Kanser: Cegah Sebelum Terkena

Kanser: Cegah Sebelum Terkena

Kanser merupakan salah satu penyakit yang paling digeruni oleh manusia kerana penyakit ini boleh menyerang setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia mahupun jantina. Kanser didefinisikan sebagai penyakit yang dicirikan dengan kehadiran sel-sel baru yang tumbuh dan tersebar tanpa kawalan dan kadangkala tanpa sebarang tanda awal. Kanser merupakan penyakit kedua tertinggi yang membawa maut selain daripada penyakit jantung.

Kanser terdiri daripada beberapa jenis, antaranya adalah sel tisu neoplastic benign dan malignan. Sel tisu neoplastic benign adalah sejenis kanser yang setempat dan tidak merebak serta kurang merbahaya. Kanser jenis malignan pula adalah sejenis kanser yang merebak dan lebih berbahaya atas keupayaannya untuk menyerang serta memusnahkan tisu-tisu yang terdapat disekitarnya.

Kanser jenis malignan berupaya untuk tumbuh di dalam empat jenis kumpulan utama iaitu karsinoma (kanser tisu epitel), sarcomas (kanser tisu penghubung), kanser limfoma (kanser sistem limfatik) dan kanser leukemia (kanser darah). Kanser limfoma merupakan kanser yang paling kurang biasa berlaku antara empat jenis kumpulan utama kanser malignan ini.

Meskipun kanser merupakan penyakit yang boleh membawa maut, kadar kematian disebabkan penyakit kanser ini telah menurun pada tahun 1990-an. Masyarakat yang mula menyedari bahaya penyakit kanser mula mendapatkan pengesanan awal serta rawatan bagi mengelakkan kanser mereka bertambah parah dan membawa maut. Antara kanser yang mempunyai kadar kematian menurun adalah kanser kolon, prostat, payudara dan paru-paru.

Masyarakat juga mula mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti kurang merokok dan mengamalkan diet yang seimbang. Namun begitu, terdapat beberapa kanser yang kadar kematiannya meningkat seperti kanser kulit, hati dan esofagus untuk kedua-dua lelaki dan perempuan, manakala kanser paru-paru meningkat untuk wanita sahaja.

Terdapat beberapa faktor yang berisiko mendapat penyakit kanser dan sering dilakukan oleh manusia dalam kehidupan seharian. Faktor yang pertama adalah merokok. Lelaki yang merokok adalah 23.3 kali lebih mudah mati akibat kanser paru-paru berbanding lelaki yang tidak merokok. Perokok sebenarnya sedar bahawa rokok berisiko untuk membahayakan kesihatan namun percaya mereka secara peribadi tidak berisiko.

Perbuatan merokok bukan sahaja boleh mengakibatkan perokok menghadapi kanser paru-paru, malah perbuatan ini juga boleh mengakibatkan kanser prostat, perut, pundi kencing dan esofagus. Perkara yang lebih menyedihkan lagi adalah perokok pasif juga berisiko menghidapi kanser sekiranya terdedah dengan asap rokok secara berlebihan.

Selain itu, diet juga merupakan faktor penting yang dapat mengakibatkan pertumbuhan kanser di dalam badan manusia. Karsinogen merupakan makanan yang boleh mencetuskan pertumbuhan kanser di dalam tisu badan manusia. Makanan yang kurang diawet atau mempunyai bahan pengawet yang terlarang boleh mengakibatkan seseorang individu menghidap kanser sekiranya mengkonsumi makanan tersebut dalam jangka masa yang panjang atau berlebihan.

Individu yang tidak mengamalkan diet yang seimbang juga boleh mengakibatkan berlakunya obesiti yang menyumbang kepada 14-20% daripada keseluruhan kematian melibatkan kanser. Oleh itu, mengamalkan diet yang seimbang dalam kehidupan seharian merupakan perkara yang sangat penting namun dilihat enteng oleh kebanyakan masyarakat kerana tidak menyedari risiko yang sebenar.

Seterusnya, mereka yang menggunakan alkohol secara berlebihan boleh berisiko menghidapi kanser mulut, hati, esofagus dan payudara. Wanita yang mengambil alkohol setiap hari mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser payudara. Namun begitu, mereka yang melakukan penyalahgunaan alkohol kebiasaannya akan lebih cenderung untuk mati dengan sebab yang lain sebelum mereka mendapat kanser hati.

Terdapat beberapa kaedah untuk merawat kanser, antaranya adalah melalui pembedahan, radiasi dan kemoterapi. Namun, ketiga-tiga rawatan ini mempunyai kesan yang negatif terhadap penghidap seperti kehilangan rambut, berasa takut dan bimbang, kemurungan dan sentiasa berasa letih.

Pesakit kanser yang terpaksa hidup dengan kanser hendaklah mempunyai sokongan sosial yang kuat agar mereka dapat lebih tabah menjalani kehidupan. Sokongan sosial terdiri daripada tiga bahagian iaitu melalui penjagaan kesihatan oleh para profesional, melalui emosi oleh keluarga dan rakan-rakan serta melalui kumpulan sokongan oleh pesakit yang turut sama menghidapi kanser. Pesakit wanita yang menghidap kanser payudara dan tidak mempunyai sokongan perkahwinan mencukupi boleh mendapatkan manfaat daripada kumpulan sokongan mereka.

Tambahan pula, bidang psikologi secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam membantu pesakit yang hidup bersama kanser ini. Pakar psikologi membantu pesakit kanser dengan menggunakan teknik individu mahupun berkumpulan. Pakar psikologi memberi pendedahan tentang kemahiran untuk menguruskan tekanan kognitif, peluang untuk ekspresikan emosi serta juga memberikan sokongan sosial dan terbukti bahawa campur tangan psikologi dapat memanjangkan jangka hayat penghidap kanser.

Kesimpulannya, mencegah lebih baik daripada merawat. Kita hendaklah lebih peka dan mengambil serius tentang kesihatan kita agar tidak perlu hidup bersama kanser. 

Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia. 

Foto: New Scientist

Share this Post: