New Delhi sedang dilanda protes besar-besaran oleh petani. Mereka berkumpul di sekitar ibu negara India itu bersama-sama jentera tani mereka. Semenjak Narendra Modi memegang jawatan Perdana Menteri India, ini protes terbesar yang terpaksa beliau hadapi.
Protes ini telah lama bermula iaitu semenjak November 2020. Mulanya para petani dari negeri Punjab dan Haryana melakukan protes di negeri mereka sendiri. Kemudian mereka mula mengatur langkah untuk menyerbu Delhi, iaitu wilayah ibu negara nasional India yang di sana terletak New Delhi.
Haryana dan Delhi adalah bersempadan. Pasukan keselamatan India telah menghalang para petani yang berprotes daripada mara ke Delhi. Namun pada Hari Republik yang disambut pada setiap 26 Januari, ribuan petani berarak untuk cuba mara ke Delhi. Ada yang menaiki jentara, ada yang berkuda malah ada yang berjalan kaki.
Walaupun dihalang, tetapi ada di antara mereka yang berjaya menerobos ke Delhi dan berkumpul di bangunan bersejarah dan ikonik Red Fort. Protes tersebut masih berterusan saat artikel ini ditulis. Malah ada orang-orang berpengaruh seperti Greta Thunberg yang turut bersolidariti dan menyokong protes petani.
Malah ciapan Twitter oleh artis Rihanna semakin menghangatkan keadaan dan dikritik balas oleh artis-artis India. Namun dalam masa yang sama twitter atas permintaan kerajaan India telah menyekat akaun sesiapa yang terlibat menyebar maklumat serta cenderung menyokong protes tersebut.
Namun begitu apa yang petani ini bantah? Dan mengapa petani yang membantah ramai datang daripada Punjab dan Haryana?
Protes ini bermula setelah rang undang-undang pertanian yang baru diluluskan Parlimen India dan mendapat restu Presiden.
Undang-undang ini didakwa oleh kerajaan India sebagai mempercepatkan proses transformasi ekonomi sektor pertanian yang selama ini tidak efisien dan kurang berdaya saing. Ia menghapuskan pemusatan jualan pertanian di ‘mandi’ (pasar) yang selama ini dikemudi oleh pihak Agricultural Produce Market Committees (APMC), iaitu sebuah badan kerajaan yang menguruskan produk pertanian.
APMC selama ini melindungi petani. Mereka memperkenalkan sistem harga minimum dan sebagainya untuk memastikan petani yang sedia miskin tidak kerugian. Lebih daripada itu APMC juga dikatakan memberi pinjaman kecil-kecilan kepada petani yang terjejas dan tidak berkemampuan.
Pemusatan kuasa pasaran kepada APMC dikatakan dikatakan sebagai pemonopolian dan mengurangkan persaingan sihat diantara petani oleh kerajaan India pimpinan Modi. Oleh itu undang-undang baru diperkenalkan yang membuatkan para petani harus menjual produk mereka kepada pasar milik swasta.
Para petani melihat ini sebagai sesuatu yang merugikan mereka sebagai petani kecil dan cuma menguntungkan syarikat-syarikat besar. Sudah pasti mereka sebagai petani kecil akan tertindas apabila terpaksa berurusan dengan konglomerat dan syarikat besar. Dalam suasana wabak Covid-19 yang menyebabkan ekonomi menjadi lembab, para petani merasa semakin tidak terjamin untuk bersaing secara terbuka dengan pemain-pemain ekonomi yang besar.
Para petani dari Punjab dan Haryana diberitakan sebagai yang paling kuat menentang undang-undang baru tersebut. Ini terjadi kerana mereka selama ini dikatakan menikmati sedikit keuntungan dengan dasar APMC.
Mereka berpendapat undang-undang sebelum ini dan tugas APMC cuma perlu ditambah baik dan bukannya ditukar ganti. Mereka juga mengatakan APMC tidak gagal sepenuhnya walaupun sistem tersebut tidak berupaya membantu petani di negeri-negeri lain kerana model itu sedikit beroleh kejayaan di Punjab dan Haryana.
Walaupun undang-undang baru tersebut dikatakan mendapat sokongan daripada ramai ahli akademik, namun Dewan Legislatif (Negeri) Kerala telah meluluskan resolusi untuk mendesak supaya undang-undang tersebut digugurkan. Malah wakil tunggal Bharatiya Janata Party (BJP – iaitu parti pemerintah India) di dewan tersebut turut menyokong resolusi yang menentang undang-undang tersebut (dalam bahasa mudah, Kerala adalah ‘negeri pembangkang’).
Namun apakah benar dakwaan bahawa undang-undang baru tersebut dikatakan sebagai mesra swasta dan syarikat besar dan mengenepikan petani? Wajar kiranya kita lihat Kembali dasar-dasar Narendra Modi semenjak menjawat jawatan Ketua Menteri Gujarat sehingga memegang jawatan Perdana Menteri India.
Realitinya India adalah sebuah negara yang besar dan masih cenderung berkecimpung di dalam bidang agraria ataupun pertanian. Untuk membangunkan India – ‘gergasi yang sedang tidur’ – Modi memerlukan satu gagasan yang benar-benar ampuh.
Bukan rahsia lagi bahawa Modi merupakan peminat tegar sistem ekonomi seperti negara Korea Selatan. Mungkin Modi juga berpegang kepada prinsip dasar pandang ke timur. Korea Selatan yang merupakan negara pertanian sehingga sekitar 1960an, namun berjaya mentransformasikan ekonomi mereka selepas itu.
Ketika menjadi Ketua Menteri Gujarat, beliau pernah dikunjungi oleh pesuruhjaya tinggi Korea Selatan di India. Ketika pertemuan itu beliau menyamakan pembangunan di Gujarat dengan model ekonomi Korea Selatan.
Untuk pengetahuan, sekian lama ekonomi Korea Selatan dibangunkan oleh Chaebol ataupun syarikat korporat yang rapat dengan kerajaan. Mahu tidak mahu, mereka saling membantu. Korea Selatan terbukti maju. Siapa yang tidak kenal dengan Samsung, LG, Hyundai, Kia dan sebagainya?
Namun model ekonomi Korea Selatan terbukti tidak sunyi dari skandal ekonomi, korupsi dan salah guna kuasa sehingga melibatkan presiden negara. Skandal (bekas) Presiden Park Geun-hye nyata mengejutkan sehingga beliau di-impeach (bandingkan dengan cubaan impeachment terhadap Trump) oleh National Assembly. Kemudian beliau didapati bersalah oleh mahkamah. Mujur demokrasi dan kuasa rakyat di Korea sangat kuat.
Malah baru-baru ini Naib Pengerusi Samsung Electronics telah didapati bersalah di dalam kes korupsi. Inilah bencana model ekonomi yang bersandarkan sistem crony capitalism.
Walaupun sebenarnya sistem Chaebol diasaskan berdasarkan model Zaibatsu negara Jepun, namun model tersebut cuma menguasai syarikat kewangan ataupun perbankan sahaja. Tetapi di Korea Selatan sistem perbankan dan institusi kewangan kebanyakannya dikuasai oleh Kerajaan. Kalian pasti familiar dengan sistem ekonomi crony capitalism serta institusi perbankan yang dikuasai oleh kerajaan, kan?
Berbalik kepada India, Narendra Modi juga tidak pernah sunyi daripada dakwaan crony capitalism. Hubungan baiknya dengan kuasa besar ekonomi India iaitu Adani Group menjadi kontroversi.
Malah Adani dan seorang lagi billionaire Mukesh Ambani di dakwa akan menceburi bidang pertanian akibat lulusnya undang-undang baru tersebut, namun dakwaan ini masih tidak dapat dibuktikan secara kukuh. Tetapi Ambani secara peribadi menyokong kuat undang-undang yang diperkenalkan oleh Modi tersebut.
India sememangnya adalah ‘gergasi yang sedang tidur’ yang perlu dibangkitkan. Secara ekonomi, sumber mereka mampu untuk menyaingi China. India juga mampu menyeimbangkan kuasa ekonomi antara Amerika Syarikat, China dan EU jika ekonomi mereka benar-benar dipacu.
Tetapi India memerlukan gagasan dan usaha yang tepat serta menyantuni rakyatnya yang dilatari pelbagai agama serta pelbagai kelas ekonomi termasuklah para petani kecil. Cuma masa yang menentukan apakah Modi mampu membawa India melangkah gagah atau tersalah langkah.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Adnan Abidi / REUTERS
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.