Sesekali melewati bahagian sayuran organik di supermarket dan meneliti tanda harganya, saya terfikir adakah sayuran organik hanya untuk golongan kayangan? Tidak layakkah golongan marhaen untuk menikmati pilihan sayuran yang lebih selamat dan sihat?
Persoalan ini membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak di kebun organik grandpa.
Ketika saya berumur antara 7 hingga 13 tahun, saya dijaga oleh datuk. Grandpa, begitulah saya gelarkan beliau yang berketurunan Portugis-Serani, seorang bekas pesara pejabat pos dan pernah berkhidmat sebagai askar wataniah suatu ketika dahulu. Selama 6 tahun, pada setiap subuh saya akan dihantar ke rumah grandpa. Beliau menjaga dan membantu saya bersiap-siap ke sekolah. Beginilah rutin setiap hari kecuali ketika arwah mama saya bercuti.
Grandpa sangat manjakan saya, mungkin kerana saya satu-satunya cucu lelaki. Banyak aktiviti yang kami lakukan bersama. Momen-momen yang kami cipta adalah kenangan terindah zaman kanak-kanak saya. Tanpa saya sedari, garis waktu inilah yang membentuk saya menjadi seorang petani sayuran organik.
Memilih sayur dan buah cara grandpa
Hampir setiap hari saya akan menemani grandpa ke kedai berdekatan untuk membeli bahan-bahan basah. Satu perkara yang paling saya ingat ialah proses grandpa memilih sayur-sayuran. Beliau akan meneliti setiap inci sayur untuk memastikan sayur tersebut ada kesan di makan serangga. Buah-buahan juga begitu. Tabiat grandpa yang istimewa ini menarik perhatian pemilik kedai sehingga beliau akan menyimpan sayur-sayuran dan buah-buahan sebegini khas untuk grandpa.
Grandpa menerangkan bahawa kita perlu pandai memilih sayuran yang kurang beracun. Jika serangga memilih untuk makan sayuran tersebut, tentu sekali sayuran tersebut adalah pilihan yang selamat. Grandpa juga menjelaskan bahawa haiwan pemakan buah dikurniakan naluri untuk memilih buah-buahan yang terbaik. Hal ini ternyata menjelaskan kebiasaan grandpa membeli nanas, cempedak, dan tembikai yang berlubang sedikit.
Kebun keluarga
Grandpa menetap di sebuah rumah teres dengan laman yang agak luas. Di laman inilah grandpa bercucuk tanam pelbagai jenis sayuran dan hiasan. Seingat saya, antara tanaman yang ada ialah aneka jenis cili,terung, sawi, kangkung, bayam, labu air, dan labu manis. Tanaman hiasan pula adalah bunga matahari, marigold, chrysanthemum, daisy, pudina dan selasih. Ini sahaja tanaman hiasan yang ada. Tiada bunga-bungaan lain.
Setiap hari, menjadi tugas saya untuk menyiram pokok. Namun begitu, cara siramannya tentu sekali cara grandpa! Grandpa dengan khusus menegaskan segala tanaman tidak boleh disiram dengan air paip secara terus. Semua tanaman mesti disiram dengan air yang telah disimpan semalaman. Pada waktu petang pula, tanaman sayuran perlu disiram dengan air basuhan beras yang telah disimpan dari tengah hari. Kadang-kadang, air basuhan ikan juga digunakan sekiranya pada hari itu ikan menjadi juadah makan tengah hari kami.
Sisa makanan sebagai baja
Sekali sekala, grandpa masak makanan yang istimewa - ketam atau udang. Kulit ketam dan udang ini tidak dibuang sahaja, begitu juga kulit telur. Semuanya akan dibasuh, dikeringkan dan kemudian dihancurkan. Serbuk ini grandpa simpan dalam bekas kedap udara dan akan digunakan sebagai baja. Kulit buah-buahan grandpa letakkan di dalam pasu atau di perdu pokok.
Hasil tanaman sayur grandpa semuanya cantik-cantik dan besar-besar. Saya juga ingat yang grandpa sering rendam bawang merah dan bawang putih dan diperam sehingga seminggu untuk disiram sebagai kawalan serangga.
Inilah dia kaedah tanaman sayuran secara organik paling mudah dan murah (serendah sifar!) yang dilakukan oleh seorang pesara berusia 70-an dengan cucunya yang masih bersekolah rendah. Jika kami waktu tahun 80-an boleh buat, apatah kita yang berada pada tahun 2022 tentu sahaja boleh malah pasti lebih hebat lagi!
Kearifan lokal (local wisdom) dalam berkebun
Lebih kurang 30 tahun kemudian iaitu pada tahun 2010, saya pula mengusahakan tanaman sayuran secara organik dengan skala yang lebih besar. Saya mengikuti kursus-kursus anjuran agensi kerajaan dan persendirian. Perkara yang mengejutkan adalah semua yang saya belajar melalui aktiviti berkebun dengan grandpa dahulu, ada banyak persamaan dengan pendidikan formal yang saya terima dan praktikkan sekarang.
Sebagai contoh, tanaman hiasan yang ada di laman grandpa dahulu, secara spesifik ada dinyatakan dalam manual tanaman sayuran organik sebagai tanaman yang digalakkan tanam untuk menghalang gangguan serangga perosak.
Sayangnya, saya tidak berpeluang untuk bertanya kepada grandpa, bagaimana beliau boleh tahu segala ilmu-ilmu ini? Sedangkan setahu saya grandpa tidak pernah menghadiri mana-mana kursus, tiada juga buku atau manual di rumah, internet juga tiada ketika itu! Pendedahan awal melalui aktiviti bersama grandpa ini telah menjadi benih dan kini tumbuh subur hingga akhirnya saya diizinkan Allah untuk mengusahakan kebun organik sendiri.
Sayur organik untuk semua
Begitulah kisah pendidikan awal saya dalam bidang tanaman tanpa racun bersama grandpa saya. Sesiapa sahaja boleh usahakan asalkan ada kemahuan. Semoga kisah saya dan grandpa membuktikan sayuran organik mampu dinikmati oleh sesiapa sahaja tanpa mengira status.
Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan marhaen.
Foto kenangan penulis bersama Grandpa
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.