Keluarga Sidek: Penakluk sukan badminton dunia

Keluarga Sidek: Penakluk sukan badminton dunia

Nama Sidek tidak dapat dilupakan malah menjadi kebanggaan bagi rakyat Malaysia. Hal ini disebabkan oleh kejayaan seorang lelaki bernama Sidek Abdullah Kamar yang telah berjaya menjadikan anak-anak lelakinya berkebolehan dalam sukan badminton. Lima Sidek bersaudara yang terdiri daripada Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid melakar sejarah penting buat Malaysia dalam sukan ini di mata dunia.

Sidek Abdullah Kamar bapa di gelanggang

Jika diteliti tentang pendekatan, prinsip dan teknik yang diguna pakai oleh Datuk Sidek dalam melatih kelima-lima anaknya bermain badminton, beliau menumpukan sepenuhnya kepada aspek disiplin dan kerajinan mereka berlatih setiap hari.

Datuk Sidek membina beberapa buah gelanggang badminton di halaman rumah mereka dan meminta anak-anaknya sentiasa turun ke gelanggang untuk berlatih.

Beliau sangat tegas dan dikatakan 'garang' dalam mendidik anak-anaknya tetapi sering mengucapkan tahniah jika mereka meraih kejayaan. Inilah karakter Datuk Sidek. Ucapan tahniah itu sebagai suatu bentuk penghargaan kepada anak-anak yang telah berusaha keras. Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka mampu mencipta beberapa teknik tersendiri untuk melemahkan pihak lawan.

Anak-anak Sidek

Pada usia muda, kesemua anak-anak lelaki Sidek mula mencuri tumpuan ramai terutamanya Misbun. Hal ini bermula apabila beliau menjadi juara bawah 18 tahun pada kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Adiknya Razif atau dikenali sebagai Mok bergandingan dengan adiknya Jalani juga meraih gelaran juara bagi kategori regu bawah 15 tahun.

Begitu juga Abdul Rahman yang mewakili negeri Selangor pada usia kanak-kanak iaitu 11 tahun dan menjadi juara MSSM kategori bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun.

Tidak ketinggalan anak lelaki terakhir Sidek iaitu Abdul Rashid yang turut mengikut jejak langkah abang-abangnya apabila pernah ditabal juara bawah 18 tahun MSSM dan kini beliau menjadi seorang jurulatih kebangsaan.

Kejayaan Misbun Sidek

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Misbun anak lelaki sulung Sidek Abdullah Kamar ini sebagai pemain atau jurulatih pasukan kebangsaan. Sejak usia muda, beliau telah mengecapi banyak kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertainya. Sewaktu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, beliau telah menjadi juara sebanyak 7 kali dalam acara perseorangan sejak berusia 18 tahun.

Beliau juga pernah berdiri sama tinggi dengan pemain senior kebangsaan yang lain seperti Saw Swee Leong, Ong Teong Boon, Kwek Chiew Peng dan ramai lagi. Di sudut kejurulatihan pula, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara seperti Datuk Lee Chong Wei selain pemain seperti Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan ramai lagi.

Servis unik Misbun

Misbun sememangnya mempunyai kekuatan fizikal yang menakjubkan dan daya fikiran yang sangat tajam. Beliau pernah mencipta satu teknik servis yang agak unik dan luar biasa, dikenali sebagai “Servis Sidek” atau S-serve. Teknik ini telah berjaya mengelirukan ramai pemain lawan sehingga teknik ini menjadi daya muslihat untuk memperdayakan lawan menerima hantaran pertama setiap servis. Pemain lawan perlu memberi tumpuan yang sangat tinggi bagi memastikan kelajuan bulu tangkis tersebut kerana keadaan bulu tangkis yang melayang dan berputar-putar. Walau bagaimanapun, teknik ini diharamkan oleh International Badminton Federation (IBF) pada 1 Julai 1982.

Gandingan adik-beradik

Ajib atau nama penuhnya Mohamed Razif merupakan pemain badminton bagi acara beregu, digandingkan bersama adiknya iaitu Mohd Jalani atau lebih manja dipanggil dengan nama Alan. Keserasian, kekuatan dan taktik mereka berdua yang kerap bermain dengan rali yang panjang membuatkan gandingan mereka digelar ‘telepathic’.

Ajib seorang pemain yang serba boleh kerana sebelum bermain dalam acara regu, beliau telah bermain dalam acara perseorangan dan beregu campuran. Gandingan adik-beradik ini amat digeruni pihak lawan sejak menjuarai kejohanan Seluruh England pada tahun 1992 dan dianggap wira dalam catatan sejarah Malaysia kerana meraih pingat pertama negara dalam sukan Olimpik pada tahun itu.

Abdul Rahman atau lebih mesra dengan nama panggilan ‘Aman’ merupakan seorang pemain yang mempunyai disiplin yang tinggi dan amat dedikasi dalam latihan mahupun perlawanan. Selain memiliki kelebihan smash yang tajam, beliau juga mahir mengawal bulu tangkis. Beliau sering melakukan aksi memanaskan badan terlebih dahulu sebelum disuruh oleh jurulatih.

Anak bongsu Allahyarham Sidek, Rashid atau Adul’ pula merupakan generasi terakhir anak-anak Sidek dalam sukan badminton tanah air. Namanya menjadi sebutan ramai pihak apabila dianggap sebagai hot prospect kerana muncul juara pada kejohanan tempatan ketika masih pada usia yang sangat muda tetapi lain pula cerita pada peringkat antarabangsa kerana kegagalan menyerlah membuatkan beliau dilabel hanya sebagai ‘jaguh kampung’.

Banyak anugerah dan kejayaan yang diperoleh anak-anak Sidek dalam sukan badminton. Anak lelaki sulung Sidek iaitu Misbun telah menjadi Olahragawan Kebangsaan sebanyak 2 kali, naib juara Piala Dunia (1982) dan kejohanan All England (1986).

Gandingan duo Razif dan Jalani pula muncul juara bagi acara regu pada pentas antarabangsa sebanyak 29 kali. Adik bongsu mereka iaitu Rashid juga tidak kurang hebatnya kerana pernah memenangi beberapa anugerah berprestij seperti juara Piala Thomas (1992) dan pernah menjadi Olahragawan Kebangsaan sebanyak 4 kali. Hanya Rahman atau Aman hanya sekadar pemain yang mewakili skuad kebangsaan pada kejohanan Piala Thomas (1992).

Legasi keturunan Sidek

Adakah legasi keturunan Sidek akan terus mencapai kejayaan dalam sukan badminton selepas tamatnya perjalanan anak-anak Sidek dalam sukan ini? Persoalan ini sentiasa menjadi tanda tanya banyak pihak pada hari ini. Setelah tamatnya dominasi anak-anak Sidek dalam sukan badminton sebagai pemain, ada dalam kalangan mereka masih aktif di arena sukan ini sebagai jurulatih seperti Misbun dan Rashid Sidek.

Namun begitu, Misbun mempunyai seorang anak bernama Misbun Ramdan dan Fazriq anak kepada Razif Sidek menjadi pilihan kerana kedua-duanya sedang meningkat naik dalam sukan ini. Karier Misbun Ramdan mungkin menghampiri penghujung kerana semakin mencecah usia 30 tahun tetapi Fazriq seorang pemain yang masih remaja dan berpotensi untuk menjadi pemain badminton yang hebat untuk meneruskan legasi kegemilangan keturunan Sidek dalam sukan badminton.

Kejayaan-kejayaan yang diperoleh lima bersaudara Sidek ini sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai lagi pada masa ini. Jika ada sekalipun hanyalah kejayaan peribadi seseorang pemain tanpa melibatkan gandingan kelompok adik beradik seperti apa yang pernah diraih ahli keluarga Sidek ini.

Diterjemah dalam siri animasi “Anak-Anak Sidek”

Perjalanan hidup Sidek dan anak-anaknya telah diceritakan dalam sebuah filem animasi yang disiarkan di rancangan televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sebuah buku komik autobiografi bertajuk Anak-anak Sidek yang diterbitkan oleh syarikat Pengedaran JAS Sdn. Bhd.

Filem animasi yang mempunyai 39 episod sejak tahun 1999 sehingga 2003 itu telah menceritakan jalan cerita anak lelaki Sidek mengalami proses pembangunan dalam sukan badminton di samping aktiviti-aktiviti sosial yang dilalui oleh mereka.

Karya biografi ini telah menerima permintaan yang sangat tinggi daripada pembaca dan penonton kerana jalan ceritanya adalah kisah benar tentang kehidupan anak-anak Sidek.

Kebanggaan negara

Kanak-kanak pada zaman ini mungkin tidak mengenali kisah hidup keluarga Sidek. Kejayaan yang telah dilakar oleh keluarga Sidek dalam sukan badminton akan menjadi sejarah kegemilangan Malaysia suatu ketika dahulu.

Kelima-lima anak lelaki kepada Sidek Abdullah Kamar ini telah menjadi hero dan kebanggaan negara dengan pelbagai pencapaian dan anugerah yang diraih dalam sukan badminton.

Sumbangan keluarga Sidek kepada negara tidak perlu disangkal lagi sehinggakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib telah membina sebuah monumen keluarga Datuk Sidek pada tahun 1992 di kediaman keluarga itu di Kanchong Darat, Banting, Selangor. Monumen ini sebagai tanda ingatan dan memberi inspirasi kepada generasi baharu.

Syazwan Che Noor merupakan seorang pemerhati dan pengkritik sukan

Foto kredit: bharian.com.my

 

 

Share this Post: