Istanbul, ibu kota bagi Turki, salah sebuah negara yang berada di benua Eropah. Pada 25 Mei 2005, bertempat di Stadium Olimpik Ataturk – Eropah dan dunia menyaksikan sebuah keajaiban apabila pasukan Liverpool dijulang sebagai juara Eropah selepas menundukkan pasukan AC Milan di pentas akhir kejohanan EUFA Champions League (UCL). Atas beberapa sebab, ianya dianggap sebagai sebuah keajaiban pada waktu itu. Antara yang paling ketara adalah apabila di atas kertas, ramai menjangkakan pasukan AC Milan bakal dengan mudah memenangi kejohanan tersebut dek prestasi pasukan yang rata-rata diwakili oleh ramai pemain berkelas dunia, berbanding Liverpool yang hanya turun bermain dengan reputasi sederhana selain tidak dilihat memiliki pemain bintang.
Pasukan Liverpool merupakan wakil dari Liga Perdana Inggeris sekaligus mewakili England bersama tiga lagi pasukan lain iaitu Manchester United, Chelsea dan Arsenal yang turut layak beraksi di pentas Eropah tahun itu. Liverpool ketika itu diuruskan oleh pengurus asal Sepanyol, Rafael Benitez dengan diketuai pemain tempatan Inggeris, Steven Gerrard. Pasukan AC Milan yang menjadi wakil negara Itali pula diuruskan oleh anak jati negara tersebut Carlo Ancelotti di samping pemain vateran Paolo Maldini sebagai ketua pasukan. Sebelum perlawanan bermula, Liverpool memegang status sebagai perangkul piala UCL sebanyak empat kali yang dimenangi terakhir pada tahun 1984 di Rom, Itali, manakala AC Milan pula gah dengan rekod enam kali kejuaraan, termasuk kali terakhir memenanginya hanya dua tahun sebelum bertemu Liverpool.
Perlawanan ini menjadi menarik kerana berlangsung selama 120 minit selepas kedudukan kekal terikat dengan jaringan 3-3 dalam 90 minit tempoh permainan. Tambahan masa selama 30 minit juga tidak menghasilkan sebarang gol sehingga memaksa kedua-dua pasukan meleraikan kedudukan seri tersebut melalui sepakan penalti bagi menentukan pemilik trofi UCL edisi 2004-2005. Tuah memihak kepada Liverpool selepas memenangi penentuan sepakan penalti dengan skor 3-2 yang berjaya disempurnakan oleh Dietmar Hamnn, Djibril Cisse dan Vladimir Smicer. Sementara pemain AC Milan Serginho, Andre Pirlo dan Andriy Shevchenko pula gagal menyempurnakan sepakan penalti mereka. Antara yang menonjol adalah gaya penjaga gol Liverpool, Jerzy Dudek yang berjaya mengeliru dan memperdaya pemain lawan sehingga gagal menyepak bola menerjah jaring.
Pasukan AC Milan ketika itu dibarisi oleh hampir kesemua pemain berkelas dunia seperti Ricardo Kaka, Cafu, Dida, A. Nesta, Paolo Maldini, Clarence Seedorf, Andre Pirlo, Andriy Shevchenko, Hernan Crespo, Filippo Inzaghi. AC Milan juga mempunyai barisan pemain simpanan yang bagus seperti Cristian Abbiati, Rui Costa, Serginho, Kacha Kaladze dan John Dahl Tomasson. Pasukan Liverpool pula hanya dibarisi oleh pemain-pemain bukan pilihan seperti Jerzy Dudek, Steve Finnan, Jamie Carragher, Sami Hyypia, Djimi Traore, Xabi Alonso, Steven Gerrard, John Arne Riise, Harry Kewell dan Milan Baros. Begitu juga pemain-pemain simpanan yang menjangkau dan melepasi usia 30 tahun seperti Dietmar Hamann, Djibril Cisse dan Vladimir Smicer.
Selama 2 jam perlawanan tersebut berlangsung, suasana di Stadium Olimpik Ataturk sangat riuh dengan sorakan lebih 69,000 penonton. Di luar stadium, jutaan lagi peminat dari seluruh pelusuk dunia turut menonton dari kaca televisyen. You’ll Never Walk Alone yang dinyanyikan oleh warga Liverpool berkumandang di seluruh stadium, manakala penyokong AC Milan pula mengibarkan pelbagai sepanduk, menyalakan bunga api dan bersorak menyebut nama pemain-pemain pasukan tersebut. Jeritan suara dari pelbagai sudut stadium menghangatkan suasana ketika itu, lantas mendorong pemain untuk beraksi dengan lebih yakin dan berani.
Dalam perlawanan itu, sebaik sahaja permainan berlangsung pada minit pertama, kapten pasukan AC Milan Paolo Maldini berjaya menjaringkan gol voli hasil daripada sepakan sudut Andre Pirlo dan menjadikan beliau sebagai penjaring gol tertua dalam sejarah UCL, iaitu pada usia 36 tahun. Gol kedua dan ketiga AC Milan hadir pada minit ke-39 dan ke-40 menerusi Hernan Crespo. Dalam mana-mana situasi biasa, tiga jaringan tersebut hampir pasti sudah menjamin kemenangan buat AC Milan. Di sinilah bermulanya keajaiban Istanbul. Pada minit ke-54, kapten Liverpool, Steven Gerrard berjaya menanduk masuk hantaran lintang John Arne Riise dari sebelah kiri padang. Berbekalkan momentum tersebut, hanya selang dua minit kemudian, tiba giliran Vladimir Smicer merapatkan kedudukan selepas rembatan dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol AC Milan, Dida. Xabi Alonso akhirnya menyamakan kedudukan 3-3, dengan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Steven Gerrard dijatuhkan dalam kawasan penalti.
Selepas mengharungi pertempuran selama 120 minit, kedua-dua pasukan masih terikat dengan jaringan 3-3 sehingga memaksa keputusan perlawanan perlu ditentukan melalui sepakan penalti. Lima pemain AC Milan yang mencatat nama sebagai pengambil sepakan penalti ialah Serginho, Andre Pirlo, J.D. Tomasson, Kaka dan Andriy Shenchenko sementara pasukan Liverpool pula diwakili oleh Dietmat Hamann, Djibril Cisse, J.A Riise dan Vladimir Smicer. Dua sepakan awal AC Milan gagal menerjah jaring namun dua sepakan seterusnya berjaya menewaskan penjaga gol Liverpool, Jerzy Dudek. Sepakan terakhir yang menjadi penentu kepada keputusan perlawanan juga gagal disempurnakan, bermakna Juara Eropah milik Liverpool dengan kemenangan sepakan penalti melengkapkan agregat 3-2.
Pentas akhir musim 2004-2005 tersebut menjadi saksi piala UCL kebanggaan Eropah kembali menjadi milik Liverpool. Dengan demikian, Liverpool mengabsahkan kemenangan kelima mereka dalam kejohanan tersebut - pencapaian tertinggi bagi mana-mana pasukan dari England, sekaligus menjadikan Liverpool layak dipandang sebagai pasukan Inggeris terhebat di Eropah. Sejarahnya, Liverpool pernah menjuarai piala Eropah tersebut pada musim 1976-1977, 1977-1978, 1980-1981, 1983-1984, 2004-2005 dan yang terkini pada edisi 2018-2019. Liverpool bagaimana pun pernah gagal membawa pulang piala UCL ke Anfield pada musim 1984-1985, 2006-2007 dan 2017-2018 selepas tewas pada pentas akhir.
Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan Liverpool dinobatkan sebagai juara Eropah pada musim 2004-2005 banyak dipengaruhi oleh sistem permainan yang diterapkan oleh pengurus pasukan, Rafael Benitez. Beliau seakan menyedari, dalam berdepan dengan sebuah pasukan yang menjadi pilihan sebagai juara seperti AC Milan, Liverpool perlu mengaplikasikan corak serangan hendap dan pantas di samping mendisiplinkan benteng pertahanan yang diketuai penolong kapten, Jamie Carragher. Liverpool tersentak dengan tiga gol pada separuh masa pertama tetapi bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua. Rafel Benitez mengesan kekuatan pasukan lawan yang lebih menguasai barisan tengah oleh pemain Andre Pirlo dan Kaka justeru beliau mengarahkan pemainnya untuk menyerang melalui sudut kiri dan kanan. Hasilnya, Steven Gerrard berjaya menanduk masuk gol pertama yang mendorong momentum kebangkitan semula mereka.
Masa berlalu pergi. Biar pun sudah lebih sedekad lama sejak 2005, sejarah yang tercipta untuk pasukan Liverpool di Istanbul masih segar dalam ingatan para peminat bola sepak terutamanya pengikut setia The Reds. Antara persoalan yang timbul ialah di mana pemain-pemain Liverpool yang menjuarai UCL 2005 sekarang?
Ketua pasukan, Steven Gerrard kini menjadi pengurus pasukan Rangers di Liga Scotland, pembantunya Jamie Carragher pula bertugas sebagai pengulas bola sepak bagi rancangan televisyen Sky Sports manakala penjaga gawang Jerzy Dudek cenderung terlibat dengan sukan permotoran bersama pasukan Volkswagen Castrol. Pemain-pemain lain pula hanya menghabiskan masa bersama keluarga dan aktif dengan perniagaan di negara masing-masing.
Kisah pasukan Liverpool dalam kempen Liga Juara-juara Eropah 2004-2005 bukan sekadar kemenangan satu malam semata-mata, tetapi akan sentiasa mekar dalam lipatan sejarah bola sepak dunia sebagai antara perlawanan paling mengujakan pernah dirakam. Pemain Liverpool yang mengerah keringat dan segala kekuatan hingga ke wisel penamat malam itu membuktikan kepada umum bahawa benarlah usaha tangga kejayaan, bertarung hingga ke akhir perjuangan, dan jangan putus berharap untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone
Foto: AP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.