I
Gebang kenalan saya “Di Malaysia ini, bendahara jadi raja, temenggung jadi raja, penghulu pun jadi raja, tapi laksamana yang kononnya hero itu tak dapat apa.” Ada betulnya juga.
Tiga pewaris pembesar Johor-Riau diangkat menjadi raja. Bendahara diangkat menjadi Sultan di Pahang, waris Yang Dipertuan Muda merajai Selangor dan Temenggung bertakhta di Johor. Malah di utara, keturunan Penghulu Arau merajai Perlis.
Namun laksamana iaitu pembesar dan tokoh Melayu yang sangat popular dan dicanang-canang sebagai wira tidak dapat apa-apa. Apa yang terjadi sebenarnya? Malah kisah-kisah tentang laksamana penuh duka, lara dan derita bak alunan lagu tradisional “Sayang Laksamana Mati Dibunuh”.
Muasal istilah laksamana berpunca daripada nama watak dalam epik “Ramayana” iaitu Lakshmana. Beliau ialah adik kepada Rama yang banyak membantunya, berjuang dan berbakti demi Rama. Lakshmana digambarkan sebagai seorang hero di dalam epik tersebut.
Setelah Rama dinobatkan sebagai Raja Ayodhya, baginda menawarkan Lakshmana untuk menjadi putera mahkota namun tawaran tersebut ditolak demi menghormati Bharata iaitu seorang lagi saudaranya yang lebih tua untuk menjawat jawatan tersebut.
Rama sangat menghargai Lakshmana kerana berpegang teguh kepada tanggungjawab sebagai seorang adik. Sementelahan Lakshmana sentiasa merendah diri serta setia tanpa berbelah bagi. Kualiti diri Lakshmana sudah pasti mengingatkan kita kepada watak Laksamana Hang Tuah.
Lantas, kalau istilah laksamana berasal daripada Lakshmana – jadi apa kena mengena laksamana dengan tentera laut malah sehingga digelar sebagai ‘Panglima di laut’ dan ‘Raja di laut’?
II
Ada pendapat yang mengatakan sebenarnya laksamana adalah ketua angkatan bersenjata – jika pada zaman sekarang mungkin seperti ketua angkatan tentera merangkap menteri pertahanan sekali gus. Mengetuai angkatan tentera bermakna pasti juga bermakna laksamana turut mengetuai angkatan laut.
Pendapat ini ada benarnya kerana kisah-kisah tentang laksamana Melayu turut menceritakan kehebatan mereka sewaktu bertempur di darat. Bukankah Laksamana Melaka juga turut hebat bertempur di darat?
Di sekolah dahulu mungkin kita sering mendengar dalam subjek sejarah bahawa laksamana adalah salah sorang daripada pembesar berempat. Namun perkara ini sebenarnya menjadi persoalan.
Hukum Kanun Melaka mencatatkan “Adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan bendahara, kedua menjadikan temenggung, ketiga menjadikan penghulu bendahari, keempat menjadikan syahbandar, maka terpeliharalah segala raja-raja itu dengan segala rakyatnya.” Maka di manakah kedudukan laksamana?
Jika direnung sejarah kerajaan Melayu lama sebermula dari Srivijaya hingga ke zaman Melaka, Johor-Riau dan Kedah, kerajaan tersebut dikenali sebagai kerajaan maritim ataupun talasokrasi. Dan oleh kerana Melaka serta kerajaan Melayu dahulu kala sangat terkenal dengan pelabuhan dan sangat penting dalam laluan pelayaran, sayugialah laksamana menjadi ‘Raja di laut’.
Menambahkan lagi nilai laksamana, beliau juga sering mengetuai rombongan diplomasi yang kebetulan semasa itu terpaksa menggunakan laluan di laut, tidak seperti sekarang yang menggunakan laluan udara – sebab itu idea tikar terbang dalam filem Laksamana Do Re Mi itu boleh dikatakan agak revolusioner.
Nilai tambah seperti kebijaksanaan, kepakaran dan kualiti diri juga membuatkan Laksamana Melaka seperti Hang Tuah turut dilantik sebagai duta dalam rombongan-rombongan diplomasi.
Selain itu terdapat beberapa sebab lagi bahawa mengapa kedudukan laksamana sangat penting. Selain Hukum Kanun Melaka (yang berkuatkuasa di darat) terdapat satu lagi hukum iaitu Undang-Undang Laut Melaka yang menangani isu-isu maritim dan masalah-masalah di atas kapal. Undang-undang tersebut sangat penting dan undang-undang ini dikawal selia oleh laksamana.
Dalam satu tulisan yang berasal dari negeri Kedah pula iaitu “Bunga Mas, Alat Kerajaan Pada Masa Tabal, Orang Besar-Besar, Adat Meminang” ada menyatakan “Shahadan kebesaran Laksamana itu: tatkala ia keluar ka-laut, di-suroh Raja: barang Siapa di-hukumnya atau di-bunoh tiada-lah taksir, kerana ia ganti Raja pada ketika itu.”
Selain itu, laksamana juga mempunyai ‘rakyat’ dan pengikut tersendiri yang terdiri daripada Orang Laut. Orang Laut memainkan peranan penting dan penyokong kesultanan Melayu semenjak zaman Srivijaya. Orang Laut juga menganggotai angkatan laut yang dipimpin oleh laksamana.
Oleh itu, ada pendapat dan kisah menarik yang mengatakan bahawa Hang Tuah atau Laksamana Melaka yang terkenal itu berasal daripada suku Sekana iaitu Orang Laut yang menetap di sekitar Sungai Duyong, Pulau Singkep. Pendapat ini turut dikongsikan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.
III
Ungkapan ‘Raja di laut’ juga berbetulan dengan istilah Arab Amir al-Bahr yang juga boleh ditafsirkan sebagai sea lords dalam bahasa Inggeris. Daripada istilah Amir al-Bahr inilah tercetusnya istilah admiral.
Sudah tentulah ada ramai laksamana di dunia. Antara laksamana yang terkenal ialah Hayreddin Barbarossa, Zheng He (Cheng Ho), Alfonso de Albuquerque, Yi Sun-Sin, Lord Mountbatten, Isoroku Yamamoto dan ramai lagi sebenarnya.
Di alam Melayu juga terdapat ramai laksamana dan beberapa orang daripada mereka sangat terkenal. Pelik bin ganjil jika kita tidak kenal dengan laksamana terulung yang dinamakan Hang Tuah.
Walaupun nama dan kisah ajaib mengenainya diperdebatkan, tetapi catatan sejarah tentang seorang Laksamana Melaka yang ulung tidak dapat ditolak. Kisah tentang kehebatan, kebijaksanaan dan kesetiaan beliau sudah tidak perlu disurahkan lagi di sini.
Malah beliau dikatakan adalah antara laksamana Melaka yang awal dilantik (jika tidakpun yang pertama) dan atas segala jasanya, boleh dikatakan beliaulah yang mengangkat prestij jawatan laksamana sehingga setaraf dengan pembesar yang empat. Selain Hang Tuah, menantunya iaitu Khoja Hasan dan Hang Nadim (anak Hang Jebat yang diambil Hang Tuah sebagai anak angkat dan juga menantu) turut dilantik menjadi laksamana.
Selain itu, laksamana empayar Johor-Riau iaitu Laksamana Paduka Raja Tun Abdul Jamil adalah antara yang tersohor. Beliaulah yang dilantik untuk memimpin angkatan Johor-Riau yang bekerjasama dengan Belanda untuk menyerang Portugis di Melaka. Selepas beberapa kali serangan, Johor-Riau dan Belanda berjaya menumpaskan Portugis.
Tun Abdul Jamil juga adalah orang yang bertanggungjawab yang memulihkan kembali maruah Johor-Riau setelah ditumpaskan Jambi. Atas titah Sultan Ibrahim Shah Ibni Raja Bajau, Tun Abdul Jamil dan Orang Laut yang dibantu bangsawan Bugis iaitu Daeng Mangika bersama askar upahan Bugis telah menyerang Jambi dan menumpaskan mereka.
Atas kejayaan inilah beliau dikurnia gelaran Paduka Raja. Selain itu, beliau turut memainkan peranan untuk mempertahankan Johor-Riau daripada serangan Acheh.
Tun Abdul Jamil turut memperolehi kuasa untuk menjadi penasihat utama kepada Sultan yang biasanya dipegang oleh Bendahara. Malah Tun Abdul Majid dikatakan adalah pemerintah sebenar berbanding Sultan yang cuma dianggap boneka ketika itu.
Walaupun banyak berjasa terhadap empayar Johor-Riau dan memajukan pelabuhan di Riau, namun sikap Tun Abdul Jamil yang cuba menguasai pemerintahan telah membuatkan bangsawan lain kurang senang. Akhirnya, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid bangkit untuk kembali merampas kuasa daripada laksamana.
Dalam pertempuran dengan bendahara, Laksamana Tun Abdul Jamil telah terbunuh. Kisah ini menyayat hati kerana yang bertempur itu sebenarnya adalah bersaudara. Menurut silsilah, Tun Abdul Jamil adalah anak saudara kepada Tun Habib Abdul Majid. Kisah ini juga menjadi sebahagian daripada punca dan titik tolak kepada kisah interregnum serta bibit-bibit keruntuhan kerajaan Johor-Riau.
Seorang lagi laksamana yang terkenal adalah Laksamana Bentan (atau Bintan) yang bernama Megat Seri Rama. Beliau juga adalah Laksamana Johor-Riau dan zamannya berselang tidak jauh dengan zaman Laksamana Tun Abdul Jamil.
Megat Seri Rama adalah individu yang bertanggungjawab membunuh Sultan Mahmud (Mangkat Dijulang) tetapi telah dikatakan telah dipersetujui oleh bangsawan lain secara rahsia. Sultan Mahmud sebenarnya ditakhtakan semasa berumur 10 tahun oleh Laksamana Tun Abdul Jamil dan dikatakan adalah cicit beliau sendiri (kerana waris perempuan Tun Abdul Jamil ramai yang dikahwinkan dengan kerabat diraja).
Kejadian gempar tersebut berpunca daripada tindakan Sultan Mahmud yang telah menghukum bunuh isteri Laksamana Bentan hanya kerana seulas nangka. Kerana itu laksamana telah menuntut bela.
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang adalah sultan terakhir dari dinasti Melaka. Kemudiannya jawatan sultan dijawat oleh keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Dalam tempoh interregnum atau peralihan itu kekuatan Johor-Riau mula merosot dan dilatari siri pertempuran merebut takhta.
Kisah Laksamana Tun Abdul Majid dan Laksamana Bentan ternyata jauh bezanya ketimbang kisah Laksamana Hang Tuah. Mengapa agaknya? Malah Laksamana Bentan jarang-jarang kita dengar beliau digelar penderhaka walaupun tindakannya jauh melampaui tindakan Hang Jebat.
Setelah mangkat Sultan Mahmud, pewarisnya iaitu Raja Kecil cuba untuk kembali merebut takhta. Walaupun pada suatu ketika pernah berjaya, namun akhirnya baginda tewas kepada wangsa Bendahara yang disokong panglima-panglima Bugis lima bersaudara yang terkenal itu.
Lalu Raja Kecil berundur ke Siak dan menubuhkan kerajaan Siak Sri Inderapura yang juga pernah menjadi sebahagian daripada empayar Melaka dan Johor-Riau. Masyarakat Orang Laut kekal menyokong Raja Kecil.
IV
Salah seorang isteri Raja kecil ialah Tengku Masuna iaitu anakanda saudara Sultan Kedah. Ia dikatakan sebagai asbab ramai Orang Laut bergerak ke utara semenanjung. Namun sebenarnya sebelum itu lagi Orang Laut telah sedia berada di utara. Malah dengan keberadaan suku laut dari Mergui, ia menyebabkan sistem pentadbiran dan pemerintahan maritim Kedah irap Johor-Riau.
Kekuasaan Kedah yang pernah menguasai perairan daripada Pulau Pinang sehingga ke kepulauan Mergui membuatkan suku laut di Mergui dan Orang Laut turut mempunyai peranan penting di dalam Kesultanan Kedah sama seperti Kesultanan Johor-Riau. Ini turut membuatkan jawatan laksamana di Kedah sangat penting.
Antara Laksamana Kedah yang terkenal ialah Laksamana Maharaja Wan Muhammad Sidek. Ada dua kisah terkenal mengenai beliau.
Pernah suatu ketika Kedah diminta oleh Raja Siam (Rattanakosin) iaitu Rama I untuk memerangi pemberontakan di Patani. Tetapi laksamana sengaja melambat-lambatkan bantuan kerana tidak sanggup memerangi saudara seagama dan sebangsa. Ini membuatkan Siam dan Ligor (satu lagi kerajaan naungan Siam) yang menyerang Patani berasa marah.
Beberapa tahun kemudian Siam sekali lagi – kali ini oleh Rama II – meminta pertolongan Kedah untuk memerangi Burma. Armada pimpinan Laksamana Wan Muhammad Sidek berjaya mengalahkan Burma walaupun Ligor melakukan perbuatan sabotaj dengan sengaja tidak membantu Kedah semasa pertempuran bagi membalas dendam atas kejadian di Patani. Tindakan ini membuatkan Siam marah kepada Ligor pula.
Atas kejayaan dan kehebatan tersebut Laksamana Wan Muhammad Sidek dinaikkan pangkat Bendahara bergelar Seri Paduka Maharaja Sura. Wan Muhammad Long kemudiannya dilantik menjadi laksamana.
Namun begitu Wan Muhammad Long terkorban di Kota Setar akibat serangan Siam semasa Perang Musuh Bisik. Dalam Perang tersebut Kedah telah tewas dan dijajah Siam.
Wan Ismail bin Wan Muhammad Long dilantik menjadi laksamana bagi menggantikan ayahnya. Bagi merebut kembali Kedah dan mengembalikan takhta kepada Sultan Kedah, Laksamana Wan Ismail, Tunku Kudin, Tunku Anom dan ramai lagi perwira Kedah telah melakukan usaha daripada serangan gerila, pertempuran, perundangan dan rundingan damai serta diplomasi. Akhirnya Sultan Kedah kembali bertakhta dan Kedah kembali berdaulat tetapi dinaungi Siam.
V
Namun hakikat yang paling penting selepas zaman interregnum Johor-Riau dan selepas era Perang Musuh Bisik di Kedah, hubungan Sultan dan Orang Laut berubah mendadak. Orang Laut tidak lagi menjadi tunjang kekuatan kerajaan. Di Johor-Riau, kekuatan di laut telah diambil alih peranannya oleh masyarakat Bugis yang juga hebat di laut.
Banyak jawapan yang cuba diberi namun kita tidak tahu apa jawapannya yang sebenar. Ada yang mengatakan bahawa struktur politik tradisional telah berubah. Mungkin juga Raja-Raja yang terhasil daripada pecahan Empayar Johor-Riau mengambil sikap-sikap berhati-hati kerana sokongan Orang Laut yang sebelum itu memihak kepada Tun Abdul Jamil dan kemudiannya menyokong Raja Kecil. Atau juga mungkin Orang Laut sendiri yang menarik diri kerana perselisihan-perselisihan yang telah terjadi.
Maka begitu jugalah laksamana, setelah dua kali ‘menderhaka’, mungkin kesetiaan laksamana sukar lagi mendapat kepercayaan.
Di Kedah pula, mereka kehilangan banyak takluk termasuk kehilangan wilayah laut dan pulau kepada Siam. Mungkin kerana itu Orang Laut dan suku laut yang lain tidak lagi tunduk kepada pemerintah Kedah.
Dengan ‘menghilangnya’ Orang Laut dalam arena politik dan pemerintahan membuatkan laksamana yang selama ini menjadi ketua mereka dan perantara kesetiaan dan bakti Orang Laut terhadap Sultan juga menjadi kurang peranannya. Laksamana cuma menjadi pembesar yang lebih bersifat simbolik tanpa lagi menjadi ‘Raja di laut’ yang sebenar.
Ada juga beberapa cerita tentang laksamana di Bengkalis yang dijabat oleh Orang Bugis setelah penarikan diri oleh Orang Laut, namun ia tidak mampu mengembalikan prestij dan peranan jawatan laksamana. Kisah tersebut dipetik dan dilagukan dalam nyanyian “Laksamana Raja Dilaut”.
Namun begitu istilah laksamana tetap diabadi sebagai jawatan tertinggi tentera laut di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Begitu juga dengan legenda dan mitos tentang laksamana, ia sentiasa menjadi roman dan hero romantisisme yang sentiasa mengisi sanubari orang Melayu, Malaysia dan Nusantara.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Berita Harian
Rujukan dan kredit:
- Kedah: The Foundations and Durability of Malay Kingship (Disertasi Kedoktoran) – Maziar Mozafarri Falarti
- Hang Tuah Adiwira Bangsa – Steven Sim.
- Peranan dan Penglibatan Orang Laut Johor-Riau Semasa Era Kerajaan Melayu Tradisional, Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 13, Bil. 1 – Roziah Mohamad Ali & Khairi Ariffin
- Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long: Pahlawan Kedah di Kerian dalam Perang Musuh Bisik 1821 - 1842, Jurnal Dunia Pengurusan Vol. 2 No. 3 – Shukri Janudin & Zaimilah Yusoff.
- Hang Tuah Keturunan Sekana, Suku Melayu Asli Laut di Indonesia, Malaysiakini.
- Sejarah (Kecamatan Bukit Batu), Laman sesawang rasmi kecamatan Bukit Batu Kabupaten Bengkalis.
- Sejarah Keluarga Diraja, Berita Harian (Singapura) – Dr. Hadijah Rahmat.
- Belajar Dari Laksamana Melayu, jantungmelayu.com – Rendra Setyadiharja.
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.