Karbon Monoksida Sang Pembunuh Senyap

Karbon Monoksida Sang Pembunuh Senyap

Baru-baru ini kita ikut berdukacita dengan sebuah lagi kes keracunan gas karbon monoksida yang telah meragut tiga nyawa pelajar farmasi di Pulau Pinang. Ini bukan kali pertama kes sebegini berlaku. 

Ringkasnya, amat penting untuk kita berhati-hati dengan pembunuh senyap ini. Maka, adalah baik juga untuk kita memahami bagaimana gas ini mampu meragut nyawa tanpa kita sedari.

Pertama sekali, gas karbon monoksida adalah gas yang tiada rasa, tiada warna dan tiada bau. Gas ini terhasil daripada proses pembakaran bahan karbon yang tidak sempurna. 

Kenderaan berenjin dengan sistem ventilasi yang tidak baik, terutamanya dalam tempat yang tertutup, memungkinkan karbon monoksida terkumpul sehingga ke tahap berbahaya.

Keracunan gas karbon monoksida berlaku apabila seseorang menghidu gas ini dalam jumlah yang berlebihan atau dalam jangka masa yang lama. 

Apabila ini terjadi, karbon monoksida yang terkumpul di dalam salur darah menyebabkan kemampuan haemoglobin (berperanan membawa oksigen ke seluruh tubuh) untuk mengikat oksigen akan berkurang. Hal ini karena gas karbon monoksida lebih mudah terikat dengan hemoglobin dan kemudian membentuk carboxyhaemoglobin (COHb).

Semakin banyak COHb yang terbentuk, semakin sedikit oksigen yang dibawa ke seluruh tubuh. Dalam kondisi ini, tubuh akan mengalami kekurangan oksigen (hipoksia). 

Kekurangan oksigen boleh mendatangkan kemudaratan seperti kerosakan tisu, kerosakan otak, kegagalan organ, kerosakan urat saraf bahkan juga kematian.

Antara gejala keracunan gas karbon monoksida termasuklah sakit kepala, pening, muntah, mual, sakit dada, susah bernafas, kekeliruan dan tidak sedarkan diri.

Bagi mereka yang tidur pula, keracunan gas ini boleh menyebabkan kematian tanpa mengalami sebarang gejala.

Seseorang boleh mencegah diri daripada keracunan gas karbon monoksida dengan mengelakkan diri daripada berada dalam kenderaan tertutup dengan enjin yang hidup, kerap menyelenggara enjin kereta, buka tingkap semasa memasak, menyelenggara peralatan pembakaran bahan api dan tidak menghidupkan kenderaan bermotor dalam garaj yang tertutup.

Jika anda mengalami gejala keracunan karbon monoksida, keluar dari kawasan tertutup, kawal diri anda daripada cemas, tutup peralatan pembakaran dan dapatkan rawatan di hospital sekiranya gejala menjadi bertambah teruk. - ALTERNATIF

Foto ihsan RAC

Share this Post: