Kawi, Jawi, dan Rumi: Menjejak Tulisan Bersaudara

Kawi, Jawi, dan Rumi: Menjejak Tulisan Bersaudara

Prolog

Apa agaknya kena-mengena antara tulisan Rumi dan Jawi? Sekian lama tulisan Rumi yang dikatakan berasal dari Eropah dianggap tiada sebarang perkaitan dengan Jawi yang berasal daripada Arab. Malah ada yang berlebihan menganggap tulisan Rumi sebagai ‘sekular’ dan Jawi dianggap lebih mulia. Apakah ini tanggapan yang benar?

Selepas bahasa, sistem tulisan sudah pasti adalah antara medium terpenting dalam komunikasi manusia. Walaupun sering dianggap simbiotik, namun sebenarnya hubungan bahasa dan sistem tulisan tidak seerat yang disangkakan. Bahasa Melayu misalnya pernah menggunakan sistem tulisan dari India, Jawi dan kini Rumi. 

Tulisan dan bahasa juga sering dikaitkan dengan tamadun, budaya malah semangat patriotik. Jika dikenang kembali detik peralihan daripada jawi kepada rumi, ia menimbulkan polemik yang melibatkan politik, bahasa, bangsa malah agama.

Namun begitu pernahkah kita tertanya dari mana asalnya sistem tulisan yang kita gunakan pada hari ini dan yang sedang kalian baca ini?

Penciptaan Tulisan dan Tulisan Tertua

Kajian moden menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat empat sistem tulisan yang telah dicipta secara asli iaitu di kawasan Mesopotamia (sekitar lembangan sungai Furat dan Tigris yang kini terletak di Iraq, Syria dan Turki), Mesir, China dan Mesoamerica (kini terletak di selatan Mexico dan Guatemala).

Diantara empat sistem tulisan ini yang tertua ialah Kuneiform (Pepaku) Mesopotamia dan Hieroglif Mesir yang masing-masing dikatakan terhasil sebelum tahun 3000 sebelum masihi. Diantara dua sistem tulisan ini, Hieroglif adalah leluhur kepada kebanyakkan sistem tulisan yang wujud pada hari ini.

Hieroglif ini asalnya ialah tulisan yang menggunakan logografi (seumpama simbol), suku kata (syllable) serta mempunyai elemen-elemen alfabet (abjad ataupun huruf). Nama sebenar tulisan ini di dalam bahasa Mesir kuno tidaklah kita ketahui kerana nama Hieroglif ini dinamakan oleh orang Yunani dengan menggunakan bahasa Yunani juga yang bermaksud ‘ukiran sakral’. 

Leluhur Abjad dan Alfabet

Daripada tulisan Hieroglif inilah kemudiannya berkembang tulisan ataupun aksara Proto-Sinaitik (Proto-Sinaitic). Tulisan Proto-Sinaitik inilah yang dikatakan sebagai sistem pertama yang menggunakan huruf, abjad ataupun alfabet. Nama Sinaitik diberikan sempena dengan bukti penulisan inskripsi tersebut yang mula dijumpai di Semenanjung Sinai, Mesir.

Ia juga dikenali sebagai tulisan Proto-Kanaan (Proto-Canaanite) kerana sebenarnya tulisan tersebut digunakan di kawasan Kanaan. Kini Kanaan terletak di kawasan Palestin dan sekitarnya.

Tulisan ini kemudiannya berkembang menjadi tulisan Phoenicia. Daripada tulisan inilah berkembang secara bertahap menjadi tulisan Ibrani (Hebrew – sistem tulisan orang Yahudi) dan Arab. Daripada tulisan Phoenicia ini juga terlahir alfabet Yunani (Greek) lalu berkembang menjadi aksara Latin atau Roman yang kita namakan sebagai rumi.

Malah daripada tulisan Phoenicia ini juga dikatakan terlahir dan berkembangnya tulisan dan aksara Brahmi yang digunakan di benua kecil India (berbeza daripada negara India).

