Saya terbaca sebuah kiriman yang dikongsi oleh seorang jurugambar perkahwinan yang memuat naik beberapa siri gambar seorang pengantin perempuan. Tidak seperti kebiasaan, pengantin perempuan itu berseorangan tanpa pasangan. Pengantin lelakinya ‘tidak wujud’.
Melalui kiriman tersebut, dan seperti mana yang turut dilapor oleh media-media tempatan, pengantin tersebut keseorangan setelah bakal pasangannya telah memutuskan pertunangan mereka dan membatalkan perkahwinan pada saat akhir kerana memilih untuk kembali bersama bekas kekasihnya.
Kisah ini tragis dan meraih banyak simpati dari khalayak awam. Kasihan memang kasihan, apa lagi, kita tidak tahu pula berapa kos yang telah bakal pengantin perempuan itu keluarkan.
Perkahwinan tidak murah. Beliau pasti telah mengeluarkan banyak perbelanjaan dan bayar banyak pihak untuk persiapan perkahwinan. Belum kira lagi dengan malu yang terpaksa ditanggung oleh keluarga perempuan tersebut.
Anda perlu ingat, apabila sudah bertunang dan menuju ke arah perkahwinan, anda sebenarnya telah terikat disisi Undang-undang Keluarga Islam.
Ada beberapa perkara terkait yang boleh kita rujuk semula dalam kes ini. Antaranya:
1. Bolehkah tuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah?
Pertunangan itu boleh terjadi sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk melakukan ke arah pernikahan pihak-pihak yang terlibat iaitu kedua-dua lelaki dan wanita yang mengikat janji. Ketika bertunang, adalah haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang wanita yang telah bertunang.
Setiap Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri seluruh Malaysia ada memperuntukkan kuasa buat Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan ganti rugi perkahwinan.
2. Siapa yang perlu tanggung ganti rugi?
Dalam undang-undang ada disebut pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu adalah bertanggungan untuk memulangkan:
a) Pemberian pertunangan (jika ada)
b) Memulangkan nilainya
c) Membayar apa-apa wang yang telah dibayar oleh suatu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu
Maksudnya, orang yang memutuskan pertunangan itu perlu menanggung ganti rugi dan perlu membayar kos kepada pihak yang diputuskan pertunangan tersebut.
3. Apa yang boleh dituntut?
a) Belanja kenduri kecil-kecilan semasa majlis pertunangan seperti kos penyediaan makanan buat tetamu, khemah, jurugambar, dan lain-lain.
b) Pakaian pengantin untuk majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan, sama ada telah dibayar secara penuh mahupun separuh.
c) Bayaran upah katering.
d) Kad-kad jemputan perkahwinan
e) Pengubahsuaian rumah atau bilik pengantin pihak yang diputuskan pertunangan tersebut. Misalnya kos ubah suai bilik, perabot, bilik air dan yang berkaitan.
f) Bayaran buat juruacara majlis dan jurugambar juga boleh dituntut semula jika telah dilunaskan, walaupun ia mungkin bukan keperluan asas perkahwinan.
g) Lain-lain persiapan yang memakan kos khusus hanya untuk perkahwinan tersebut.
4. Bolehkah dituntut kos maruah atau saman malu atas sebab pembatalan perkahwinan saat akhir?
Jawapannya tidak boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Saman malu adalah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Jika pihak yang dimungkiri itu merasa malu dan maruah tercalar, anda boleh buat tuntutan kos ganti rugi am di Mahkamah Sivil.
Di Mahkamah Syariah hanya berkaitan dengan kos dan ganti rugi yang menjurus kepada perbelanjaan persiapan perkahwinan sahaja.
Kesimpulannya, nasihat saya kepada bakal pengantin yang melalui isu yang sama, anda perlu membuat tuntutan ini di Mahkamah Syariah. Kos yang telah dibelanjakan untuk perkahwinan tersebut bukanlah murah apa lagi pada zaman sekarang ini.
Kalau anda tidak bertindak, orang yang memungkiri janji tersebut akan merasakan hal ini adalah perkara kecil. Sedangkan, maruah yang tercalar serta penat lelah keluarga dan diri anda yang mengumpul duit untuk persiapan tersebut bukan satu perkara kecil. Bahkan ia sangat besar.
Semoga penulisan ini dapat membantu mereka yang teraniaya dan tahu tentang hak mereka. Faham kah? Boleh tera tu?
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto: Lightview Singapore
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.