Keadilan merupakan perkara yang sangat penting dalam pembentukan sesuatu bangsa mahupun negara. Bak kata salah seorang khalifah dunia Islam yang terunggul, Khalifah Umar Abdul Aziz; “Pertahankan kotamu dengan keadilan, dan hilangkan kezaliman dari jalan-jalan kota”. Maka terjelaslah bahawa sejak berkurun lamanya keadilan merupakan tunjang dalam pembentukan sebuah bangsa dan negara sejak zaman dahulu.
Walau bagaimanapun, tidak banyak dalam kalangan masyarakat di negara kita mengetahui apakah sebenarnya makna keadilan itu sendiri. Masyarakat hanya mampu meluahkan atau melafazkan perkataan keadilan itu tetapi tidak mengetahuinya secara terperinci. Apabila memperkatakan tentang keadilan, masyarakat hanya akan tertumpu kepada hal kehakiman dan perundangan.
Konteks keadilan itu sendiri lebih luas daripada apa yang sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Keadilan bermaksud membuat keputusan atau melakukan tindakan yang betul bagi menyebelahi pihak yang benar agar menepati hak seseorang tersebut. Pengertian keadilan itu sendiri menunjukkan bahawa keadilan amat penting dalam pembentukan bangsa dan negara. Tambahan lagi dalam konteks masyarakat di Malaysia yang penuh variasi kaum, bangsa, agama dan ras; semestinya keadilan itu memainkan peranan yang besar dari segi politik, ekonomi dan juga sosial.
Demikian pun, kita melihat keadilan yang dituntut semakin hari semakin pudar. Pada masa kini , keadilan bukan lagi menjadi asas utama dalam menjatuhkan hukum mahupun dalam membuat keputusan. Pencatur kuasa semakin hari semakin memperlekehkan keadilan dengan menindas masyarakat yang dipandang tidak setaraf dengan mereka.
Menurut Sinar Harian Online pada tanggal 3 Februari 2021 , Menteri di Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa tempoh masa bagi seseorang menteri yang baru pulang dari lawatan rasmi luar hanya perlu berkuarantin di rumah selama tiga hari berbanding rakyat marhaen yang perlu berkuarantin selama 14 hari. Sinar Harian Online juga pada tanggal 22 Ogos 2020, melaporkan Menteri di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi hanya dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin berbanding seorang rakyat marhaen, sedangkan seorang warga emas dikompaun sebanyak RM8,000 dan penjara sehari atas kesalahan yang sama.
Dua kes yang dilaporkan ini menunjukkan bahawa pencatur kuasa ini telah mengetepikan keadilan sewenang-sewenangnya bagi kepuasan dan kepentingan sendiri. Malahan kes sebegini juga memberi gambaran yang jelas tentang amalan 'double standard' di kalangan masyarakat dan menteri.
Adakah berjawatan menteri itu memberikan kekebalan kepada mereka yang mengalasnya dalam menghadapi pandemik yang melanda dunia? Adakah dengan wang yang dibawa pulang dari negara luar itu telah memberi pengecualian kepada para menteri agar tidak berjangkit dengan penyakit yang mengganas pada masa ini? Persoalan yang lebih penting adalah adakah keadilan yang sebegini yang kita mahu turunkan generasi yang akan datang? Bukankah kita seharusnya menjadi 'role model' yang menegakkan keadilan yang sejati supaya negara ini dibentuk melalui asas yang kukuh iaitu keadilan bagi membentuk masyarakat yang bermuafakat. Keputusan atau tindakan yang dibuat oleh pencatur kuasa ini telah mencalarkan keadilan kita junjung selama ini .
Keadilan ini seharusnya dijaga dan dipelihara demi kesejahteraan dan permuafakatan bangsa Malaysia yang kita semai selama ini. Malahan, sifat keadilan ini juga seharusnya didedahkan kepada anak-anak muda supaya mereka cakna sifat ini dan mampu membuat keputusan yang baik dan betul. Kita tidak mahu pisang akan berbuah dua kali seperti apa yang dilaporkan di media.
Bak kata tokoh pejuang keadilan yang menjadi idola sehingga hari ini, Martin Luther King Jr.; bahawa "Hukum yang tidak adil, bukanlah hukum sama sekali." Keadilan itu seharusnya ditegakkan sebetul-betulnya dan sewajar-wajarnya. Keadilan yang ditegakkan itu merupakan titik mula bagi permuafakatan antara bangsa dan pembentukan negara yang progresif.
Sekiranya keadilan masih lagi diperlekehkan seperti mana yang berlaku pada hari ini, masa depan negara ini yang mendahagakan keadilan sosial, kemakmuran masyarakat, permuafakatan bangsa malaysia tidak akan tercapai. Semoga keadilan di negara ini mampu dipulihkan dan dipelihara bagi mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu menuju negara maju dan progresif.
Firdaus Anuar merupakan anak jati Pulau Pinang. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan isu sosial semasa dan aktivisma anak muda di Pulau Pinang. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #MalaysiakuBersaudara
Foto: Antara Dua Darjat / KinoLounge by Shaw Theatres
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.