Sepuluh Rukun 

Sebelum berbincang lebih jauh, ada suatu perkara menarik yang patut kita bicara. Sistem tulisan Ibrani dikatakan cuma muncul 200 tahun sebelum masihi. Ia berasal daripada sistem tulisan Ibrani kuno (Paleo-Ibrani/Proto-Ibrani) yang dikatakan terhasil kurang lebih 1000 tahun sebelum masihi.

Nabi Musa pula (selain daripada Islam, baginda juga merupakan watak penting bagi agama dan bangsa Yahudi kerana baginda adalah utusan Tuhan buat masyarakat Yahudi) menurut ahli sejarah agama-agama samawi dikatakan berkemungkinan lahir diantara tahun 1500 hingga 1300 sebelum masihi.

Jika begitu ini bermakna Nabi Musa lahir sebelum tulisan Ibrani kuno tercipta. Maka persoalannya, tulisan asal Sepuluh Perintah (Ten Commandments) yang dikatakan disuhufkan di atas dua kepingan batu itu ditulis menggunakan tulisan apa? 

Ini mungkin berbeza dengan penulisan kitab Taurat kerana seperti Al-Quran, ia diwahyukan dan dibacakan oleh Nabi dan dicatatkan oleh penulis wahyu menggunakan bahasa dan sistem tulisan masyarakat setempat. Tetapi Sepuluh Perintah ‘disampaikan’ oleh Allah sendiri dalam keadaan sistem tulisan Ibrani belum wujud.

Ada kemungkinan ianya menggunakan bahasa Ibrani tetapi ditulis menggunakan tulisan Proto-Sinaitik dan berbetulan pula ada bukti yang tulisan tersebut digunakan di Semenanjung Sinai, yakni tempat terletaknya Gunung Sinai (Jabal Musa) yang dikatakan lokasi Nabi Musa menerima suhuf Sepuluh Perintah.

Namun tidak dapat disangkal juga bahawa ada kemungkinan suhuf tersebut menggunakan tulisan Hieroglif kerana sudah tentu Nabi Musa dan Bani Israel ketika itu mahir dengan sistem tulisan tersebut kerana mereka menetap di Mesir.

Namun kita tidak mengetahui tentang perkara secara pasti. Wallahu’alam.

Abugida, Alfabet dan Abjad

Aksara Phoenicia menggunakan tulisan dari kanan ke kiri seperti juga abjad Arab, namun abugida Brahmi dan alfabet Greek dan Roman bersistemkan dari kiri ke kanan.

Namun begitu, apa pula maksud abjad, abugida dan alfabet? Apakah pula perbezaannya? Walaupun ketiga-tiga sistem tulisan ini lahir daripada ‘rahim’ yang sama, namun ada sedikit perbezaan padanya. Perbezaan yang paling utama ialah bagaimana huruf vokal (vowel) ditulis di dalam ketiga-tiga tulisan tersebut.

Abjad, misalnya tulisan Arab tidak mengandungi huruf vokal seperti mana alfabet. Jika kita lihat huruf Arab, ia cuma mengandungi konsonan tanpa huruf vokal. Huruf ‘alif’ walaupun sering disamakan dengan fungsi huruf ‘a’, namun belum tentu berbunyi notasi (bunyi) ‘aa’ dan situasi ini agak unik. 

Bunyian vokal dalam bacaan Arab kini ditandai dengan garis atas (fathah), bawah (kasrah) dan hadapan (dhammah) walaupun pada awalnya sistem penandaan tersebut tidak wujud. Sistem ini sedikit sebanyak terpengaruh dengan perkembangan Al-Quran kerana banyak meletakkan sistem tanda bagi memudahkan pembacaan dan agar betul tatabahasanya (nahu). 

Di dalam adaptasi tulisan Jawi pula, oleh kerana tidak menggunakan sebarang tanda atau garis, vokal ‘i’ yang berbunyi ‘ii’ misalnya terpaksa menggunakan gabungan huruf ‘alif’ dan konsonan ‘ya’.

Sedangkan di dalam sistem alfabet pula bunyian vokal mempunyai huruf yang tersendiri seperti a,e,i,o dan u. Abugida pula ialah sistem yang menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal sebagai satu unit. Sebagai contoh untuk memudahkan kefahaman, huruf ‘c’ misalnya akan mempunyai tiga bentuk yang sedikit berbeza bentuknya bergantung kepada notasi vokal yang mengiringinya sama ada ‘ca’, ‘ci’ atau ‘cu’.

Istilah alfabet diberi nama berdasarkan dua huruf terawal Yunani iaitu ‘alpha’ dan ‘beta’. Manakala Abugida pula terlahir daripada huruf a, bu, gi dan da.

Sistem abjad mendapat nama daripada empat huruf pertama bahasa arab iaitu ‘alif’, ‘ba’, ‘jim’ dan ‘dal’. Pelik, mengapa tidak ‘abata’ berdasarkan ‘alif’, ‘ba’ dan ‘ta’? 

Ini kerana huruf Arab pada asalnya mempunyai susunan yang berbeza dan empat huruf pertama dimulai dengan huruf ‘alif’, ‘ba’, ‘jim’ dan ‘dal’. Namun di dalam susunan moden yang dinamakan sebagai hija’i, susunanya diubah menjadi seperti susunan yang kita kenali sekarang.

Sememangnya pertambahan huruf dan perbezaan susunan wujud dalam setiap perkembangan sistem tulisan. Sama seperti huruf Roman dan Greek susunan dan jumlah hurufnya sedikit berlainan.

Tulisan Masyarakat Melayu dan Asia Tenggara

Daripada aksara Brahmi, ia berkembang pula kepada Tamil-Brahmi lalu melahirkan tulisan Pallava. Tulisan Pallava inilah yang digunakan bagi mencatat batu bersurat Prasasti Kedukan Bukit yang bertarikh 682 masihi. Walaupun menggunakan tulisan Pallava, tetapi ia berbahasa Melayu kuno. 

Aksara Pallava memainkan peranan penting di dalam penulisan sistem penulisan di kawasan Asia Tenggara. Tulisan Khmer dan Kawi misalnya berasal daripada Pallava. Tulisan Khmer ialah sistem tulisan masyarakat Kemboja dan darinya pula berkembang sistem tulisan Sukhothai dan Thai. Aksara Kawi pula ialah tulisan Jawa lama. 

Daripada tulisan Kawi-lah terlahirnya tulisan Rencong yang digunakan orang Melayu di Sumatera bagi menggantikan tulisan Pallava. Tulisan Rencong digunakan oleh orang Melayu sehinggalah Islam mula berkembang dan membawa tulisan Jawi. Jawi ini sudah tentulah bertitik-tolak daripada abjad Arab. Kemudiannya kini, tulisan Rumi mengambil tempat sebagai sistem tulisan yang utama bagi masyarakat Melayu dan Malaysia.

Maka begitulah asal-usul tulisan Rumi yang kita gunakan secara meluas sekarang. Bagi orang Melayu pula, ras kita juga pernah menggunakan sistem penulisan yang berasaskan abugida, abjad dan alfabet. Ini juga isyarat yang menunjukkan bahawa jati diri Melayu sama seperti masyarakat lain yang sebenarnya boleh berkembang serta bersifat inklusif. 

Susungguhnya perihal tentang bahasa dan sistem tulisan terlalu panjang dibicarakan. Itu belum lagi bicara tentang aksara Asia Timur seperti Cina dan Jepun. Tetapi cukuplah kita mengetahui serba sedikit tentang sejarah dan perkembangan sistem tulisan yang kita guna dari dahulu hinggalah sekarang ini.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: roots.gov.sg

Share this Post: