Sultan (Sultan Kelantan di dalam kes ini). 

Kerajaan Kelantan berpandangan, Sultan berhak dirundingi seperti mana peranan mereka di dalam Perjanjian Persekutuan Malaya. Namun mahkamah telah menetapkan bahawa tiada mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa sultan atau kerajaan mana-mana negeri perlu dirundingi.

Walaupun kes Kerajaan Kelantan melawan Kerajaan Persekutuan Malaya bukanlah krisis perlembagaan yang sebenar, namun ia mungkin kes yang pertama di Malaya atau Malaysia yang mencerminkan tentang perselisihan fungsi serta bidang kuasa sesuatu institusi pemerintahan.

III

Kes pertama yang benar-benar dianggap sebagai krisis perlembagaan di Malaysia ialah kemelut politik penyingkiran Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak oleh Yang Dipertua Negeri (Gabenor) pada 1966. Ningkan telah disingkirkan di luar dewan setelah separuh daripada ahli dewan undangan menghantar petisyen kepada Yang Dipertua Negeri.

Kendati mahkamah menyebelahi Ningkan, namun Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan darurat di Sarawak. Bukan lagi rahsia bahawa Ketua Kerajaan Persekutuan Malaysia tatkala itu tidak meyebelahi Ningkan. Krisis berlanjutan, namun akhirnya Ningkan tetap berjaya disingkirkan. 

Watak yang paling banyak terlibat dengan kemelut politik dan krisis perlembagaan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad – Perdana Menteri yang keempat dan ketujuh. 

Yang pertama ialah krisis perlembagaan 1983 yang melibatkan pemindaan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan. Natijahnya menghakis kuasa perkenan YDP Agong keatas sesuatu penggubalan Rang Undang-Undang (RUU). 

Kedua ialah krisis perlembagaan 1988 yang melibatkan kemelut politik pengharaman Parti Umno, Badan Kehakiman sehinggalah pemecatan Tuan Yang Dipertua Mahkamah Persekutuan (sekarang dikenali sebagai Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan).

Tidak sekadar itu sekali lagi krisis perlembagaan berlaku diantara Dr. Mahathir dengan dengan ‘istana’ pada tahun 1993. Kali ini imuniti Raja-Raja pula dihadkan, Kuasa Raja-Raja untu melantik Exco kerajaan negeri juga ditarik dan terdapat beberapa perkara lagi.

Mungkin Tun Dr. Mahathir bolehlah dikatakan sebagai ‘pemenang’ dalam ketiga-tiga krisis tersebut dengan pengawalan media dan informasi ketika itu. Namun ‘menang’ tidak bererti benar. Naratif sejarah cenderung menganggap tindakan beliau sebagai ketua Badan Eksekutif tidak sepatutnya campur tangan di dalam urusan Badan Kehakiman.

Hujah beliau yang menjunjung sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kebertangungjawaban ketika krisis dengan Institusi Raja, nampaknya tercalar dengan tidak menghormati prinsip pembahagian kuasa tatkala berhadapan dengan Badan Kehakiman. 

Krisis yang dihadapi Tun Dr. Mahathir ini belum habis lagi. Kita akan sambung lagi nanti.

IV

Kemelut politik dan krisis perlembagaan Sarawak seumpama kembali berulang pada tahun 2009 di Perak. Menteri Besar Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin disingkirkan oleh Sultan di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Kerajaan yang mendapat mandat melalui pilihanraya telah dijatuhkan oleh peristiwa lompat-melompat parti.

Walaupun kemudiannya mahkamah memutuskan keabsahan penyingkiran Mohammad Nizar dan tiada ‘foul play’ atau salah laku dalam peristiwa tersebut, namun rakyat tahu bahawa sekurang-kurangnya pasti wujud situasi ‘curi ayam’ ataupun ‘offside’. Malangnya ‘offside’ adalah kesalahan yang tidak akan dikenakan sebarang kad kuning ataupun kad merah. 

Tetapi apa yang penting, terdapat campur tangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di dalam peristiwa tersebut. Mereka berdua ada menghadap Sultan dan terlibat secara langsung di dalam kemelut politik dan krisis perlembagaan tersebut.  

Pada 2014 berlaku kemelut politik di Selangor. Walaupun tidak dilihat sebagai krisis perlembagaan, namun isu yang berentetan daripada persaingan merebut jawatan Menteri Besar, ‘Langkah Kajang’, peletakan jawatan Menteri Besar oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sehinggalah perlantikan Dato’ Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar ini sebenarnya menarik untuk ditelaah.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah yang memenangi kerusi DUN Kajang rentetan daripada ‘Langkah Kajang’, telah mendapat sokongan majoriti di DUN bagi menjadi Menteri Besar untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebaliknya Sultan ketika itu telah melantik Dato’ Seri Azmin Ali untuk mengetuai Kerajaan Negeri Selangor dan Baginda mempunyai hemat yang tersendiri.

V

Yang terbaru ialah rentetan daripada ‘Langkah Sheraton’. Peletakkan jawatan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehinggalah perlantikan Tan Sri Mahiaddin Yasin memegang tampuk pentadbiran kerajaan – kemelut politik ini telah melahirkan satu lagi krisis perlembagaan dan ia masih berlanjutan. Soalan tentang sokongan terhadap Perdana Menteri dan keabsahan kerajaan pimpinannya menjadi persoalan. 

Memburukkan keadaan kemelut dan krisis ini apabila berlaku ketika wabak pandemik Covid-19 melanda. Perisytiharan darurat dilihat semakin memburukkan krisis, malah makin merebakkan pandemik dan rakyat semakin terjejas dari segi pekerjaan dan kesihatan akibat kegagalan beberapa langkah kerajaan. 

Perdebatan politik berkenaan pengungkaian dan pembatalan proklamasi serta ordinan darurat semakin merumitkan kemelut politik dan krisis perlembagaan. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) jelas mengelirukan apabila mengatakan bahawa Jemaah Menteri telah menarik balik semua ordinan dan membatalkan proklamasi darurat sedangkan ia bukan bidang kuasa mereka.

Isu sebenar ialah persoalan perundangan diantara bidang kuasa Jemaah Menteri dan bidang kuasa YDP Agong. Jika bidang kuasa Jemaah Menteri ialah untuk menasihati, maka cakaplah ‘menasihati’ dan bukannya ‘membatalkan’.

Kita tahu bahawa hampir setiap kemelut politik dan krisis perlembagaan yang melibatkan ketua kerajaan, beliau pasti akan dilihat keluar sebagai ‘pemenang’. Dan hampir pasti juga akan terdapat unsur manipulasi kuasa. Namun bezanya kali ini, kedudukan Perdana Menteri agak goyah. 

Walau kelihatan sedaya upaya membeli masa dan membuat tawaran terbuka di media massa, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin dan Jemaah Menteri pimpinannya terpaksa meletakkan jawatan. Itupun setelah berkali-kali dinasihati Istana dan setelah berhari-hari rakyat bersuara walau beliau pada awalnya kelihatan cuba mempertahankan kuasa.

Krisis dan kemelut harus diselesaikan dengan baik dan bukannya dengan cara lompat melompat parti dan manipulasi. Sejarah telah membuktikan setiap perkara sebegitu walaupun dizinkan dalam konteks undang-undang, namun ia menjadi contoh dan ikutan yang kian memburuk dan semakin meruntuhkan negara.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Reuters

Share this Post: