Sebenarnya ini bukan tulisan pasal bola sepak. Cuma pernahkah kita terfikir bagaimana sukan bola sepak bermula dan kemudian berevolusi menjadi bola sepak moden?
Apakah memang semenjak dahulu sukan bola sepak siap dengan segala macam peraturan ofsaid, saiz padang, kad kuning dan sebagainya? Perbincangan ini cuba menggunakan sukan bola sepak sebagai asas perbandingan ringkas kepada teori kebebasan, anarki dan pembentukan konsep bernegara.
Sebelum bola sepak moden diasaskan, ada pelbagai teori tentang bagaimana sukan bola sepak bermula. Rekod sejarah juga menunjukkan bahawa permainan yang menggunakan bola dan sepakan kaki ada dicatatkan di tamadun Yunani kuno, China kuno dan Mesoamerica.
Cuba bayangkan kita semua berada di satu padang. Ada 22 orang semuanya dan sebiji bola. Lalu secara asas kita akan bermain permainan ‘monyet’, 21 orang akan bermain hantaran bola satu sama lain dan akan ada seorang di tengah untuk merebut bola tersebut.
Kemudian kita membahagikan sesama kita menjadi dua, 11 orang setiap pasukan. Lalu kita membentuk dua tiang gol yang ala kadar sebagai matlamat untuk memasukkan bola ke dalam gol tersebut. Masih tiada garisan, tiada peraturan yang terperinci dan tiada pengadil.
Di sini saya cuma membayangkan situasi rekaan bagaimana sukan bola sepak moden yang dibentuk daripada bentuk asal sukan tersebut menggunakan evolusi dari sukan sepak raga kepada sukan sepak takraw. Rasanya andaian ini tidak keterlaluan.
Dalam situasi ini – yang saya andaikan sebagai situasi asasi atau semulajadi – apakah kita akan bermain bola sepak atau sepak raga ini secara kasar, langsung tiada peraturan, dan bermain secara sesuka hati?
Jawapan saya tidak. Kerana bermain secara kasar dan sesuka hati cuma akan menyakitkan hati dan mencederakan diri kita sesama sendiri.
Sudah tentu kita akan bermain dengan peraturan asas yang dipersetujui sesama kita sendiri. Kendati tiada pengadil dan tanpa peraturan khusus, kita akan cuba bermain dengan bebas dan gembira sambil cuba mengelakkan diri masing- masing daripada dicederakan. Prinsipnya mudah, jika kita bermain kasar maka orang lain juga akan mengasari kita.
Namun dalam situasi ini, sudah pasti ada seseorang yang lebih kuat dan berpengaruh berbanding yang lain. Ini membuatkan orang lain terpaksa tunduk dan patuh terhadapnya. Situasi ini memiripi pendapat John Locke tentang keadaan asal atau semulajadi dan kebebasan asasi seseorang.
Saya teringat di waktu lalu, saya dan kawan-kawan adakala akan bermain bola sepak dengan pasukan dari kejiranan lain. Bermain di ruang lapang pinggir taman permainan, tanpa pengadil dan tanpa garisan. Kami bermain seupaya mungkin malah seadil mungkin. Kami cuba tidak bermain dengan kasar walaupun ada seorang dua daripada kami adakala melampaui batas.
Namun Thomas Hobbes tidak berfikiran begitu. Hobbes membayangkan bahawa keadaan semulajadi sebagai situasi yang kacau bilau dan sengit. Jika menggunakan analogi permainan bola sepak tanpa undang-undang dan pengadil, kita akan bermain secara kasar dan membentes kaki orang lain sesuka hati sehingga cedera demi mendapatkan bola.
Maka dalam keadaan ini 22 orang diantara kita terpaksa menjaga diri sendiri daripada kecederaan. Nak bermain bola sepak pun susah.
Jadi untuk menyelesaikan masalah tekanan dari mereka yang lebih kuat atau situasi yang kacau bilau, maka masyarakat menubuhkan negara, melantik ketua dan mengadakan undang-undang. Kebebasan asasi dalam keadaan semulajadi kini ditukar kepada kebebasan sivil dan pembentukan negara kononnya lebih memberi jaminan.
Maka untuk mencipta permainan bola sepak yang lebih teratur, undang-undang mesti dibentuk dan pengadil (dan penjaga garisan) mesti dilantik bagi mengadili perlawanan. Ini menjamin kebebasan dan keselamatan pemain untuk untuk menggelecek, menanduk atau menghantar bola. Pemain yang melakukan bentesan sesuka hati akan dihukum walaupun dia bintang terkenal – di atas padang semuanya setara.
Ini bermaksud undang-undang menegakkan keadilan dan pengadil akan menjamin kebebasan pemain untuk melakukan apa sahaja tindakan yang tidak menyalahi peraturan. Pemain boleh berusaha apa sahaja untuk menjaringkan gol tanpa takut dikasari pihak lawan walaupun ruang untuk kekasaran tersebut tetap ada – hey ini bola sepaklah!
Jaminan kebebasan melalui undang-undang yang diawasi oleh pengadil ini sudah tentu menjadi faktor keberjayaan pemain-pemain hebat sejak bola sepak moden mula diperkenalkan merentasi zaman seperti Pele, Mokhtar Dahari, Maradona, Beckenbauer, Cruyff, Cristiano Ronaldo dan ramai lagi. Agak-agak Messi boleh menggelecek bola sesuka hati ke kalau bola sepak tanpa peraturan?
Di antara kebebasan asasi dan kebebasan sivil inilah terjadinya persimpangan kebebasan positif dan kebebasan negatif seperti yang dikemukakan oleh Isaiah Berlin. Berlin cenderung bersetuju dengan kebebasan sivil seperti yang dipercayai oleh Thomas Hobbes – bahawa pihak berkuasa boleh menetapkan apa-apa sahaja undang-undang yang dikira wajar.
Kebebasan cuma bermaksud kebebasan daripada paksaan dan bukannya kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang disukai. Bagi mereka inilah kebebasan sivil, namun kurang ciri-ciri kebebasan asasi.
Sebaliknya kebebasan yang diperjuangkan oleh Locke dan Tocqueville (serta ramai lagi) lebih memihak kepada kebebasan asasi manusia (rakyat) contohnya hak untuk berhimpun dan bersuara misalnya. Namun ia dikategorikan sebagai kebebasan negatif oleh Berlin.
Bola sepak digelar sebagai ‘a man’s game’, namun sebaliknya ia mempunyai sisi ‘a gentleman’s game’. Rasanya saya tidak perlu menerangkan frasa tersebut secara panjang lebar. Waima ada pemain yang sedikit kasar, namun ada juga yang bersungguh-sungguh patuh pada peraturan. Malah ada pemain yang menunjukkan etika dan semangat kesukanan yang tinggi. Begitu juga dalam realiti kehidupan kita.
Pemain-pemain (dan jurulatih) seperti Paolo Di Canio dan Arsene Wenger pernah menunjukkan semangat kesukanan yang sangat tinggi pasti diingati. Paolo Di Canio pada tahun 2000 yang mewakili West Ham United ketika menentang Everton, beliau menghentikan perlawanan saat berpeluang menjaringkan gol. Ini kerana penjaga gol pasukan lawan telah tercedera namun pengadil tetap meneruskan perlawanan.
Wenger pula menawarkan perlawanan semula ketika perlawanan Piala FA ketika Arsenal bertemu Sheffield United dan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) bersetuju. Tindakan ini diambil Wenger kerana semasa perlawanan antara kedua-dua pasukan, satu kesalahfahaman telah berlaku tentang peraturan dan Arsenal dapat menjaringkan gol dalam situasi tersebut serta memenangi perlawanan.
Tetapi kehidupan sudah pasti tidak semuanya indah. Masih ingat gol ‘The Hand of God’ Maradona? Saya tidak mahu komen panjang. Maka ketika hanya pengadil yang gagal melihat ketidakadilan malah mungkin bersikap berat sebelah, kita mula tertanya – apa gunanya pengadil?
Malah ada juga peraturan-peraturan yang dilihat agak ‘rigid’ seperti peraturan ofsaid. (Bekas) pemain seperti Marco van Basten dan beberapa orang lagi mengkritik undang-undang ofsaid yang dilihat adakala mengelirukan dan menyukarkan pemain.
Peraturan ofsaid diperkenalkan bertujuan untuk menghalang pemain lawan daripada sentiasa berlegar di kawasan tiang gol. Namun kini ia sering digunakan sebagai perangkap dan mengelirukan pemain dan penyerang pasukan lawan. Mana ada pemain yang tidak bergerak dan ‘parking’ depan gol lawan, macam mana nak dapat bola? Filippo Inzaghi yang banyak kali ofsaid itu pun tak buat kerja macam itulah.
Pemain terutamanya penyerang sepatutnya dibiarkan bermain secara bebas dengan kebolehan asasinya. Pandai-pandailah pemain pertahanan untuk menggunakan kebolehan bagi mengawal pemain lawan.
Maka apakah wajar undang-undang yang menafikan keasasian dipertahankan demi menghalang seorang dua pemain yang agak nakal?
Satu lagi contoh peraturan yang kurang masuk akal ialah peraturan ‘golden goal’ ketika masa tambahan. Kita langsung tidak berpeluang membalas jika pihak lawan dapat menjaringkan gol, perlawanan akan terus tamat. Ini membunuh keasasian.
Akibatnya ketika masa tambahan, banyak pasukan akan cuma bertahan sedaya upaya sehingga tamat masa bagi mendapatkan situasi penalti penentuan. Nasiblah peraturan ini dihapuskan.
Peraturan yang ‘rigid’ ini adakala membuatkan kita terfikir juga, apa gunanya peraturan yang ditentukan badan pengawasan? Ketika pengadil dan peraturan kurang berfungsi, bukankah kita boleh menentukan situasi sesama sendiri? Ia lebih menjamin kebebasan yang kita mahukan. Maka secara asas inilah situasi yang dibangkitkan oleh pihak Anarkisme dan Libertarianisme.
Mereka bukannya mahukan kekacauan, tetapi bagi mereka peraturan tidak boleh dipaksa, tambah-tambah peraturan yang mengarut. Kontrak sosial, perlembagaan dan undang-undang sifatnya harus berdasarkan persetujuan rakyat dan bukannya paksaan – tidakkah begitu sifat awal dan asal sesebuah negara?
Kerana itu kebebasan asasi dibarterkan dengan kebebasan sivil. Manusia tidak menjual kebebasan asasi untuk mencari penindasan, penipuan, kecurangan, perperangan dan kezaliman!
Anarkisme menyeru kepada pembubaran sistem kenegaraan dan segala undang-undangnya. Ini tidak pelik, lihat sahaja hubungan antarabangsa sebagai contoh – dunia yang tanpa ketua dan hirarki (PBB bukan ketua) ini mampu hidup aman dan setiap perjanjian perdagangan misalnya dipersetujui sesama sendiri dengan peraturan yang dipersetujui sesama sendiri. Saya kira inilah pendapat Noam Chomsky.
Seruan ini lebih kepada seruan untuk kembali kepada ‘state of nature’ atau keadaan semulajadi. Mungkin seperti yang Locke bayangkan namun dengan keadaan individu dan masyarakat yang jauh lebih matang dan bukannya sekeliling yang huru-hara. Pada titik ini, anarki nampak seperti liberti (kebebasan [asasi]).
Libertarian pula tidak menyeru kepada pembubaran negara. Tetapi cukuplah sekadar kembali kepada peringkat awal penubuhan konsep negara yang mana tidak mengawal segala serba-serbi mengenai rakyatnya. Cukuplah peraturan asas dan selebihnya akan diperkasakan oleh masyarakat serta individu dengan cara yang matang juga.
Bagi saya kata kuncinya ialah kebebasan asasi perlu diangkat di samping kebebasan sivil selagi tidak menganggu masyarakat. Undang-undang mesti jelas menjulang keadilan. Pihak berkuasa tidak boleh berat sebelah. Jika tidak, kita sendiri yang memaksa untuk kembali kebelakang.
Kerana bola sepak juga pada mulanya ialah permainan rakyat dan marhaen mencari kebebasan serta kebahagiaan, bukannya tempat bagi mereka yang tamak mencipta laba dan didominasi oleh mereka yang kaya-raya. Setuju atau tidak?
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Undercurrent Philosophy
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.